July 18, 2014

Syukur Simpati Buat Palestin



Kadang-kadang timbul juga pertanyaan dalam kepala otak saya.
“Apa yang kita buat untuk membantu mereka di Palestin, setelah kurang lebih 60 tahun hak mereka dirampas?”
Barangkali bagi kita yang sedang hidup di sebuah negara yang aman ini(?), cerita Gaza, cerita Palestin hanya cerita biasa kerana kita beranggapan mereka sudah lama mengalaminya, perkara luar biasa bagi kita sudah menjadi biasa buat mereka lalu menganggap semua itu sudah takdir bagi mereka. Atas alasan itu, kita pun meneruskan hidup seperti biasa.

Mereka juga tahu sakit, mereka juga tahu derita, mereka juga ada jiwa, ada rasa dan tahu menangis bila insan yang mereka sayang dibunuh kejam, hancur robek tubuhnya ditembak dibom. Bagaimana jika kita yang hadapi situasi ini?

Sungguh malang nasib mereka. Sudahlah seluruh dunia meminggirkan mereka, kita ini-yang kononnya ada ada rasa kemanusiaan-hanya mampu melihat, hanya mampu bersedih dan sesekali berdoa moga Tuhan melindungi mereka. Sekali lagi pertanyaan itu muncul, “apa yang kita boleh lakukan untuk membantu mereka?”

Lebih malang lagi apabila ada dikalangan kita tidak memilih untuk berdoa apatah lagi mengirim simpati kerana berpendapat “mereka bukan dari kalangan kita”, maka agama apa yang tidak mengajar penganutnya tentang kemanusiaan?
Pernahkah kita terfikir jika suatu hari nanti datang orang asing halau kita dari negara yang kita duduki ini, mereka rampas rumah kita, mereka bunuh anak-anak kita.
Pernah terfikir semua itu?

Hari ini hari mereka, entah esok lusa hari kita. Kerana itu, dalam bersyukur kita mesti berwaspada.
Bersyukur dan bersimpati. 

July 02, 2014

Musim dan Waktu


Musim panas pun tiba lagi. Ketika bahang matahari menukar lopak-lopak air menjadi kering dan menampakkan warna tanah yang mula merekah. Musim ini juga cuaca mudah menggila, hilang susun aturnya.Tabiinya berubah-ubah dari lurus kepada songsang dan songsang kepada lurus.
Untuk seminggu dua, lopak-lopak air itu akan merekah, kontang dan gersang dan kemudiannya terisi semula dengan air yang menderu turun dari langit setelah di hantarkan guruh dan petir sebagai tanda awal. Air akan mula mencelah di sebalik rekahan tanah, menggembirakan isi perut bumi yang sebelumnya kontang dan hampir mati kepanasan. Tetapi perlu juga diingat, ada kala musim boleh bertukar gila, segila mahunya tanpa boleh disekat-sekat lagi.
Ini pusingan alam. Aturan Dia. Ini musim.
Musim berganti walau kekadang songsang.

Musim tidak seperti waktu.
Waktu tidak pernah menipu dan mendustakan sejarah. Yang sering tertipu, menipu dan lupa pada sejarah adalah kita.
Kita barangkali akan kekal mengingati sesuatu yang indah, yang membahagiakan untuk tempoh yang panjang. Imbasan itu akan di putar-putar pada ruang khayal sendiri,akan tersenyum sendiri. Akan di ingatkan juga tarikh dan waktu lalu dengan kuat cuba mengingatkan juga suasana ketika itu, cuaca ketika itu-panas terik dan peluh yang memercik- atau debaran jantung yang mencapai tahap maksimum.
Begitulah, kita hanya akan mengingati sesuatu yang ingin kita ingat walaupun peristiwa itu berlaku 2 tahun lepas, pada tarikh yang sama, pada waktu yang sama dan dalam persekitaran cuaca yang sama.
Dan kita akan terus hidup dengan kenang-kenangan tadi. Membasahkan fikiran dengan perkara yang manis dan indah. Kita berkhayal, berhalusinasi untuk merasakan kita masih berada dalam kesyahduan, dalam kehidupan yang enak-enak sedangkan kita sebenarnya sedang bertarung untuk terus hidup, melunakkan kehidupan dengan angan.

Seperti juga musim, hingga ke satu tahap, bila khayalan itu sudah tepu kita akan menyalahkan semua perkara, semua hal yang menjadikan kita begini hatta kepada Tuhan.
Tergamak kita marahkan Tuhan hanya kerana impian kita tidak terlaksana, hanya kerana apa yang kita angankan itu Tuhan tidak tunaikan.

Lalu kita pun kembali bertarung, antara musim dan waktu. Untuk terus hidup, untuk yang enak dan lunak walau sebenarnya kita sedang berkhayal.


July 01, 2014

Ramadhan lawan Aidilfitri

Ketika saya menaip catatan ini, Ramadhan sudah masuk hari yang ketiga, maknanya kurang lebih 27 hari lagi kita akan merayakan Aidilfitri.
Ada sahabat saya kata, Aidilfitri pesta makanan. Sebulan berpuasa, kita menahan lapar dan dahaga. Sewaktu Aidilfitri semua lapar dan dahaga itu diraikan semahu mungkin.
Bagi saya, itu pembohongan paling nyata.
Kenapa?
Tidak perlu membaca buku tulisan Wyne W.Dyer untuk memahami teori ini. Senang saja.
Sehari, berapa RM kita belanjakan untuk juadah berbuka? Katakanlah, RM20, untuk sekali hadap. Semuanya diborong dari Pasar Ramadhan.
Kalau tidak penuh meja, bukan Melayu Malaysia lah namanya.
Jadi, apa perlu lagi pesta makanan semasa Aidilfitri jika sepanjang Ramadhan pun sudah berpesta makanan.
Dan Pasar Ramadhan yang sememangnya mewah dengan pelbagai jenis makanan cuma wujud di bulan Ramadhan.
Ada juga yang menyifatkan Aidilfitri sebagai medan bersedih.
Mahunya tidak, anak memohon ampun dengan ibu bapa. Kemudian ucapkan "mohon ampun maaf", sudahnya bapa atau ibu akan peluk anak, menangis. Sedih sebab anak jujur dan tanda sayangkan anak.
Macam adegan layar perak.
Aidilfitri hari gembira tetapi kita suka selitkan dengan adegan sedih-sedih.
Apa sudah jadi?

Ini persoalan yang tumbuh dalam kepala gua kerana merasakan pengertian Ramadhan dan Aidilfitri sudah disalah tafsir oleh Melayu Malaysia.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...