Lelaki itu kurus, cengkung dan matanya yang buntar bersinar tenggelam di celah kelopak mata yang di hias kening penuh yang cantik. Sesuai dengan usianya yang awal 40an, helaian rambutnya sudah banyak putih dari hitam, masih tersisir kemas.Dia "menyalin wajah hero Bollywood", itu katanya walau sekali di imbas lebih terarah pada Pakistan penjual karpet.
Kumisnya hampir-hampir kelihatan, tetapi selalu di rapikan.Misai hanya tinggal tunggul, selalu di jaga rapi dan kemas begitu. Dia segak, penuh gaya dan sedikit kolot dari pemakaian tetapi tidak pada akalnya.
Usia awal lelaki itu terikat dalam kemelut yang berselirat, berputar-putar di antara lorong dan hanyir peluh. Dia bersekolah, tetapi sering kelihatan membasuh pinggan di gerai yang menjadi rumah si kucing dan padang permainan sang tikus. Upahnya, cukup untuk ke kantin sekolah esok hari. Dia benar-benar mendalami makna kehidupan.
SPM, dia hanya menggenggam segulung kertas yang sudah renyuk yang memaparkan banyak angka 9 pada setiap keputusan mata pelajaran. Hanya satu dua mata pelajaran yang memaparkan angka enam, bahasa Inggeris terutamanya.Dia mahir dan fasih dengan bahasa penjajah itu.
Menjelang usia remaja, dia penuh gaya. Jamal Abdillah, ya.... dia mahu jadi seperti Jamal Abdillah yang bersuara lunak itu. Di belinya jaket dari jenis denim, hasil dari gaji bulan pertama membanting tulang memikul guni tembakau.Bergaya, dengan rambut berekor kura dan sepasang kaca mata hitam bentuk telur buaya, bukan jenama Ray Ban, tetapi hanya terjual di pasar malam bandar Klang.Itu sudah cukup bermakna buat dirinya ketika itu.Anak muda dan angan-angan yang kian lentur menanti detik untuk patah.
Berdikit, dalam masa yang semakin resah berputar, lelaki itu mula bermuhasabah.
Dia harus dan mesti berubah."Hidup mesti ada tiang gol", ungkapan yang hanya dia seorang sahaja faham.
Bermula dengan satu langkah, dia terus melangkah tanpa menoleh lagi ke lorong hanyir dengan tikus dan kucing tadi,dia meninggalkan jauh penat memikul guni tembakau.Dia bekerja sepenuh masa, semampu tenaga di sebuah firma hasil dari gagasan Dasar Pandang Ke Timur ilham Perdana Menteri ke empat.Habis kerja, dia mula bersiap ke kelas malam.Awal jam 12 tengah malam, dia layu di tilam tak berspan.Hidupnya berputar begitu, hari ke minggu ke bulan ke tahun hinggalah dia mendapat anugerah Sarjana. Dia bukanlah didikan kegeniusan alam seperti Lintang di dalam novel Lasykar Pelangi.Dia bangun dari keredupan kehidupan setelah terdorong dengan sedikit cahaya.
Lelaki itu, sudah tersenyum sekarang.Dia mula bercerita dalam lantang suara yang di lunakkannya. Dia menyulam cerita-cerita kesedaran, cerita-cerita tentang kebangkitan General Electric di bawah kuasa Jack Welch atau betapa angkuhnya Carlos Ghosn yang mampu menterbalikkan Nissan.
Dalam cerita-cerita yang sebegini, dia selitkan juga dengan nilai tambah yang berbunga dan akan mekar dalam setiap jiwa yang mendengar.Dia pengasuh yang baik, bukan sahaja baik tetapi amat baik. Dia boleh bercakap berjam-jam lamanya, dari sisi Management ke Organisation Behaviour, melangkah ke era Samurai dan menyeluk dalam makna KAIZEN atau membasuh minda dengan cerita-cerita cerdas tetapi bertingkah sayu, merentap setiap hati yang mendengar yang tanpa di duga terus berkata "aku boleh".
Setiap ilmu yang ada di curahkannya, sebegitu lurus dan dengan keikhlasan yang tinggi untuk sama-sama di kongsi dan menjadi inspirasi
Lelaki itu, dia mahu jadi seperti Heera Singh yang kurus cengkung atau bergaya elegan seperti Robin Sharma.
Lelaki itu, boleh di ketemu di sini
No comments:
Post a Comment