May 22, 2010

Mei

Bulan Mei.
Saya menantikan bulan Mei. Ada dua acara penting dalam bulan Mei yang akan saya raikan tahun ini dan untuk tahun depan,bulan Mei akan di sambut dengan 3 acara penting.
09-Mei tahun ini saya menyambut kelahiran Muhammad Rafi'e Asyraf, putera ke-2 saya.Saya mengimpikan seorang puteri, tetapi di anugerahkan saya dengan putera.Itu bukan sasaran, tetapi harapan.Tidak mengapa, saya terima kerana Dia lebih mengetahui setiap sesuatu yang di aturNya.Syaamil akan ada rakan untuk bermain,walaupun jarak usia hampir 3 tahun.
27-Mei nanti, genap 4 tahun usia perkahwinan kami dan putera sulung saya, Muhammad Syaamil Asyraf akan berusia 3 tahun.Dia anak yang tabah, sekuat ibunya.Mereka banyak bersabar dengan saya. Dengan pasang surut tingkah laku saya. Seorang suami yang sering meletakkan mengutamakan urusan pejabat dari periuk nasi di rumah.Urusan pejabat mendatangkan periuk nasi yang sering penuh dengan isinya.Itu hanya saya seorang yang faham, barangkali begitu.Jangan di pertikaikan kasih sayang saya, seluruhnya telah saya serahkan pada seorang wanita yang melahirkan kedua-dua putera saya.Syukur, walau sering di sakat dengan sindiran lembut tapi padu,dia masih memahami kecenderungan suaminya.

Bulan Mei adalah bulan yang teristimewa dalam hidup saya.Ketika entri ini di tulis, bulan Mei sudah semakin dekat ke penghujung, seminggu lagi. Saya membayangkan detik menadah tangan berdoa moga di limpahkan kebaikan untuk hidup kami sedang mata menjeling pada kek yang menunggu untuk di potong-potong dan bungkusan hadiah yang tertera nama Muhammad Syaamil Asyraf.
"Abang, Syaamil nak kereta control...." bicara isteri dengan saya lewat petang tadi ketika saya menyambut suaranya dalam telefon.
"Ahh..abang sendiri sudah mendapat hadiah.."balas saya.
"Siapa bagi?" Suara isteri sedikit berubah nadanya.
"MPH, abang gores kad kredit untuk 4 buah buku baru. Rising Asia tulisan Jim Rohwer, Nelson Mandela: Conversations with Myself, The Promise: President Obama, Year One karangan Jonathan Alter dan sebuah buku agama, Indahnya Hidup Bersyariat tulisan Dato Ismail Kamus."
"Lerrr...beli banyak-banyak, yang ada pun belum habis baca lagi.."isteri mematikan cerita saya.
"Ooo...ok ler yer, abang nak mandi nak p masjid jemaah maghrib..."saya melepaskan diri .
Saya mesti berdoa agar isteri jangan lagi menelefon saya malam nanti untuk menyambung khutbah tidak bertauliah.
Bulan Mei, bermacam ragam dan asam.

May 16, 2010

Catatan Seminggu

Seminggu, saya berdiam diri dari menulis walau sepatah pun dalam blog Aku dan Sesuatu, sebaliknya lebih memusatkan perhatian pada buku-buku yang sudah di singgahi debu di rak buku bilik bacaan di rumah. Sesekali, mengemaskini secalit tulisan yang di atur dalam http://rafimasterji.blogspot.com , tugas saya sebagai penambah aliran fikiran dari tuan punya blog, menambah mengurang mana yang perlu. Sebelum ini, saya pernah merancang untuk mencetuskan aliran pemikiran saya dalam bidang Pengurusan dalam blog yang berasingan, bukannya dalam Aku dan Sesuatu... , kerana blog Aku dan Sesuatu adalah sisi lain hidup saya, kehidupan yang di sentuh dalam bait yang berlapis-lapis, banyak olahan yang memerlukan daya fikir yang sedikit bertingkat sifatnya. Saya ingin berterus terang tentang dunia Pengurusan yang mempunyai nilai ilmu yang harus di kongsi.Pengolahan bidang yang menjadi rutin harian saya, asas kemahiran yang saya ada dan sentiasa saya hadap dari pelbagai sisi dan segi. Saya ingin sekali mencambahkan bidang ilmu Pengurusan, seterusnya berkongsi dengan pembaca. Sama ada ilmu itu di sadur dari pengalaman atau dari bahan bacaan, semuanya penting dan harus di kongsi bersama.
Berdikit, matlamat dan impian untuk menulis tentang bidang Pengurusan itu lentur, bukan kerana semangat yang lemah atau terkulai lelah tetapi kerana kesuntukan masa, ruang waktu yang kian menghimpit yang akhirnya terus mematikan impian. Saya hanya mampu mempunyai impian,ahhh....kalah, mungkin?
Cetusan yang berupa impian itu kembali di bangkitkan setelah mendapat saranan dari seseorang yang amat saya kenali yang berhasrat untuk melemparkan pandangan dan berkongsi ilmu tentang bidang Pengurusan.Saya seperti di jana dengan satu kuasa yang menghasut keras, mendesak dan tercetuslah idea untuk duduk bersembang dengan "beliau".
" Saya rasa baik buat blog, semua orang boleh baca", bicara saya.
" Aku tak pandai nak buat blog le", dia mengalah.
" Takpe, cakap apa yang nak tulis , buat macam draf, selebihnya saya uruskan ". Meluncur laju ayat itu dari bibir saya dan dengan tak di sangka dia menghulurkan tangan dan berjabat kemas dengan saya .
"Ok, jadi", saya mengangguk tanda setuju.
Bermula dari situ, saya mula bekerjasama dengan beliau dan walaupun saya tidak menyumbang buah fikir seperti yang saya mahukan pada awalnya, tetapi dengan kemunculan blog yang di kenali dengan nama MASTER'JI tadi, hasrat saya sekurang-kurangnya sudah tercapai.
Dalam waktu yang singkat, blog yang di jana dengan kecermatan tinggi yang di selang seli dengan ilmu yang boleh di kongsi, sudah mempunyai beberapa orang pengikut setia.Terima kasih kerana sudi singgah dan membaca.
Sekarang, saya harus mengendalikan 2 blog yang berbeza sifatnya dan saya yakin saya mampu membereskan kedua-duanya. Ini kerana, blog mutlak saya(Aku dan Sesuatu..) hanya akan di sentuh bila hati saya tercuit sementara blog MASTER'JI pula harus di kemaskini setiap hari(?) berpandukan pada perkongsian ilmu yang ada pada "beliau". Saya suka. Dia galak membenihkan ilmu dan saya dengan pantas menyalurkannya pada minda saya, kukuh dan kemas.Ilmu pada saya, harus di cari, mesti di gali dan "beliau"memberi ilmu kepada saya tanpa sesen pun bayaran dan tanpa perlu saya hadir ke mana-mana sekolah pengurusan!

Sudah seminggu juga saya bersendirian di rumah. Kadang-kadang kesunyian pantas menghambat perasaan. Syaamil dan isteri saya berada di kampung(Kampung Kuantan, Kuala Selangor).
Isteri selamat melahirkan anak kedua kami pada pagi Ahad, 09-Mei-2010. Untuk memudahkan segala urusan penjagaan isteri dan anak kecil, ibu mentua saya mengambil pendirian untuk menjaga kedua-duanya, termasuklah Syaamil yang perlu di pisahkan dari saya buat sementara waktu.Lantas, saya pun terpaksa berulang alik dari Shah Alam ke Kuala Selangor setiap minggu.
"Wa bujang 60 hari bro!", SMS saya pada seorang sahabat baik.
"Lu jangan lebih bro, wa hantam lu..", balas sahabat baik saya.
Saya kirimkan juga SMS pada seorang rakan lain.
"Anak wa nama Muhammad Rafi'e Asyraf"
"Huyooo....lu pakai nama Rafi juga yer..."

Hah! Ada apa pada nama, tapi nama memang selalu memberi warna,kan?

May 04, 2010

4 Gangguan

Ini cuma bilik bacaan dalam angan-angan saya

Ada empat jenis gangguan ketika saya membaca yang akan membuat saya menyampah.
1- SMS. Bukan ke lebih senang kalau terus saja "call", bercakap.Tak perlu nak ber"sms", buang masa.
2- Kopi habis. Kena bancuh sendiri.
3- Rokok habis.
4- Syaamil ketuk pintu bilik bacaan dan berkata, "abah, play that guitar...." adusssss.....
"Syaamil minta ibu sediakan Ponstan untuk abah!!"

May 03, 2010

Lelaki Itu...(bukan aku)!

Lelaki itu kurus, cengkung dan matanya yang buntar bersinar tenggelam di celah kelopak mata yang di hias kening penuh yang cantik. Sesuai dengan usianya yang awal 40an, helaian rambutnya sudah banyak putih dari hitam, masih tersisir kemas.Dia "menyalin wajah hero Bollywood", itu katanya walau sekali di imbas lebih terarah pada Pakistan penjual karpet.
Kumisnya hampir-hampir kelihatan, tetapi selalu di rapikan.Misai hanya tinggal tunggul, selalu di jaga rapi dan kemas begitu. Dia segak, penuh gaya dan sedikit kolot dari pemakaian tetapi tidak pada akalnya.
Usia awal lelaki itu terikat dalam kemelut yang berselirat, berputar-putar di antara lorong dan hanyir peluh. Dia bersekolah, tetapi sering kelihatan membasuh pinggan di gerai yang menjadi rumah si kucing dan padang permainan sang tikus. Upahnya, cukup untuk ke kantin sekolah esok hari. Dia benar-benar mendalami makna kehidupan.
SPM, dia hanya menggenggam segulung kertas yang sudah renyuk yang memaparkan banyak angka 9 pada setiap keputusan mata pelajaran. Hanya satu dua mata pelajaran yang memaparkan angka enam, bahasa Inggeris terutamanya.Dia mahir dan fasih dengan bahasa penjajah itu.
Menjelang usia remaja, dia penuh gaya. Jamal Abdillah, ya.... dia mahu jadi seperti Jamal Abdillah yang bersuara lunak itu. Di belinya jaket dari jenis denim, hasil dari gaji bulan pertama membanting tulang memikul guni tembakau.Bergaya, dengan rambut berekor kura dan sepasang kaca mata hitam bentuk telur buaya, bukan jenama Ray Ban, tetapi hanya terjual di pasar malam bandar Klang.Itu sudah cukup bermakna buat dirinya ketika itu.Anak muda dan angan-angan yang kian lentur menanti detik untuk patah.
Berdikit, dalam masa yang semakin resah berputar, lelaki itu mula bermuhasabah.
Dia harus dan mesti berubah."Hidup mesti ada tiang gol", ungkapan yang hanya dia seorang sahaja faham.
Bermula dengan satu langkah, dia terus melangkah tanpa menoleh lagi ke lorong hanyir dengan tikus dan kucing tadi,dia meninggalkan jauh penat memikul guni tembakau.Dia bekerja sepenuh masa, semampu tenaga di sebuah firma hasil dari gagasan Dasar Pandang Ke Timur ilham Perdana Menteri ke empat.Habis kerja, dia mula bersiap ke kelas malam.Awal jam 12 tengah malam, dia layu di tilam tak berspan.Hidupnya berputar begitu, hari ke minggu ke bulan ke tahun hinggalah dia mendapat anugerah Sarjana. Dia bukanlah didikan kegeniusan alam seperti Lintang di dalam novel Lasykar Pelangi.Dia bangun dari keredupan kehidupan setelah terdorong dengan sedikit cahaya.
Lelaki itu, sudah tersenyum sekarang.Dia mula bercerita dalam lantang suara yang di lunakkannya. Dia menyulam cerita-cerita kesedaran, cerita-cerita tentang kebangkitan General Electric di bawah kuasa Jack Welch atau betapa angkuhnya Carlos Ghosn yang mampu menterbalikkan Nissan.
Dalam cerita-cerita yang sebegini, dia selitkan juga dengan nilai tambah yang berbunga dan akan mekar dalam setiap jiwa yang mendengar.Dia pengasuh yang baik, bukan sahaja baik tetapi amat baik. Dia boleh bercakap berjam-jam lamanya, dari sisi Management ke Organisation Behaviour, melangkah ke era Samurai dan menyeluk dalam makna KAIZEN atau membasuh minda dengan cerita-cerita cerdas tetapi bertingkah sayu, merentap setiap hati yang mendengar yang tanpa di duga terus berkata "aku boleh".
Setiap ilmu yang ada di curahkannya, sebegitu lurus dan dengan keikhlasan yang tinggi untuk sama-sama di kongsi dan menjadi inspirasi
Lelaki itu, dia mahu jadi seperti Heera Singh yang kurus cengkung atau bergaya elegan seperti Robin Sharma.
Lelaki itu, boleh di ketemu di sini
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...