May 27, 2008

27-May

Tanggal 27-May-2006 ( Akad Nikah)
Aku bukan lagi lelaki yang dulu, yang berpeleseran mencari cinta.Tuhan menyatukan aku dengan Asnita Mahat Aku bertemu dengan isteri ketika masih dalam fasa mencari makna diri dan arah perjuangan.Rujukan utama semestinya dari novel-novel dan cerpen Pak Samad Said juga buku-buku tentang Management(mentor aku dalam Management,Carlos Ghosn dan Jack Welch).
Ketika itu juga, sering tertanam dalam impian, ingin menjadi seperti Man Kidal atau Malmsteem...hehehehehh! Aku ROCK!!!

Tanggal 27-May-2007 (Kelahiran Syaamil)
Aku dan isteri tidak lagi kesepian.Syaamil mengisi ruang kosong antara kami.Tuhan melimpahkan kegembiraan pada kami berdua ketika dalam persiapan untuk menyambut ulangtahun pertama perkahwinan.Di hadiahkanNya Muhammad Syaamil Asyraf.Terima kasih Tuhanku...

Dan hari ini, tanggal 27-May-2008
Syaamil menyambut hari lahir yang pertama.Usianya sudah setahun.
Aku dan isteri menyambut ulangtahun kedua perkahwinan kami
.


* Aku pernah berjanji pada diri, bahawa aku tidak akan bercerita tentang isteri dan Syaamil di sini.Mereka sesuatu yang terindah dalam hidup aku.Kali ini, aku mungkiri janji yang di buat pada diri sendiri.

May 22, 2008

Isu Malaysia- Hari Ini


Cerita politik
- Tun Mahathir keluar dari UMNO bersama dengan isteri dan Mokhzani
- Pak Lah memikir-mikir percaturan politik yang kian mendesak
- Hishamudin masih lagi terkebil-kebil memberi kenyataan terhadap isu Tun Mahathir
- DAP,PKR dan PAS semakin lantang di Parlimen
- Khairy mencari formula menawan UMNO
- Isu Ketuanan Melayu yang mencari "tuan"

Cerita negara
- Keputusan Pulau Batu Puteh
- Piala Thomas- mimpi yang kian hilang
- Kedah akan tawan Piala Malaysia
- VK Lingam yang kian "hitam"

Cerita rakyat
- Harga beras semakin menggila
- Harga minyak akan naik?
- Tarif elektrik naik ke?
- Jun 2008, rakyat Selangor akan di beri sedikit air percuma
- Yuran sekolah anak tahun depan
- Padi yang tidak menjadi
- Menuntut janji manifesto PRU 12

May 16, 2008

Erti Kemerdekaan

Malam ini, seperti malam-malam yang sebelumnya.Duduk mengadap pekat malam dan angin menyerbu masuk membelah langsir.
Rokok masih lagi terkepit kemas di jari, sesekali di sedut asapnya.Dari kotak pembesar suara, suara Pak Samad mengalunkan puisi Erti Kemerdekaan (yang aku "convertkan"dari video ke mp3) mengkhayalkan seketika....

*Foto yang aku"culik"dari http://elinajani.multiply.com/photos

"Aku
seperti juga kau
punya agama
punya raja
punya negara
punya bahasa....
akulah Melayu Merdeka"

May 15, 2008

Karpal...Lu Cakap Je Lebih!

Media arus perdana menggila dengan cerita Karpal Singh dan saya terheret sama dalam kegilaan ini.
Kuasa Raja-Raja Melayu adalah payung untuk orang-orang Melayu berlindung dan secara dasarnya penghinaan,sindiran atau sebarang perbuatan yang menjurus kepada mengaibkan institusi ini akan mengundang perasaan marah orang-orang Melayu.
Tetapi,berapa ramai "Melayu"yang "terasa hati"bila kedaulatan Raja-Raja Melayu di ancam??

Apa yang UMNO buat bila sekumpulan Melayu menentang perlantikan Menteri Besar Terengganu yang baru?
Apa yang PAS buat bila Karpal bersuara dalam isu pertukaran Pengarah Jabatan Agama Islam Perak?

Secara peribadi, saya mengutuk tindakan-tindakan yang bersifat mencabar dan menghina Kuasa Raja-Raja Melayu, sama kerasnya dengan kutukan terhadap rejim Yahudi melanyak bumi dan rakyat Palestin.


Terima kasih juga kepada Tuan Guru Nik Aziz dengan kenyataan tegasnya dalam isu ini dengan menyifatkan tindakan Karpal Singh adalah suatu penderhakaan.....

May 11, 2008

Selamat Hari Ibu

Saya tahu, ibu saya tidak akan membaca tulisan ini dan setelah di sedari hakikat itu,saya berani menulis apa yang terlintas di fikiran saya ketika ini.

Ibu seorang yang sentiasa sibuk,bahkan hari ini(tanggal 11-May-2008) ibu berada di Pulau Pangkor menghadiri mesyuarat(ibu kuat berpolitik).Dahulu, sewaktu kecil lagi saya telah di biasakan untuk tinggal dengan nenek(al-fatihah buat arwah nenek) kerana waktu itu ibu dan abah sentiasa berkejaran mencari rezeki untuk sesuap nasi dan membesarkan saya dan 2 orang adik(adik yang ke-3 lahir sewaktu saya berusia 23 tahun).Sesibuk manapun, ibu tidak pernah meninggalkan kami tanpa bertanya "ada kerja sekolah?"ataupun "hari ni p mengaji nooo,jangan nak tuang pula" dan pesanan itu masih lagi melekat hingga kini.

Menganjak ke zaman remaja, saya mula berjauhan dengan ibu,mencari diri dan berdikari.Begitupun, ibu sentiasa mengekori saya, menyelinap masuk ke perdu jiwa terutamanya bila saya terasak dengan masalah dan bencana.Untuk meredakan semua itu, saya selalunya akan menghubungi ibu dan selalunya juga ibu akan ketawa dan meninggalkan saya dengan pesanan yang berjela.
Hari ini, ibu masih lagi seperti dulu,masih lagi mengacah saya dengan jenaka bersahaja dan masih lagi sudi menghidangkan jeruk mamam setiap kali saya pulang ke kampung,nun di utara.

Segala doa dan jasa yang terlalu banyak kau beri.Terima kasih untuk susumu,terima kasih untuk airmatamu,terima kasih untuk tamparanmu di pipiku.
Terlalu banyak yang kau beri,terlalu sedikit yang ku balas….terima kasih buat ibu, Salmah binti Ismail.

May 09, 2008

Pangkat...

Aku, ingin bercerita.Tentang manusia dan egonya…

Cerita seorang rakan yang bertugas sebagai “Chief Security”atau untuk lebih mudah di fahami di sebut sebagai “Ketua Pengawal”.
Katanya “ kerja sebagai Security ni, walau tinggi mana pun jawatan, orang tetap pandang hina,macam kucing kurap”.
Saya bertanya kembali “ kenapa cakap macam tu ?”
“Pagi tadi, ada seorang driver Tan Sri, nak masuk dalam kawasan ni hantar surat, aku tak bagi dia masuk pasal undang-undang dah di tetapkan macam tu”dia berhenti seketika dan menarik nafas sedalamnya.
Sambungnya “bila aku cakap ini arahan pihak pengurusan, di makinya aku ni”luah rakan tadi dalam nada pilu”.
"Yang lebih buat aku sedih,dia lupa yang dia tu bercakap dengan orang tua"dia berhenti dan meneguk kopi yang masih mengeluarkan wapnya.
"Baru kerja driver dah sombong,kan?"dia mengerling kepada aku sambil sedikit senyuman tawar jelas menguasai kedut di wajah.
Minda pun berkata-kata...
"Dan manusia sudah hilang nilai insan bila pangkat dan kuasa menjadi raja!"

May 07, 2008

Sidang Karut Carut

Ketua Sidang yang duduk di ruangan khas-sebelah kiri dewan-sedikit tinggi dari tempat duduk lain-sedang membelek-belek minit mesyuarat semalam, sesekali juga mengangkat cermin mata mengintai-ngintai ahli sidang yang hadir.
Ketua Kepala dan Ekor Ketua juga belum lagi hadir,mungkin masih dalam perjalanan atau mungkin juga masih lagi bersarapan di restoran Khazanuah,sebuah restoran Arab yang menyewa ruang di tingkat 2 dalam bangunan yang juga menempatkan Dewan Mesyuarat, tempat ahli persatuan Negeri Timbang bersua dan berbahas.
Lewat pukul 9 pagi, Kepala Ketua dan Ekor Ketua sampai, masing-masing mengambil tempat duduk ,saling sebelah menyebelah di baris paling belakang yang di sediakan untuk Persatuan Timbang.
Sementara ahli-ahli biasa pula duduk di baris depan, menghadap ke arah tempat duduk ahli Persatuan Carut.Sementara Ketua Carut pula duduk di baris belakang ahli-ahli Persatuan Carut .
Sidang pun bermula.
Sidang hari itu senyap dan sepi.Dentuman riuh rendah dan hirup pikuk sudah tiada kedengaran.Cuma, sesekali akan terdengar ketukan meja,tanda sokongan dan bila kedengaran ketukan yang sedikit kuat, masing-masing yang hadir pada sidang tersebut akan segera faham tentang keributan.
Masing-masing yang hadir semuanya runsing bila Kepala Ketua bercakap dan menerangkan tentang Dasar Berita yang baru di luluskan Dewan Mesyuarat.
Semua yang berada dalam dewan itu diam.Takut-takut terkena tempias dan mereka tiada daya upaya melawan atau bangun menentang . Semua pidato Kepala Ketua betul, di angkat sebagai yang benar semuanya.
Kepala Karut juga duduk diam, sesekali menjeling jam besar di dinding dewan,sesekali dia menggenggam penumbuk sendiri, tanda marah tetapi masih lagi bisu,hilang kata-kata. “Ahhh….”Kepala Karut mematah-matah jari sendiri, tanda gusar yang semakin bertingkat.
“Kau kenapa?”bisik Tukang Ladam yang duduk di sebelahnya.
“Aku bukan nak dengar dia cakap pasal Dasar Berita lagi”balas Kepala Karut sambil mengurut kepalanya yang hampir botak.”benda ni dah mendapat persetujuan Kepala Sidang,tak guna nak cerita panjang” , sambungnya lagi.
Dan mereka pun kembali melayan fikiran masing-masing.
Pagi tadi, dia mendapat khabar dari seorang ahli Persatuan Carut,Ekor Karut di tahan dan di lempar ke Gunung Himpit, tempat puaka yang akan menelan sesiapa yang bertandang dan selalunya sesiapa yang terlepas dari Gunung Himpit akan pulang dengan minda yang kosong.Kata orang ada puaka mencuci otak yang akan memadamkan semua ingatan dalam minda sebelum di telan penunggu Gunung Himpit. Dia gusar, kalau-kalau tujahan pedasnya akan mendapat maklum balas dari Kepala Ketua.Dia mula mengimbas kembali tujahannya yang lepas-lepas.Tujahan itu semuanya benar dan jujur, tetapi Kepala Ketua cuma menafikannya,tiada pula sebarang tindakan keras.Kali ini, kenapa pula Ekor Karut di tahan?Apa salahnya?
“Ahhhh…”Kepala Karut mula semak dalam kepala.
Tiba-tiba, dewan yang senyap itu bergema dengan dentuman kuat meja.Semua ahli sidang terpinga-pinga.Ada yang segera bangun, memanjang leher meninjau-ninjau kiri kanan.Yang tertidur pula bingkas bangun dan bertanya-tanya sesama mereka.
“Kepala Sidang, minta laluan untuk saya bercakap sebagai mewakili Persatuan Carut”.Suara Kepala Karut sedikit tinggi sambil ahli sidang yang lain semuanya masih ternganga kehairanan.
“Apa yang awak nak cakapkan lagi ?” soal Kepala Sidang sambil membetulkan jubah yang sudah kusam.
“Boleh ke tak boleh ni,saya cuma minta nak bercakap bukannya nak bersoal dengan Kepala Sidang”dengungan seakan marah keluar dari mulut Kepala Karut.
“Silakan…apa-apa yang bakal terjadi Kepala Karut tanggung sendiri”jawab Kepala Sidang sambil menjeling ke arah Kepala Ketua sebagai tanda hormat.
“Begini..”Kepala Karut berdiri dengan tangan di genggam kemas.
“Saya nak ajukan soalan kepada Kepala Ketua,minta jawab dengan terang dan jelas dan jangan di letakkan sebarang syarat untuk menjawab”sambung Kepala Karut membuka kata.
“Ya, saya berjanji”sahut Kepala Ketua yang sejak tadi hanya memerhati gelagat Kepala Karut.
“Saya di khabarkan, semalam usai dewan bersidang,Ekor Karut di tahan di rumahnya dan akan di hantar ke Gunung Himpit atas kesalahan yang entah apa,jadi saya minta Kepala Ketua tolong jelaskan sebab musabab penahan Ekor Karut”Kepala Karut mengangkat tangan tanda selesai bercakap,lalu dia duduk dan sedikit memberi senyum kepada Tukang Ladam yang duduk di sebelahnya.Perasaan gusar tadi sedikit hilang.
Kedengaran meja di ketuk,lalu diam.
“Minta semua ahli sidang bertenang,jangan kecoh-kecoh, beri laluan kepada Kepala Ketua untuk bercakap”suara Kepala Sidang sedikit kuat.
Ketukan meja bersambung lagi dan kali ini lebih kuat dan semakin bertingkat dan suara Kepala Sidang hilang dalam bunyi ketukan yang semacam berpadu.
“Panggil pengawal”jerkah Kepala Ketua melihatkan ahli sidang semua semakin kurang terkawal.
Beberapa orang pengawal dewan mula masuk, terpacak di tepi pintu.Ada juga beberapa orang dari pengawal tadi meluru ke arah tempat duduk Kepala Ketua.
Kepala Sidang berlari ke arah tempat duduk Kepala Ketua, berbisik sesuatu lalu kembali ke tempat duduk beliau.
“Minta semua ahli sidang bertenang,kita beri laluan kepada Kepala Ketua bercakap”suara Kepala Karut jelas kedengaran dan dewan yang tadi gamat kembali sunyi, cuma kedengaran bunyi kerusi di tarik orang.
“Terima kasih kerana beri saya laluan bercakap dan menerangkan kepada ahli sidang tentang penahanan Ekor Karut”Kepala Ketua mula bersuara, sesekali menjeling kepada Ekor Ketua yang membelek-belek buku catatannya.
“Beliau di tahan kerana cuba menjalankan aktiviti provokasi isu harga jagung yang semakin meningkat dan saya sebagai ketua Negeri Timbang,saya merasakan perlu aktiviti provokasi ini di sekat.Antara maksud penahanan ini adalah untuk memastikan rakyat Negeri Timbang hidup dalam aman dan rukun.”beliau menjeling lagi kepada beberapa ahli Persatuan Timbang yang menangguk-angguk kepala”.
Sambungnya lagi “ oleh itu di rasakan adalah menjadi tanggungjawab saya sebagai ketua untuk memastikan semua rakyat merasa selamat dan hidup dengan aman.Walaupun di tahan di Gunung Himpit tetapi saya akan memastikan Ekor Karut di lindungi dari segala bencana dan saya telah mengarahkan beberapa pengawal untuk sentiasa bersama beliau supaya keselamatannya lebih terjamin”
Beberapa ahli Persatuan Timbang menganguk-angguk lagi,tanda setuju.
“Setahu saya, Ekor Karut berjuang mendapatkan harga jagung yang murah dengan meminta beberapa penanam jagung menurunkan harga dan meminta mereka melebihkan lagi tanaman tahun depan.Saya juga percaya, jika tanaman jagung bertambah, kita tidak perlu lagi bawa masuk jagung dari negara luar, terutamanya dari Negara Atas yang jelas telah menjerut kita semua dengan harga yang tinggi dan ada juga kedengaran bahawa cuma ada sebuah sahaja syarikat yang di beri lesen untuk menjalankan perniagaan import jagung ini.”Kepala Karut kembali bercakap setelah lama mendiamkan diri mendengar penerangan dari Kepala Ketua.
“Sebagai ketua Persatuan Carut saya menyokong saranan Ekor Karut untuk meminta penanam jagung supaya menggandakan tanaman dan dengan jalan itu sahajalah harga jagung dapat di turunkan.Secara tidak langsung, ia akan mengurangkan bebanan ekonomi yang di tanggung rakyat sekarang ini.Di tambah pula,permintaan Persatuan Jaja untuk meminta kenaikkan gaji telah di tolak”.
Dewan kembali gamat dengan ketukan meja.
“Tolong diam semua kita dengar lagi apa kata Kepala Ketua”sambung Kepala Karut setelah dewan kembali riuh.
‘Ha..bagus”bisik Ekor Ketua pada Kepala Ketua.
“Ada apa-apa lagi yang nak di terangkan,sila jika ada”Kepala Sidang sedikit mengangguk kepada Kepala Ketua minta di berikan penerangan lagi.
“Hmmm….”Kepala Ketua sedikit tersenyum sambil mengenyit mata kepada Ekor Ketua.
Beberapa orang pengawal mula bergerak ke arah pintu utama.
“Saya minta sidang ini di tangguhkan sementara waktu dan saya akan memberikan penerangan ini setelah selesai makan tengahari nanti”,kata Ketua Kepala.
“Seperti yang di ketahui, Kepala Ketua kita mengidap penyakit “tak tahan lapar” yang boleh mendatangkan mudarat,jadi sebagai menghormati beliau saya menangguhkan sidang ini sehingga selesai makan tengahari”suara Kepala Sidang jelas dan lantang, serentak itu dewan kembali riuh dan Kepala Karut berteriak kuat “kami mahukan penjelasan sekarang”.Beberapa orang yang duduk di sebelah Kepala Karut bingkas bangun, menyeru perkara yang sama sedangkan Kepala Ketua sudah hilang di sebalik pintu keluar dewan, di ekori beberapa pengawal.Kepala Sidang bergegas keluar mengikut pintu kecemasan.
Suasana dalam dewan menjadi sedikit kelam kabut dan tenggelam dengan beberapa orang pengawal yang berbadan tegap meluru masuk dan memegang tangan Kepala Karut sambil berbisik sesuatu di telinganya.
Antara rela dan tidak, beliau menuruti pengawal tadi dan di luar bangunan yang menempatkan dewan itu jelas kelihatan sebuah kenderaan kalis peluru sedang menanti.
Seorang ahli Persatuan Carut tersengih pada seorang rakannya sambil berkata “ nampaknya kita kena adakan sidang khas selepas ini untuk memilih Kepala Karut dan Ekor Karut yang baru,kita pilih mana-mana ahli yang masih bujang dan adakan pemilihan,kau setuju?”sengihnya lagi dan di balas oleh rakan beliau juga dengan sengih.

May 04, 2008

Jam 2 Pagi,1 Mei 2008



Jam 2 pagi.Tangan pantas menyentuh papan kekunci,menekan mana-mana huruf yang sempat melintas,lalu memadam dan menyusun semula,mencari-cari ayat yang sesuai.Otak juga masih ligat,memikir mana yang perlu,mana-mana yang penting dan sesuai di letak huruf dan menyusun lagi,lengkapkan satu ayat.Ayat-ayat tadi bersambung,bercantum dan membentuk karangan atau mungkin juga catatan.Novel Tuhan Manusia dari Faisal Tehrani yang di beli siang tadi diam tidak terusik,kaku bersama Growing Up In Terengganu,karya Awang Goneng ,berselerak atas meja bacaan. Hanya sempat membelek-belek seketika,di letak kembali dan mencapai cawan yang masih berbaki kopi yang sudah sejuk.Hati berkata”kopi tanpa rokok,umpama nasi tanpa lauk”.Tangan mencapai rokok di sisi,melekat di bibir dan api pun di nyalakan.Asap berduyun masuk ke rongga dada,di hembus dan hilang dalam pusaran kipas angin dengan kelajuan 3.
Akhbar hari ini juga masih berbaki untuk di baca dan seperti selalu,saya akan membaca 3 jenis akhbar setiap hari.Pertama membelek-belek The Star ketika sarapan pagi,kemudiannya Sinar Harian Edisi Selangor ketika menjamah makan tengahari dan kebiasaannya Berita Harian akan di baca pada malam hari,sesudah menunaikan Isyak.
Berita yang di baca dalam akhbar Berita Harian sebentar tadi(1 May 2008)kembali segar di ingatan.Bukan kerana berita Datin Rosmah menafikan dakwaan blog,bukan juga kerana Tan Sri Pandhitan yang pulang kepada penciptaNya tetapi kerana satu tajuk kecil tetapi sarat dengan seribu satu persoalan, yang lebih mendesak jiwa dan di rasakan teramat penting untuk di beri perhatian.Berita dari utara dengan tajuk 3 BERANAK BERUMAH DI WAKAF AWAM.Berita ini benar-benar membuat jiwa kecil saya menangis.Seorang ibu berusia 37 tahun dan 2 orang anak,masing-masing berusia 14 tahun dan 16 bulan di beritakan hidup melarat,menumpang teduh di sebuah wakaf awam di Tanjung Chali,kawasan rekreasi di pinggir Sungai Kedah dan cuma mengharapkan belas ihsan pengunjung yang bersiar di taman rekreasi itu untuk menghulurkan bantuan.
Tambah meresahkan saya bila tajuk utama akhbar Berita Harian galak melaporkan SIDANG DEWAN RAKYAT KECOH kerana gelagat YB-YB yang suka bercakar dan bercakap,tetapi malas bekerja,sedangkan dalam waktu yang sama, rakyat(seperti saya,kau dan makcik yang di ceritakan tadi)masih lagi ternganga memikirkan berapakah harga sekilo beras untuk esok,lusa dan hari-hari yang bakal tiba.
Perut perlu di isi dengan nasi bukan dengan paparan berita…..

* Buat YB-YB yang di beri mandat mentadbir Kedah untuk 5 tahun mendatang,jenguk-jenguklah makcik tadi di wakaf Tanjung Chali…..
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...