July 02, 2014

Musim dan Waktu


Musim panas pun tiba lagi. Ketika bahang matahari menukar lopak-lopak air menjadi kering dan menampakkan warna tanah yang mula merekah. Musim ini juga cuaca mudah menggila, hilang susun aturnya.Tabiinya berubah-ubah dari lurus kepada songsang dan songsang kepada lurus.
Untuk seminggu dua, lopak-lopak air itu akan merekah, kontang dan gersang dan kemudiannya terisi semula dengan air yang menderu turun dari langit setelah di hantarkan guruh dan petir sebagai tanda awal. Air akan mula mencelah di sebalik rekahan tanah, menggembirakan isi perut bumi yang sebelumnya kontang dan hampir mati kepanasan. Tetapi perlu juga diingat, ada kala musim boleh bertukar gila, segila mahunya tanpa boleh disekat-sekat lagi.
Ini pusingan alam. Aturan Dia. Ini musim.
Musim berganti walau kekadang songsang.

Musim tidak seperti waktu.
Waktu tidak pernah menipu dan mendustakan sejarah. Yang sering tertipu, menipu dan lupa pada sejarah adalah kita.
Kita barangkali akan kekal mengingati sesuatu yang indah, yang membahagiakan untuk tempoh yang panjang. Imbasan itu akan di putar-putar pada ruang khayal sendiri,akan tersenyum sendiri. Akan di ingatkan juga tarikh dan waktu lalu dengan kuat cuba mengingatkan juga suasana ketika itu, cuaca ketika itu-panas terik dan peluh yang memercik- atau debaran jantung yang mencapai tahap maksimum.
Begitulah, kita hanya akan mengingati sesuatu yang ingin kita ingat walaupun peristiwa itu berlaku 2 tahun lepas, pada tarikh yang sama, pada waktu yang sama dan dalam persekitaran cuaca yang sama.
Dan kita akan terus hidup dengan kenang-kenangan tadi. Membasahkan fikiran dengan perkara yang manis dan indah. Kita berkhayal, berhalusinasi untuk merasakan kita masih berada dalam kesyahduan, dalam kehidupan yang enak-enak sedangkan kita sebenarnya sedang bertarung untuk terus hidup, melunakkan kehidupan dengan angan.

Seperti juga musim, hingga ke satu tahap, bila khayalan itu sudah tepu kita akan menyalahkan semua perkara, semua hal yang menjadikan kita begini hatta kepada Tuhan.
Tergamak kita marahkan Tuhan hanya kerana impian kita tidak terlaksana, hanya kerana apa yang kita angankan itu Tuhan tidak tunaikan.

Lalu kita pun kembali bertarung, antara musim dan waktu. Untuk terus hidup, untuk yang enak dan lunak walau sebenarnya kita sedang berkhayal.


No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...