December 30, 2008

Selamat Datang 1430

Salam Hijrah.Belum terlambat lagi rasanya untuk mengucapkan selamat datang untuk 1430Hijrah.Dalam beberapa ketika nanti, tahun Masihi 2008 pula akan di lipat ke dalam kantung sejarah, melangkah ke 2009.
1429 Hijrah banyak meninggalkan gugus hikmah untuk kita teladani dan di jadikan pengajaran untuk bekalan 1430 Hijrah.
Hijrah Rasulullah SAW memberi kesan besar kepada Islam sama ada dari sudut dakwah Rasulullah, ukhuwwah dan syiar Islam itu sendiri.
Harapnya, Hijrah kali ini memberi perubahan positif yang lebih besar terhadap agama,diri,keluarga dan Malaysia amnya.

December 23, 2008

Cili


Hari Sabtu yang sedikit membosankan, isteri bekerja separuh hari dan saya tiada apa-apa perancangan.Hanya duduk di rumah sambil membaca surat khabar.
Seorang rakan menghubungi melalui talian telefon, mengajak ke Puchong untuk meninjau projek tanaman cili secara komersial yang di usahakan seorang bekas rakan sekerja yang baru "di tamatkan"perkhidmatan kerana usia sudah 55 tahun(pencen le).
Untuk mengisi waktu yang terbuang begitu saja, saya bersetuju mengikut rakan tadi dan sampai di kawasan yang di katakan, hati terpegun.
Hasilnya, bumi Tuhan sentiasa menjanjikan rezeki untuk mereka yang tabah berusaha.Hasil gabungan tradisional dan sedikit teknologi moden, tanaman cili yang di usahakan beliau(yang saya panggil Pakcik),menjanjikan pulangan yang memberangsangkan.
Sebelum pulang, sempat mengutip cili segar untuk bekalan dapur selama seminggu..kah!kah!kah!

Saudagar cili...




* Untuk mereka yang berminat mendapatkan bekalan cili segar, boleh terus berurusan dengan Pakcik Idris di talian 017-2477383

Biru,biru...lu tipu!

Bosan.Perkataan mudah yang mengalir dalam minda yang di turunkan ke paparan “key board”computer.
Benar-benar bosan bila nafsu untuk menulis berada di puncak, tapi hilang puncanya.Entah apa yang ingin dikhabarkan.
Perkara sebegini selalunya berulang dalam rangkap yang sama, di ulang-ulang untuk entah berapa kali.Di tambah lagi dengan sambungan internet yang kerap tergendala, terputus-putus.Kekerapan paparan “no connection”memang menyesakkan, kadang-kadang mudah pula amarah menguasai diri.Sudah kerap benar perkara serupa terjadi dan sudah kerap juga talian khidmat pelanggan pembekal perkhidmatan internet di sergah, kadang-kadang saya menghantar dalam nada yang kasar, nada yang harus di fahami semua orang bahawa seseorang sedang “naik minyak”.Harapkan iklan sahaja yang gah, tetapi pada dasarnya, iklan itu hanya tarikan.Kuasa biru,ahhh…bukan kuasa biru tapi kuasa menipu.Saya pernah mengirim mesej untuk CEO syarikat tersebut yang di kirim melalui bahagian khidmat pelanggan.Kata saya pada lelaki yang menyambut panggilan tersebut “suruh CEO awak resign, dia gagal mengotakan janji yang terpampang di iklan”.Saya faham, amukan begitu hanya untuk mendamaikan jiwa yang sedang memberontak,sia-sia.
Benar-benar kecewa, tambahan pula dalam keadaan sekarang yang amat memerlukan kita pantas bergerak,pantas berfikir dan tekanan kerja yang berada di puncak.Waktu-waktu sebegini, perkhidmatan internet teramat penting untuk saya.Bukan hanya untuk melayari web, tapi juga untuk menyudahkan kerja yang tergendala.
Hairan, untuk entah kali ke berapa juga, rungutan pengguna seperti saya tidak pernah di pedulikan.Hanya setakat “encik, laporan encik sudah kami terima dan pihak kami akan mengambil tindakan susulan”.Telinga sudah lali dengan perkataan dan ayat yang sama, Cuma ulangannya dari suara yang berlainan.
Untuk sekian kalinya, saya masih tertipu….

December 13, 2008

Kampung


Dingin benar-benar mengigit tubuh kerdil yang beralaskan sehelai baju T Pagoda dan berkain pelekat cap Gajah Duduk.Selesai menyiapkan Bencana Tanah Runtuh yang terlebih dulu di taip pada aplikasi Word, kemudian di “copy-paste” ke laman ini, saya segera mendapatkan secawan kopi pekat dan sebatang rokok.Jam yang tergantung kukuh di dinding ruang tamu sudah menunjukkan pukul 02:20 pagi.Nafsu tidur sengaja saya kuncikan agar dapat bertemu Subuh.Harapnya, dapatlah mengerjakan Subuh di surau terdekat, kembali nanti boleh melelapkan mata dan mengisi hari cuti dengan berpeleseran di atas katil.
Hujan mula rintik, mula gugur berdikit.Saya berdiri menghadap tingkap di ruang tamu yang sengaja saya biarkan terbuka.Secawan kopi yang masih terasa panas hingga ke rongga dada di teguk perlahan-lahan, sambil sesekali mencuri ruang menghembus asap rokok.
Hujan yang mulanya hanya rintik, kini mula berderu bunyinya.Kasar menimpa bumi.Lopak-lopak air segera terbentuk di petak-petak parking yang di tinggalkan kosong.Saya masih lagi berdiri di hadapan tingkap, menutup sedikit dengan jendela agar kurang terasa gigitan sejuk.Saya mudah tergugat dengan kenangan ketika berkeadaan begini, sunyi dalam hujan.
Perlahan-lahan, hati di jamah dengan kenangan di kampung.Bila melihat rintik hujan yang semakin kasar, kilatan ingatan mudah membawa saya ke daerah yang menghadiahkan saya sebuah kehidupan. Kampung saya tidak mempunyai hutan.Hanya yang ada, selaut sawah padi dan deretan pokok mangga.Indah.
Di sana, sepak terajang politik tidak pernah di pedulikan.Di sana, walau kaya dengan kemiskinan tapi manusia masih lagi mengenal Tuhannya. Bila tiba musim tengkujuh, lopak air akan bertakung dan kaki akan di penuhi selut hingga ke betis.Anak kecil sudah mengenal mana satu lintah, mana satu pacat.Dan anak kecil juga akan berpesta sakan bila hujan turun.Ibu ayah sudah tidak hiraukan demam selsema, mainlah hujan,sejuk nanti pulanglah anak.
Sungai masih lagi berderu alirnya, walau sesekali airnya keruh berselut.Keli,haruan,puyu dan sepat masih lagi menjanjikan rezeki.Sungai juga tidak pernah poggah hingga pecah tebingnya, jarang juga sungai bebal kerana alirannya.Sungai hanya sesekali naik radang bila air baja dari bendang di lepaskan kerana keli dan sepat hilang dari dasarnya.Tapi rajuk sungai akan segera reda, bila orang kampung turun menebas semak lalang di tebing, menarik keladi dan kangkung dari permukaannya.Sungai akan segera memberi bayang berombak setiap kali matahari memancar cahaya ke permukaan air.Sungai kampung saya sungguh manja.
Kenduri cara kampung,seisi kampung akan berpeluh menyediakan jamuan yang akhirnya di makan sendiri.Lembu atau kerbau akan di sembelih,di lapah dan di jadikan juadah kenduri.Sepakatan masih menebal.Anak muda akan terperosok di sudut paling hujung sambil bersiul membasuh pinggah mangkuk.Upahnya mudah, cuma tembakau dan sekotak rokok yang di bahagi-bahagi.Esoknya, selepas kenduri bertandang lagi, mengemas mana yang perlu.Tuan rumah menyediakan makan tengahari, masih dengan “rapah”kenduri semalam.
Tiba musim menuai, pohon padi yang awalnya menghijau akan bertukar menjadi kuning keemasan dan petani akan tersenyum hingga menampakkan rongaknya gigi.Wang bukan keutamaan, cukuplah sekadar mengalas kehidupan. Semuanya serba indah bila teringatkan kampung.
Jarang benar saya mendengar orang bercerita tentang kampung kelahirannya.Agaknya, mungkin malu.Atau barangkali, sudah terlupa asal usulnya.Benarkah?
Biarlah, sekurang-kurangnya saya masih mempunyai kampung untuk di kisahkan.Biarlah hujan selalu turun, agar bendang di kampung menghadiahkan rezeki pada petani.
Hujan masih lagi terus menggila dan niat awal untuk berjemaah kian tipis.Mata kian letih….saya mahu tidur dan mimpikan tentang kampung.

December 11, 2008

Bencana Tanah Runtuh....



Pagi itu, bangun dari tidur , seperti pagi-pagi yang lainnya, saya akan membuka siaran Astro 502,Bernama TV.Mahu melihat telatah dunia dan isinya, terutamanya telatah manusia dengan nafsunya.Yang gila berpolitik dengan putar belitnya, yang bertuankan wang dengan cereka ekonominya dan manusia melarat dengan deritanya.Semua himpunan sesi pagi ini, satu hidangan untuk saya mematangkan fikiran dan bekalan untuk saya menjengah ketengah-tengah putaran bumi yang sentiasa menyajikan pentas sementara, sebelum kita sama-sama di jemput ke SANA.
Pagi itu, sisipan berita bingkas menyentak jiwa yang baru terjaga, meleraikan mamai yang mengkhayalkan minda.Berita tanah runtuh di Bukit Antarabangsa dan beberapa jiwa terkorban, tertimbus di dalam tanah dan runtuhan kediaman benar-benar mengejutkan di pagi itu.Baru beberapa hari lalu, tanah runtuh telah meranapkan sebuah banglo di kawasan Ulu Yam.
Hati sebak bila mengenangkan nasib mangsa yang di landa malapetaka.Terutamanya umat Islam yang akan merayakan Aildiladha.Terkenangkan juga nasib anak-anak kecil yang kehilangan laman untuk bermain, nasib mereka yang kehilangan kediaman dan harta benda, bahkan mereka yang kehilangan jiwanya. Ahh….pilunya hati.
Saban hari selepas itu, tanah runtuh yang membadai kawasan elit ini menguasai semua media massa , baik di kaca tv atau pun di halaman surat khabar, sehingga menenggelamkan cerita kekalahan pasukan bolasepak kebangsaan di Kejohanan Bolasepak Piala Suzuki.Saya lemas, dengan sensasi yang di berikan media.Lemas juga dengan telatah pemimpin politik yang meninjau mangsa dan menjanjikan sesuatu untuk menutupi kesilapan lalu yang kadang-kala di susuli dengan pertuduhan siapa yang bersalah.Kemanisan janji itu, tidak dapat melupuskan kesedihan dan trauma yang di tanggung semua mangsa runtuhan, agaknya.
Terlihat juga, mangsa-mangsa yang mula menyalahkan pihak berkuasa dan beriya-iya mahu menyaman pihak bertanggungjawab dan beberapa kerat “orang kaya”yang marah-marah, kononnya pihak berkuasa, terutamanya RELA yang tidak membantu mengusung memindahkan harta benda mereka.Pyan Habib menulis dengan lebih lantang lagi perihal manusia begini dalam blognya.
Media juga seakan terlupa nasib keluarga Roslan Mohd Jalil dan Azizan Madon yang kehilangan rumah dan juga dua orang anak mereka di Ulu Yam Perdana, juga akibat rempuhan tanah runtuh beberapa hari sebelumnya.
Dan kata seorang rakan, yang memberikan pendapatnya berkaitan peristiwa tanah runtuh ini mula terimbas kembali.Katanya “kalau takut di lambung ombak, jangan berumah di tepi pantai”.

“Terlintas di fikiran, betapa ponggahnya bumi terhadap manusia dan isinya.
Dulu, kawasan Bukit Antarabangsa adalah kawasan hijau, kawasan untuk tadahan air.Di rasakan, Allah mencipta segala isi bumi dengan fungsi tertentu dan setiap ciptaan itu di datangkan dengan azimat dan matlamatnya. Bila manusia mula meneroka segala isi alam, sehingga terlupa pada matlamat asalnya, maka dengan sendirinya alam mula bersuara.Alam mula menghantar isyarat untuk semua manusia.Kita, sebagai makhluk Allah yang berakal, seharusnya menjawab segala pertuduhan alam ini dengan penuh rasa tanggungjawab.Bukannya dengan menyalahkan si anu itu, si anu ini.Kita mengimpikan kediaman yang mewah di pinggir atau di lereng bukit, lantas mencantas segala semak lalang yang memejalkan tanah, menebang semua pokok hingga tercabut banir dan akarnya yang mencengkam bumi, menenggelamkan semua lorong-lorong air hujan semata-mata mahukan sebuah banglo dan kondo.Tamaknya manusia.Rakusnya nafsu.
Setelah di hantarkan Allah mesej melalui alam, kita masih lagi berdegil, masih lagi berkata “aku tak bersalah, alam yang kejam”.
Firman Allah di dalam surah ar-Ruum ayat 41 yang bermaksud “betapa di zahirkan, di tampilkan, di nampakkan “fasad” kerosakan di muka bumi, lantaran akibat perbuatan tangan manusia sendiri”
Sekali lagi, mana perginya akal?
Firman Allah dalam surah al-Baqarah, ayat 195 yang bermaksud “Dan belanjakanlah harta kamu di jalan Allah dan janganlah kamu menjatuhkan diri kamu sendiri ke dalam kebinasaan dan berbuat baiklah kerana sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang berbuat baik”.
Mari, kita sama-sama beruzlah.

December 06, 2008

Rokok....layan!



Anda faham mesej gambar di atas?

Merokok boleh membunuh.Itu kata iklan.
Itu juga yang tertulis pada sebelah tepi setiap kotak rokok.Semua manusia yang boleh membaca dan melihat faham bahana merokok.
Kerajaan, setiap kali pembentangan belanjawan, akan menaikkan cukai rokok, agar rakyat kurang atau berhenti terus dari menghisap rokok.Setiap kali juga, perokok akan bersungut,harga rokok makin mahal.
Tetapi, berapa orang yang berhenti merokok?

Aku???
Aku sekarang sedikit kurang merokok, dari 30 batang sehari ke 20 batang sehari.

Berhenti merokok??
Ohhh....tidak!
"Pekerja syarikat rokok nak makan apa?"
"Penanam tembakau pun nak bagi anak bini makan..."
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...