November 16, 2011

Blog Ini

Saya mula menulis blog ini sejak Disember 2006, ketika saya mencari satu ruang untuk meluah apa yang saya rasa, menyampai segala yang tersirat dan berselirat.
Sebelum wujudnya blog "Aku Dan Sesuatu....", sekitar tahun 2001 saya pernah menulis di www.catcha.com.my(sekarang sudah lupus). Ketika itu, saya sekadar menulis, mengikut kemahuan dan nafsu anak muda yang mempunyai daya amarah dan semangat juang yang nyata. Saya menyampaikan segala rasa kecaman yang membara, kemarahan yang tidak mampu lagi di tanggung sendiri dan perasaan yang sering melayang-layang.
Akhirnya, tulisan di catcha.com.my itu tenggelam bersama amukan teknologi yang menghimpit. Entah apa jadi dengan catcha.com.my sekarang. Biarlah...

Setelah hampir 6 tahun kelahiran Aku Dan Sesuatu, saya mula merasa letih untuk menulis. Idea itu sentiasa ada, ruang juga sering tersedia tetapi kekangan antara mahu dan tidak sahaja. Bukan penghalang, tetapi lebih kepada "malas nak cakap apa dah".
Akhirnya, blog ini hanya di kemaskini dan di masukkan entri baru bila kepala terasa "terisi", bila jiwa berbisik "lepaskanlah..."

October 06, 2011

Renungan

Aku merenung beberapa keping gambar yang tersimpan di dalam cakera keras komputer, merenung dan termenung.
Tersenyum.

Detik-detik itu mengingatkan aku pada sesuatu yang indah, yang bahagia dan membelai jiwaku sendiri. Aku mahu terus merenung gambar-gambar itu kerana aku mahu kekal merasai saat-saat indah.
Hanya gambar itu menjadi pengingat betapa martabat tertinggi dalam hidup manusia selepas tawakal adalah redha.

October 02, 2011

Hujan II

Sejak beberapa minggu yang lalu, cuaca semakin tidak menentu. Perancangan untuk beberapa agenda peribadi juga sering terkaut dalam duka. Cuaca pagi yang di simbah bahang panas selalunya di sambut petir dan hujan pada petangnya atau sesekali hujan mencanak gila pada tengahari. Sering juga saya membebel seorang diri untuk santapan halwa telinga, tetapi segera di waraskan bila menyedari bumi ini hak Dia.


Ketika saya menaip catatan ini, hujan masih lagi rintik setelah di siram dengan air yang mencurah-curah tanpa henti hampir 1 jam ; sebelumnya langit kelihatan membiru, tanda bahawa hujan akan mula turun pada penghujung petang membawa sehingga ke malam. Tetapi, itulah perancangan Dia. Tanpa sedar, sudah ada manik-manik halus menampar cermin kereta ketika perjalanan pulang ke rumah usai mengerjakan sepinggan nasi mamak berlauk kari kambing yang baunya melekat di jari, santapan tengahari lelaki "bujang sekejap" seperti saya.
Dari beberapa titisan yang melunjur laju di permukaan cermin hadapan kereta, ianya semakin menenggelamkan kuapan 'wiper' cermin. Akhirnya, saya kebasahan setelah meletakkan kereta di bawah rimbunan ceri di depan rumah.
Setelah menyalin pakaian, secawan kopi di bancuh mengikut selera lelaki urban-penuh artistik sifatnya- berlawanan dengan kain pelekat yang di sarung.
Saya melihat rintik hujan, menghumban segala bahang panas yang di bawa air melalui longkang.
Aliran perasaan juga turut teroleng selari dengan derasnya air yang merentap sunyi ketika titisan hujan tadi mencecah bumbung rumah.
Satu-satunya perkara yang saya suka tentang hujan adalah suasana setelah hujan turun di tengahari. Dingin dan menyejukkan. Bau khasnya yang membuatkan saya tenang. Bahkan, saya mempunyai fantasi sendiri dengan suasana setelah hujan di tengahari. Setiap membayangkannya saya tersenyum sendiri.
Hujan, selalunya menghukum perasaan halus saya lalu saya tunggu ketika saatnya matahari muncul tanpa henti.
Hanya Dia yang tahu, ya...hanya Dia yang tahu.
Dan setiap dari kita pasti memiliki cerita tentang hujan. Hujan dan kenangan.

August 28, 2011

Kehilangan

Tinggal beberapa detik lagi sebelum merasa kehilangan yang amat sangat. Rasa rindu akan mula mematuk dan memulas-mulas tangkai hati. Rasa kesal kerana tidak menyempurnakan segala yang ada sepanjang 29 hari bersamanya akan mudah menerjah.
Detik-detik akhir ini semakin terasa berat untuk di biar berlalu. Detik-detik akhir ini juga petanda akan datang satu lagi detik yang lain-manis-tapi hanya buat mereka yang memenuhkan 29 hari sebelum ini.
Biarlah, detik akan sentiasa berjengkek,berlari dan hilang.
Demi Masa! Sesungguhnya manusia itu dalam kerugian -Kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh, dan mereka pula berpesan-pesan dengan kebenaran serta berpesan-pesan dengan sabar.Al-’Asr 103: (1-3)
Kehilangan sering di rasai tetapi tidakkan sama dengan kehilangan Ramadhan.
Syawal mengamit, mengumpan segara kemanisan setelah kehilangan.
Doakan moga masih sempat menangguk Ramadhan untuk tahun seterusnya.




 Selamat Hari Raya, Maaf Zahir Batin.

August 03, 2011

"Orang yang suka buku akan faham apa itu buku...."


Saya menulis pada ruangan komen di facebook saudara Jiwa Rasa dengan sedikit panjang-melebihi komen orang lain- kerana sifat cemburu memang sebati dengan diri saya. Tulis saya di laman facebook beliau ;

"Tuan, betapa cemburunya saya pada koleksi buku tuan, di tambah lagi rasa cemburu yang teramat sangat kerana kesempatan tuan melewati toko-toko buku di negara luar. Saya, selalu berkeinginan menjelajah Asia dan segala isi pelosoknya, singgah dan bersantai di toko-toko buku ternama, menghirup udara dan nyamannya suasana dalam ruang ilmu.
Saya cuba memberi ruang kepada diri sendiri bersenang-senang dengan dunia ini, dunia buku dan seputar ilmu.
Ketagihan ini semakin ketara sementalah usia beranjak, mendaki dan mula merapati segala cabang ilmu.
Harapnya, kesempatan itu sentiasa ada, di penuhi segala doa-doa saya menjengah dan duduk bersantai."

Permulaan rasa cemburu ini menyelinap setelah saudara Jiwa Rasa mengirimkan kepada saya buku Seorang Tua Di Kaki Gunung yang sudah di bacanya- pinta saya kepada beliau tanpa rasa malu- juga melalui facebook.
Saya tidak menjangkakan apa-apa, tetapi jika beliau sudi menjual, dengan besar hati akan saya beli. Sudahnya, dengan sepenuh keikhlasan, saudara Jiwa Rasa mengirimkan buku tersebut kepada saya, tanpa apa-apa bayaran.Katanya "hanya hadiah".
Apa lagi yang mampu saya kata, melainkan rangkaian terima kasih yang tidak terhingga. Hanya Dia yang tahu betapa gembira dan bersyukurnya saya setelah membuka bungkusan Pos Laju yang terselit di dalamnya buku yang sudah lama saya buru ini. Seorang Tua Di Kaki Gunung, sebuah novel tulisan Azizi Hj Abdullah, yang saya pernah baca sekitar tahun 1987(saya masih bersekolah rendah), tetapi kesannya masih terasa menggigit perdu hati saya sehingga kini.
Seorang rakan mengusik saya, katanya"buku lusuh macam ni pun hang boleh beli."
Jawab saya, "yang lusuh mungkin kulit, tetapi isinya tetap teguh dan kental".
Dia hanya diam. Lalu saya matikan perbualan itu dengan kata-kata "orang yang suka buku akan faham apa itu buku".
Yang saya utamakan bukanlah pada hiasannya tetapi lebih kepada isinya dan lebih istimewa, ianya pemberian seorang yang sentiasa saya kagum dengan kecekalannya mengejar ilmu.

Terima kasih. Terima kasih abang Jiwa Rasa. Saudara mungkin tidak mengerti perasaan saya ketika ini yang sedang bersyukur, betapa bertuahnya saya memiliki seorang kenalan seperti saudara.

July 25, 2011

Sabar???

Bayangkan....

Seorang gadis yang di kenali bertahun-tahun dan bersama mewarnakan kanvas hidup tiba-tiba mengutus ucapan "tak nak teruskan..."
Lelaki itu pun berbalas ucapan, "kenapa?"
Sambut si gadis "entah".
Lelaki itu mendengus, menarik nafas pada sudut paling dalam. Menghembus. Menarik nafas kembali. Kepalanya seakan mahu pecah di serbu persoalan.  Dia beransur ke ruang tamu. Pecahan warna coklat pada dinding ruang tamu seakan mahu menelan tubuhnya sedangkan selama ini, untuk bertahun lamanya warna itu sentiasa menyampai damai. Putaran kipas siling seakan mahu jatuh dan menghempap dirinya. Waras semakin menipis. Lalu di kirimnya ucapan lagi, "aku tak pernah mengalah".
Dia menghempaskan diri pada sofa separa kulit yang sudah kusam warnanya. Sebentar kemudian ucapan itu berbalas. 
Jawab si gadis "Sabar.."
Lelaki itu termenung. Dia memandang keluar melalui tingkap yang terbuka. Dia menjenguk ke luar. Dari tingkat 10, semua benda nampak kecil. Beberapa ekor lembu yang selesa meragut rumput di dataran bekas lombong gagal menarik hatinya.
"Kenapa dengan awak ni?Di balasnya secepat mungkin.
"Saya mahu berubah", jawab si gadis dengan pantas.
"Bagaimana dengan saya?", soal lelaki itu.
"Awak boleh dapat wanita yang lebih baik dari saya...", si gadis kembali menjawab tanpa berlengah.
Dia cuba menjawab "awak terbaik dalam hidup saya, segala rasa bahagia saya bermula dari awak", tetapi lelaki itu tidak menjawab begitu.
Di jawabnya ringkas, "saya mahu awak" lalu di balas dengan "saya tak nak awak dah".
Lelaki itu membetulkan rambutnya yang terbang di tiup angin.
"Saya sayangkan awak. Awak dah tak sayang saya ke?" Dia menyoal.
"Pernah ke saya cakap saya sayangkan awak? Awak tak perasan ke?". 
Dia meraup muka dengan tangan kanan. Tangan kirinya masih memegang erat telefon bimbit jenama yang sama dengan buah-buahan.
Dia kembali mengimbas kenangan yang ada. Banyak sekali. Terlalu banyak. Gadis itu terlalu banyak mempengaruhi hidupnya.
"Pernah. Awak dah lupa ke? Cara layanan awak, cara awak bercakap semua menunjukkan awak sayang saya." Balas lelaki itu.
Keadaan kembali diam.
Dia cuba kembali mencari warasnya.
"Sabar? Itu je yang dia boleh cakap?"
Dalam hatinya mula terkutik dendam. Imbasan-imbasan kenakalan pantas menerobos.
"Ahhh...aku perlu lebih waras"

Cuba, cuba kita berada di dalam keadaan lelaki itu.
Cuba bayangkan....

July 23, 2011

Prisma

Aku cuma mahu menyebarkan cahaya sebenar dalam hidup kamu


Bukannya menjadi mimpi ngerimu
Aku juga bukannya cermin
Aku cuma biasan cahaya

June 22, 2011

Sakit

"Minggu yang paling menyeksakan,aku mahu segera ke minggu depan", terkuis bisikan ini di telinga.Minggu ini,sudah berapa kali emosi saya di sentap, di lepas dan di sentap semula. Sudah beberapa kali juga radang saya turun naik.Saya sedang sakit tetapi semua bisanya sudah saya serap, sudah sebati dalam urat,daging dan menghuni dalam hati saya. Saya bukan bersungut, penyakit ini saya terima, penyakit ini saya pilih dan saya merelakan penyakit ini singgah lagi.

Penyakit ini akan singgah lagi bulan depan dan bulan-bulan seterusnya, berulang-ulang hingga sampai ke penghujung nyawa.Saya tidak perlukan Panadol atau Ponstan, saya cuma perlu bersabar menunggu penawarnya minggu depan.
Deritanya bukan sedikit, tapi kelazatan merasai nikmat sesudah sakit tidak ternilai harganya.

"Ahhh......minggu depan sihatlah"

June 21, 2011

Pena Dan Kertas

Pada siapa mahu di layarkan rasa ini jika tidak pada bait-bait ayat yang di susun dan di zahirkan. Perasaan ini sering tingkah bertingkah, mengalun, mengapung dan terzahir pada ruang khayal sendiri.
Yang tersedar, akan segera memahami, yang tertanya sering memanipulasi dan yang tahu segala yang tersirat, cuma aku.
Hanya aku. Hanya aku yang mengerti siapa aku. Aku zahirkan segala perasaan pada ruang khayal yang berbicara sendiri ini kerana aku percaya,yang mengerti apa ku mahu hanyalah aku.
Syukurlah, kerana aku masih mampu menulis walaupun yang mengerti cuma aku. Berilah aku pena dan kertas, akan ku catatkan segala rasa yang ada.....Barangkali benar katamu, "masing-masing tahu apa masing-masing rasa..."

Jinak-Jinak Merpati 2

Merpati putih itu hinggap di atas ranting pohon jambu berdekatan surau. Dia menenggek di ranting paling hujung yang sudah banyak hilang daunnya.
Beberapa ekor semut hitam menjalar- meniti ranting-menuju ke arah merpati putih.
Dia tidak hiraukan semut-semut hitam yang sudah berduyun mengatur gerak mendekatinya. Beberapa ekor sudah semakin hampir.
Di henjutnya sedikit ranting itu dengan menggerak-gerakkan kakinya,ranting beralun dan semut-semut hitam yang cuba mendekatinya tadi segera berundur, sudah ada yang terjatuh ke tanah. Dia bukannya kejam, cuma dia mahukan sedikit selesa di ranting yang di singgahi seketika itu.Dia tidak perlukan teman, apatah lagi semut hitam.
Kuku kakinya yang tajam itu mencengkam ranting jambu tempat dia menenggek. Di panjangkan leher, meneliti susunan rumah-rumah berdekatan surau itu-sunyi-semua penghuni mungkin sedang sibuk di luar mencari nafkah untuk anak isteri. Yang tinggal dan jelas kelihatan, cuma susunan selipar di tangga surau. Suara anak-anak yang sedang mengalunkan kalimah syahdu jelas kedengaran. Dia terfana ketika beberapa ayat suci di tangkap sel-sel pendengaran.Dia khayal tetapi segera sedar yang dia cuma seekor merpati putih yang tiada bertuan.
Tubuhnya sedikit bergoyang ketika angin gila dari utara menyapa ganas, mengocak-ngocak bulu pelepahnya. Di cengkamnya kemas kuku pada ranting jambu itu. Langsung tidak tergoyah. Dia kukuh di situ biar di sambar angin gila dari utara itu lagi.
Beberapa helai daun kering teroleng-oleng, kekadang menjunam kemudian teroleng semula dan akhirnya jatuh diam di atas tanah berdekatan surau. Ada beberapa helai yang lainnya singgah di atas pelantar basikal yang di letakkan di bawah pohon jambu itu.
Dengan kecermatan yang maha tinggi, dia melepaskan kukunya dari ranting, kepak di kipas-kipas dan segera mengapungkan diri.Dia melayang tanpa tahu ke mana mahu di tuju. Dia akan sentiasa merindukan surau dan pohon jambu....
Dalam hati merpati putih itu terdetik "aku ingin suatu hari nanti kau sedar yang kebebasan akan berakhir dengan cinta dan segala isi rahmatNya...."
Dia cuma seekor merpati putih....

June 05, 2011

Cerita

Aku bukan hanya ingin bercerita
Aku ingin juga berkongsi rasa

Ini cerita tentang manusia
Bukannya cerita tentang dewa-dewa
                                          yang entah ada entah tiada
Ini cerita tentang aku dan sesuatu dalam hidupku
Ini cerita tentang aku,
                                   tentang dia,
                                                      tentang mereka.

May 29, 2011

Panas



Seharian di kampung isteri, Kampung Kuantan, Kuala Selangor.

Syaamil sedang suka melunaskan hasrat memiliki permainan helikopter "dual blade". Terkekeh dia ketawa ketika helikopter itu naik turun sambil Rafi'e terjerit girang. Impiannya untuk memiliki helikopter "dual blade" kawalan jauh akhirnya tertunai setelah saya mengeluarkan beberapa keping wang kertas RM50 lalu di hulurkan pada seorang salesgirl yang asyik tersenyum tengahari tadi.
Nasi lemak yang di beli pagi tadi langsung tidak di jamahnya, terbiar lesu di atas meja makan, beberapa ekor lalat mudah hinggap dan kembali berterabur terbang setelah dapat di kesan oleh tangan nakal Rafi'e.
Mereka berdua sering mendinginkan hati saya ketika "panas hati" berada di puncak.

Saya hanya memerhatikan dari jauh sambil membuka lembar demi lembar karya terbaru Andrea Hirata; dwilogi Padang Bulan dan Cinta Di Dalam Gelas. Cuaca panas yang mencetuskan wap berbahang mudah terperangkap di dalam ruang serambi, tempat saya sedang bermalas sekarang.Peluh merenik di dahi, juga terasa hingga memerjik peluh di kaki.

Isteri sedang sibuk di dapur, menyiapkan hidangan untuk majlis doa selamat meraikan hari lahir Syaamil dan Rafi'e juga sekaligus ulang tahun perkahwinan kami. Syaamil lahir pada tarikh yang sama dengan acara akad nikah saya, setahun selepas saya di ijabkan dengan isteri. Kami berkongsi tarikh yang sama tetapi acara yang berbeza sifatnya.Rafi'e juga lahir pada bulan Mei, awal bulan Mei.Mudahnya, bulan Mei adalah bulan yang paling bermakna dalam hidup saya walaupun matahari bulan Mei kebiasaannya tidak malu menumpahkan panas membakar.

Situasi ini sering saya tunggu, saat saya mengapungkan segala rasa cinta pada mereka yang berada di sekeliling saya.
Hidup amat indah, apatah lagi jika semua impian terpapar di depan mata.
Ada lagi impian saya yang belum terlaksana,hanya saya tahu segalanya dan impian ini tidak akan lekang walau panas cuaca merekahkan kulit.

May 18, 2011

Hujan


Hujan
Hampir setiap petang sejak 4 hari lepas, hujan akan bertimpa-timpa di sertai petir yang kadang-kadang meresahkan.
Sebelum ini, sebelum 4 hari lepas saya pernah berdoa pada satu Subuh yang membahang, "moga di sertakan hujan yang dingin buat menutupi panas yang membahang siang dan malam. Aku rimas Ya Allah, bahang panas ini membaham segala urat saraf yang selalu memercikkan peluh dan bukan sekali dua migrain singgah di kepalaku".
DIA memakbulkan doa saya lalu di curahkan hujan tanpa henti sesudah Asar dan rintik hingga senja sejak 4 hari lepas.
Saya mula rimas kembali.

"Ya Allah, bagaimana aku mahu pulang jika hujan dan petir menghiasi dada langit, bagaimana pula mereka yang mencari rezeki dan berulang alik bersama motorsikal merempuh gelap malam di laluan penuh sunyi?"

Benarlah, manusia tidak pernah selesa dengan apa yang di beriNya.

April 27, 2011

Jinak-Jinak Merpati

Merpati putih itu terbang girang,melenggang lalu menjunam dan menenggek di ceracak tepi tasik. Kepaknya yang putih bersih di kuis-kuis dengan paruh. Gugur beberapa helai rumput.
Seorang lelaki berjanggut lebat berkumis tebal yang sedang melangut di tepi tasik memerhati dengan galak. Mahu di regut merpati putih itu, di jerat lalu di sangkarkan.
Merpati putih memerhati lelaki di tepi tasik seraya terdetik di dalam hatinya.
"Manusia tidak pernah puas dengan apa yang ada. Kau mungkin miliki pasangan yang sehidup semati tetapi kau curangi dengan nafsu melulu. Barangkali juga kau sudah lupa wahai manusia, pepatah bangsamu ada berkata jinak-jinak merpati ".
Merpati putih kembali terbang, mengibas-ngibas kepaknya lalu menajisi si lelaki berjanggut lebat berkumis tebal.

April 26, 2011

Umpan Perasaan

Saya selalu mengacukan soalan pada diri sendiri untuk mendamaikan perasaan. Selalu juga, atau kerap kalinya saya akan menulis segala rasa di dalam lembar kertas atau dalam buku catatan. Ada antaranya yang saya siarkan di dalam "mukabuku". Jika terlalu sensitif, saya hanya biarkan catatan itu di dalam buku catatan yang akan saya baca bila ada masa terluang.
Segala rencah hidup sering mengutuskan idea-idea yang berbunga  namun kerap juga bunga-bunga itu luruh tanpa sempat saya tangguk. Perasaan ketidakpuasan hati umpamanya sering saja runtuh tanpa sempat di sambar intipati.Sebagai seorang yang suka meneliti, saya cuba mengimbangi perasaan marah dan waras rasa.Contohnya, saya pernah radang bila suatu hari saya terserempak dengan seorang kakitangan sebuah organisasi yang bertugas di bahagian Sumber Manusia yang sudah tentunya membuat dan menggariskan peraturan kerja tetapi dengan tanpa ada perasaan bersalah sering sahaja lambat ke tempat kerja. Yang lebih membuatkan saya radang bila heboh di katakan pekerja itu bekas kakitangan sebuah badan beruniform. Bagaimana mahu memberi contoh yang baik pada pekerja bawahan jika diri sendiri tidak terurus, jika diri sendiri tidak menepati undang-undang?
Tetapi, perasaan marah ini hanya terapung di dalam minda saya sahaja setelah sedar bahawa segala yang berlaku langsung tiada kena mengena dengan diri saya.
Saya masih ingat, bagaimana suatu hari seorang rakan yang bekerja dengan sebuah organisasi bercerita perihal kenaikan pangkat. Dia begitu berkecil hati dengan sikap sesetengah Pengurus yang mengamalkan sikap pilih kasih dengan amat ketara. Hanya mereka yang rapat dan mesra sahaja di berikan peluang untuk kenaikan pangkat walaupun tidak menyumbangkan apa-apa organisasi tersebut. Saya hanya mampu menjawab " itu rezeki dia". Namun cerita itu tidak tamat di situ, sebaliknya saya salin dan luahkan di dalam Kronisme Kawanan Semut
Saya juga sedar, cerita begini mampu membangkit perasaan marah mereka yang "memakan cili" tapi sedarkah mereka perasaan pekerja lain yang bersungguh-sungguh bekerja tetapi langsung di sisihkan kerana mereka "tak ngam" dengan Pengurus tersebut?




Segala ragam dan karenah dalam kehidupan sering mengumpan perasaan yang pelbagai sifatnya yang akan di kupas dari pelbagai segi lalu di canangkan di dalam pelbagai rupa.

Suatu Daerah

Bergelendangan kadang masa amat memeritkan. Jeritan cabaran selalu sahaja berkehendakkan kita sedar dan patuh pada semua asas kehidupan. Antara sedar dan tidak, sering kita tersandung, selalu juga terlanggar batasan.
Apa kita ini sering terlupa? Apa kita ini sering sahaja hilang bicara berbudi bahasa?
Nun jauh di sana, di suatu daerah yang belum pernah kita rempuh, entah apa hidangan kehidupan yang menanti, entah apa hukuman yang menunggu. Kita semua akan ke sana. Ke suatu daerah yang bakal kita jejaki, ke suatu daerah yang hakiki.
Bersediakah?

April 13, 2011

Tandatangan

Keledang menjengah meja yang sentiasa berselerak petang tadi bersama harapan yang setinggi gunung(atau lebih), mudah dan berselera untuk di jamah, lancar untuk di hadam.

Hujan Pagi umpamanya ; hingga ke hari ini sentiasa memberikan jiwa kepada saya. Yang mahu di cerna bukannya hasil tulisannya tetapi catatan yang menghimpun seluruh hidup si penulis.Yang lebih di ingat, bukan hanya kandungan tetapi juga tandatangan.

Menjadi pengikut tegar, mudah benar menimbulkan keterujaan bila setiap buku yang di baca di datangkan bersama tandatangan si penulis.
Walaupun hanya sekadar tandatangan, tetapi itulah tanda kasih si penulis kepada pembaca.

April 12, 2011

Kronisme Kawanan Semut


"Jang, nape Andu tersengih-sengih tu?" Tanya Ti kepada Jang yang sedang tersengguk-sengguk mengangkat sebutir gula yang bersepah di atas lantai rumah agam keluarga Atan Kaya. Gula tadi akan di angkut perlahan-lahan, meniti tebing birai tingkat dan bersambung dengan almari yang menempatkan pinggan cantik untuk hidangan makan malam keluarga Atan Kaya.
Dia hairan, dalam keadaan sarang mereka yang sedang kekurangan makanan, Andu masih boleh tersengih-sengih.
"Oooo....Andu dah naik jadi Kolonel le Ti. Kau tak tau ke?" Jawab Jang lalu meletakkan gula yang di angkatnya tadi, sesungutnya melilau kiri kanan mengesan kalau-kalau masih ada lagi sisa makanan yang terjatuh ke lantai.
"Patut le dia tak ikut kita cari makanan hari ni, aku ingat dia kurang sihat." Sesungut Ti terangkat tinggi, kepala mendongak-dongak, bontotnya tercongek naik.
Dua ekor semut itu berhenti seketika di tebing birai tingkap, melepaskan lelah setelah mengangkat hampir 10 butir gula dari atas lantai rumah agam di pinggir bukit itu. Jarak di antara sarang yang menempatkan Maharaja dan kawasan dapur rumah agam itu cuma berjarak 15 meter tetapi cukup jauh bagi kumpulan semut hitam itu.
Kode yang baru sahaja bekerja sebagai tentera yang bertugas mengangkut makanan melintasi Jang dan Ti yang sedang leka berehat.
"Oiii...kerja la oi, nanti kalau Andu nampak habis korang kena maki!" Jerit Kode.
"Kode, kau berhenti le kejap, dari tadi aku nampak kau bersungguh-sungguh mengangkat gula. Dah berapa banyak yang kau angkut?" Soal Ti.
"Baru 12 butir." Jawab Kode ringkas. Dia menghampiri Ti dan Jang. Lalu di letaknya gula yang sedang di angkut bersebelah gula Jang. "Bukan aku nak tunjuk rajin, tapi aku bosan kerja angkut-angkut ni. Semalam Maharaja ada bercakap dengan aku, katanya kalau aku rajin bekerja dia akan naikkan aku pangkat sama macam Andu dan Por" terang Kode panjang lebar pada Ti dan Jang.
"Ha! Por dah naik pangkat ke Kode?" Soal Ti dengan nada yang sedikit terkejut. Kepala di dongak lagi, ekornya terkodek-kodek.
" Bukan ke Por tu baru kerja, lagi pun aku tengok sebelum ni kerja dia cuma memperkemaskan susunan gula dan makanan di dalam gudang saja, sesekali ada juga aku terserempak dia mengadap Maharaja membawa makanan yang baru kita jumpa." Sambung Ti lagi.
"Yelah Ti, betul tu." Jang yang diam sejak tadi mula bersuara. " Macam mana dia mudah sangat naik pangkat? Yang peliknya, Andu tu dah lama kerja, baru minggu ni dia naik pangkat. Por tu baru lagi kerja, kalau tak silap aku baru 5 minggu tapi sekarang dah jadi Jeneral sama macam Andu", sambung Jang.
"Kau ingat tak Tep?" Soal Ti pada Jang yang sedang menguis-nguis sisa makanan yang melekat di kakinya.
" Tep? Mesti le aku ingat. Dulu dia kan kerja sekali dengan kita. Dia diam, tak cakap banyak. Kerja rajin, tak kira waktu. Sayangnya, sampai dia mati kena api rokok masih lagi jadi tentera mengangkut. Kenapa dengan dia Ti?" Jang memandang Ti dan mengharap sahabatnya itu memberi jawapan.
" Ini cerita antara kita saja tau," Ti memerhati sekeliling dengan mengangkat sesungutnya tinggi.
"Menurut cerita Sin-yang bekerja dalam sarang-, Tep tak naik pangkat sebab dia asalnya dari kawanan daerah lain. Memang susah le dia nak naik pangkat. Maharaja ni ada sikap kronisme, sama macam manusia-manusia yang main politik tu. Kalau korang bukan dari kawanan daerah ni, sampai korang mampus pun belum tentu naik pangkat, kerja le rajin macam mana pun".
"OOoooooooooo..." Jang dan Kode terangkat-angkat ekor.
"Aku pun bukanlah nak cakap aku rajin tapi aku dan Andu sama-sama kerja, maksud aku kami lahir pada hari yang sama dan bekerja pada hari yang sama. Bezanya, semasa proses penetasan,benih Andu di bahagian atas sarang berdekatan dengan kamar Maharaja." Ti bersungguh-sungguh bercerita kepada dua orang sahabatnya itu. Dia mahu Kode sedar yang cakap-cakap Maharaja itu hanya sebagai pembakar semangat untuk Kode kuat bekerja, untungnya cuma Maharaja dan sekutunya sahaja. Sebagai tentera pengangkut, risiko di pijak manusia amatlah tinggi, atau kadang-kadang boleh juga mati termakan sisa makanan yang sengaja di letakkan racun oleh manusia.
"Maksud kau, kalau nak naik pangkat mesti ada kena mengena dengan Maharaja lah yer, begitu?" Soal Kode.
"Itu le maksud aku Kode. Nak lebih mudah, kau mesti datang dari sarang yang sama dengan sarang Maharaja, lagi cepat kau naik pangkat. Silap-silap, tanpa jadi Kolonel kau boleh terus lompat jadi Jeneral".Terang Ti lagi.
"Tapi kalau kau bukan dari sarang yang sama, kau kena pandai pilih makanan untuk Maharaja, apa saja dia minta kau cepat-cepat cari, kalau tak ada juga kau curi je dari sesiapa, bagi pada Maharaja, aku rasa dalam 4 minggu kau pun boleh jadi Jeneral". Terang Jang pula kepada Kode.
"Susah le macam tu, tapi kenapa aku tengok kumpulan semut merah di sarang La Obe tu semuanya ada peluang naik pangkat. Maharajanya nampak garang, tapi tentera pengangkutnya selalu sahaja bersiul girang". Kode mula bersuara setelah mendengar penerangan dari kedua-dua sahabatnya tadi.
"Sarang La Obe tu lain Kode, Maharajanya menilai tentera-tentera dari cara bekerja. Kalau rajin dan jujur, cepat naik pangkat. Jadi semua tentera kena rajin. Bila semua tentera rajin, maka meriah dan makmurlah sarang tu". Terang Jang. Di dalam kawanan semut hitam, Jang antara tentera yang paling lama bekerja dan antara semut yang paling tua. Dia sudah mahir selok belok urusan Maharaja.
"Memang susah kalau kau bukan kroni Maharaja". Ti mula mengangkat kembali gulanya. Dia terkodek-kodek berjalan membawa bekalan makanan untuk Maharaja, di ikuti Jang yang sudah mula meninggalkan Kode.
" Alamatnya, sampai mampus le aku kena angkut makanan.." Kode berpusing, menghadap tebing birai tingkap. Setapak lagi ke depan, dia akan terus terjunam ke bawah, melalui langsir yang sengaja di buka membawa bersama harapan untuk naik pangkat.

March 28, 2011

Analogi

Telah ku katakan dengan patah ayat yang tersusun ;
"Setiap yang kau perturunkan, aku simpan kemas di dada dan di pahat kukuh di minda, satu persatu aku buka kembali bila tragedi demi tragedi menggugat perdu bahagiaku..."

Kamus pengalaman mengajarku erti hidup, mengasuhku erti sabar;
"Aku rujuk satu demi satu, lembar demi lembar. Jika ada tersalah, maafkanlah. Jika ianya benar, salahkah aku menyelak kebenaran?"

Aku ini, ya aku ini manusia yang sentiasa bernafas. Belum lagi aku di panggilNya pulang. Setiap laku aku rapikan, setiap kata aku cuba jelmakan.
"Kau kenal segala pelusuk hidupku, segala contengan yang menjadikan aku manusia yang tak pernah mengaku kalah..."


Analogi : kias, perbandingan (yg memper­lihatkan ciri-ciri persamaan (sebahagiannya); menurut ~ menurut kias (perbandingan), berdasarkan perbandingan (persamaan); beranalogikan menggunakan (mempunyai) sesuatu sbg analogi: kesimpulan yg ~ fakta-fakta yg belum pasti kesahihannya; menganalogikan menggunakan (mem­punyai) sesuatu sbg analogi.  
  Sumber dari Kamus Dewan Edisi Empat

March 27, 2011

Kopi, rokok, surat khabar

Hujung minggu mendakap segala rasa sunyi. Saya juntaikan kaki melalui jeriji tingkap, sambil menghabiskan sebatang rokok yang semakin terasa pahit asapnya. Tekak kembali meragam, suhu badan semakin meninggi.
Nasihat doktor yang langsung saya tidak pedulikan. "Encik kena kurangkan merokok, lagi elok kalau encik terus berhenti jer." Saya menjawab "saya dah berhenti doktor, baru dua jam".

'Demam lagi?" kiriman sms begini mudah mengundang rasa rindu namun demam belum juga eloknya.
Surat khabar yang terletak di atas meja kecil terketar-ketar di tiup angin pagi. Hanya sempat membaca bahagian muka depan kemudian membelek-belek bahagian sukan, "England menang". Saya masih lagi agungkan Perancis walaupun Perancis terkeluar awal pada saingan Piala Dunia. Theiry Henry, ahhh....mana mungkin saya lupa idola saya ini.

Kopi 'O' pekat kurang manis di teguk perlahan-lahan. Wap panas yang mengapung dari bibir cawan merangsang naluri untuk segera di habiskan, walaupun masih terasa pahitnya melekat di tekak. Saya suka kopi yang begini, pahit dan pekat. Adunannya mudah, dua sudu makan kopi tumbuk yang di beli dari pasar malam pekan Kuala Selangor di campur bersama 1 sudu teh gula.Air perlu panas, pada tahap menggelegak yang mampu melepuhkan kulit muka jika tersimbah. Di kacau perlahan-lahan sambil menghidu wap yang mengapung. Wap tadi akan membawa bersama aroma kopi dan aroma ini mudah benar menawan saya.
Secawan kopi, sebatang rokok dan surat khabar tidak langsung berjaya menawan hati saya pagi ini. Semua rutin itu hanya menjadi boneka untuk menyembunyikan satu rasa yang bermukim di hati.

Kopi, rokok dan berita paparan akhbar hanya pemuka pada suatu kehidupan dan selebihnya tersembunyi di dalam jiwa seorang lelaki.
Benar mungkin bagai di kata "kita semakin jauh....".
Tapi saya juga amat yakin pada "masing-masing tahu apa masing-masing rasa..."

Pagi itu kembali sunyi. Kopi segera di teguk lalu beralih ke meja kecil. Dua biji *pil ajaib di telan segera, mahu demam ini segera sembuh tetapi rindu tak mungkinkan reda.
Saya mahu rehat dan menenangkan hati sambil membuai mimpi-jika itu takdirNya- yang enak dan indah.


Catatan :
* Panadol

March 21, 2011

Inikan Mimpi......

Dua keping gambar itu di renungnya lagi tanpa pernah ada jemu. Kedua-duanya sudah lusuh dalam genggaman. Hanya itu saja yang dia ada. Yang lainnya, hanya kenangan yang dia simpan di benak. Tiada sesiapa yang tahu, hanya dia saja.
Dia cuba menimbus semua kenangan itu. Dia cuba menyembunyikan keluh resah yang bersarang di hati. Untuk beberapa ketika, dia tersenyum sendiri bila mengingati saat indah ketika bersama wajah di dalam gambar yang di genggamnya tadi. Dia akan terus tersenyum menampakkan giginya yang sudah mula kekuningan. Dia suka bila mengingati semua peristiwa yang indah-indah. Dia masih ingat, dengan kukuh di dalam benaknya segala yang manis-manis. Saat ketika dia menggenggam erat jemari sambil sebelah tangan membelai pipi lalu berkata dengan lunak manja, "abang sayang ayang...". Dia akan tersenyum lagi.
Tiba-tiba, dia mencampakkan gambar yang di genggamnya. "Aku benci kau, aku benci !!" 
Dia menjerit-jerit sambil memaki hamun gambar itu. Di hentak-hentaknya dengan tumit yang semakin merkah. Dia tidak lagi mempedulikan nasib jiran-jiran di bawah yang terasa di hantuk kepala mereka dengan dentuman tapak kakinya yang keras itu. Radangnya sudah memuncak.
Dia tunduk, memungut kembali gambar yang di pijaknya tadi, di rangkul dalam dakapan dengan penuh syahdu.Air matanya mengalir laju tanpa henti. Tersedu-sedu dia menangis. Dia duduk memegang lutut di sudut bilik sempit itu, bersandar pada pintu almari. Dinding yang di cat hijau itu sudah semakin suram suasananya.
Dalam sendu yang di sulami sayu dan bibir yang terketar-ketar, dia bersuara di dalam serak esak tangis, "abang sayang ayang..."
Hanya itu yang mampu di ulangnya. Dia kembali merenung dua keping gambar itu.
"Apa salah abang ?". Di renungnya gambar itu, lama.
"Inikan mimpi...." Dia menjawab sendiri.

Aku Bukan Lagi Bermimpi

Bilik itu sempit. Dindingnya berwarna hijau, bersih. Hanya ada sebiji katil bertilam empuk yang di baluti satu set cadar berwarna biru dan dua biji bantal yang langsung tidak pernah di basuh sarungnya.
Di tepi katil di tempatkan meja sisi yang di letakkan sebiji jam dan satu kotak tisu. Cermin muka juga di letakkan di atas meja itu. Sebuah almari yang menempatkan baju-baju dan barangan peribadi memdepani katil.
Kipas yang sentiasa berputar dengan kelajuan 3 di tambah dengan dingin penghawa dingin. Tiada apa-apa perhiasan lain. Suis lampu dan kipas di bahagian kiri sebelah pintu dan sederet penggantung baju  bahagian kanan pintu. Plug penghawa dingin di kongsi bersama "charger handphone ". Untuk mengaktifkan penghawa dingin, kepala katil perlu di angkat sedikit.
Bilik itu memang kecil.

Dia hanya mampu membalik-balikkan badannya di atas tilam empuk itu. Fikirannya masih lagi buntu, bergelut di antara percaya dan tidak.
Minggu lepas, mudah sangat mimpi buruk menyapanya.
"Itu hanya mimpi, apa perlu takut", dia bersuara begitu ketika di ceritakan akan keanehan mimpinya.
"Sekarang, aku bukan lagi bermimpi..."
Hari ini, bilik yang kecil itu semakin mengecil. Dinding seakan menghimpit, siling seakan mahu menghempap dan putaran kipas bersama dingin penghawa dingin semakin menggigit tubuh kurus itu.
"Aku tidak pernah duga, kau campak aku begini. Aku juga sama sekali tidak pernah bermimpi kau lepaskan aku di pertengahan tanpa ada simpangnya."

March 15, 2011

"Kita tak pernah jauh..."

Kalau pun tidak sebulan, tetapi menghampiri juga sebulan saya tidak menulis apa-apa. Diam dan hanya melihat-lihat, menekuni falsafah dan susur nilai kehidupan.
Beberapa coretan yang saya catitkan di lembar kertas juga sudah hilang bersama timbunan surat khabar, buku dan kotak rokok yang bersepah di bilik sempit yang sering memberi saya kebebasan berfikir, berkhayal dan merasai enaknya membaca buku tanpa apa-apa gangguan.
"Kenikmatan bagi sesetengah orang tidak sama", Rausyam yang sentiasa riang pernah berkata begitu.
Saya setuju.
Bulan ini juga saya hanya duduk dan menunggu kedatangan 2 buah buku yang di beli secara dalam talian. Nafsu untuk berborong di toko buku seperti setiap bulan seakan terhenti. Bukannya kerana kekurangan waktu, tetapi himpitan peperangan jiwa yang mulanya rintik seakan titis renyai hujan semakin menghumban dan menjadi takungan yang menunggu masa akan mencurah deras, kalau pun tidak menjadi terpaan ombak mendadak yang melanggar Sendai di Jepun.
Sedar atau tidak atau sengaja tidak menyedari, saya mula kehilangan masa yang berharga. Pembahagian masa yang sudah hilang imbangannya sering membuat saya tersandung pada peristiwa-peristiwa yang seharusnya saya tidak lagi ulangi sehinggalah saya di sentap dengan ungkapan"kita semakin jauh..."
Mestikah saya jawab "kita tak pernah jauh, yang jauh hanya jasad".
Entah, belum tentu jawapan ini mampu memenangi hati.

Sudahnya, saya hanya mampu membetulkan niat dan meneroka ke dasar yang tidak pernah sesiapa pun duga.
Tidak selalunya orang akan ghairah bercakap tentang perasaan secara terang-terangan, masing-masing cuba menjaga hati, cuba membatasi dan mengurangkan kesilapan dalam percakapan dan bersantun dalam meluahkan, tetapi adakah kerana ingin menjaga hati,sifat dan salsiah diri akan terhakis? Tidak salah rasanya bersantun dan menjaga hati,cuma masing-masing perlu tahu apa masing-masing rasa......
Dan saya semakin sedar, saya tidak pernah jauh dari Dia....

February 24, 2011

Cerita Masa Muda

Aku tiba-tiba di kilas kenangan....


  1. Tadah topi minta ikhsan para pengunjung Up Town Damasara selesai memainkan lagu, lagu penutup mesti main Lithium(Nirvana). Sekali main dapat lebih kurang RM20, bahagi dua dengan Joe Senget. Balik rumah urut jari, minggu depan buat lagi. Modal cuma sebiji gitar jenama Godin(yang di beli secara akujanji).
  2. Lepak Starbuck KLCC sambil minum "coffee". Atas meja ada sebiji donut yang sudah tinggal habuk gula. Sekotak rokok yang di kongsi bertiga. Bila azan, Lan Jaga terus bangun, "lu lepak sini, gua nak p jumpa tuhan kat masjid jap".
  3. Naik bas sambil usung gitar dari Puchong Jaya, turun di Kotaraya. Kadang-kadang, snare pun aku galas sekali. Abang driver bas siap perli-perli. "Awak macam Kurt Cobain le..."
  4. Pusing-pusing KL sambil bawa beg galas tepi warna hijau jenama East India(macam budak-budak perempuan guna).Dalam beg cuma ada sebuah dua buku buat teman masa lepak tunggu member di Kotaraya. Sayang, beg galas hijau dah hilang masa menginap di rumah tumpangan(banglo) kawasan Jalan Traver's(satu bilik RM50/malam).Sebab utama menginap,kena tinggal dengan bas terakhir nak ke Puchong Jaya(masa tu bas Intrakota).
  5. Rokok Lucky Strike tanpa "filter". Member-member semua tak nak hisap. Lan Jaga cakap "budak muda mana ada yang isap rokok askar".
  6. Jalan kaki dari Kotaraya, melintas Bukit Bintang sampai KLCC. Kononnya nak lepaskan tenaga muda. Esoknya MC dua hari pasal demam. Habis kaki lebam sebab pakai selipar Jepun.
  7. Naik LRT dari KL Sentral turun Kampung Baru sebab nak merasa "steak" kat Stable House Kampung Baru.
  8. Lepak 5 jam dalam MPH Midvalley,belek-belek buku, angkat letak. Ambil sebuah baca sampai lunyai. Rasa macam duduk dalam Perpustakaan Negara.
  9. Kelam kabut kejar masa nak masuk kerja pasal bangun lambat. Tempat kerja kat Shah Alam, tinggal kat Puchong. Bila bangun lambat, bas dah pergi dulu. Terpaksa naik bas dari Puchong Jaya turun di KL Sentral pasal nak ambil komuter ke Shah Alam. Melintas depan Starbuck KL Sentral, nampak Pak Samad. Terus berhenti, tarik kerusi-duduk. Hulur buku Hujan Pagi yang masih belum khatam di baca. Pak Samad tandangan. Aku senyum sampai telinga. Masuk kerja lambat pun tak apa.
  10. Jumpa "kawan" dalam talian. Dia kata dia "berisi". Aku pasang angan-angan, "mesti dia seksi". Buat "blind date". Sekali jumpa...ya rabbiii...memang dia berisi. "Errr...saya kena balik ni, office baru call ada emergency"(padahal hari Ahad mana office buka!)
 Dah nama pun kenangan,kan......

February 05, 2011

Hey Kawan

"Dan fitnah itu lebih besar bahayanya daripada pembunuhannya." (Surah Al-Baqarah: 191)

Aku rimas, setiap kali kau memandang aku penuh curiga. Aku debar, setiap kata kau yang mana satu harus aku percaya. Apa kau talam bermuka dua?
"Hey kawan, kenapa kau haaa!!!!"
Kau laungkan aku ini kawan, tetapi kenapa kau sepak terajang aku dari belakang?
Hey kawan, kenapa kau haaa!!!


Firman Allah yang bermaksud: "Wahai orang yang beriman, jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidik (untuk menentukan) kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara tidak diingini, dengan sebab kejahilan kamu (mengenainya) sehingga menyebabkan kamu menyesali perkara yang kamu lakukan." (Surah Al-Hujurat: 6)

February 03, 2011

Kata Yang Dulu

Bila suatu hari nanti yang akan tinggal cuma puing-puing berantakan,
aku tetap masih dengan kata yang dulu.

Kau katalah apa juga
Kau bicaralah dalam apa juga nada
Kau bisiklah dalam romantika manja
Kau jerkahlah hingga hilang suara
Aku tetap dengan kata yang dulu.

Aku,
masih lagi dengan kata yang dulu
walau berdikit,
              bertingkat
                   berombak
                       kau hempas.
Aku langsung tidak pernah peduli,
Aku tiada pernah kenal kalah
Aku tidak pernah hirau sendu resah
Aku tidak sedikit kan berubah.

Kau kejutkan aku dengan cerita ganas dunia
Kau momokkan aku dengan lantunan silam penuh duka
Aku tetap terus berkata
        Dengan kata yang dulu.

Lagi,
apa peristiwa mahu kau bongkar
apa sejarah mahu kau selak?
Aku masih lagi dengan kata yang dulu!

Aku berdiri,
      menyuluh diri pada cermin.
Aku cuma nampak engkau.

Aku dongak
      mengempang tangan memandang langit,
aku masih lagi nampak engkau.

Aku tenung
     dalam oleng riak air
aku cuma nampak engkau!

Aku leretkan
     pensel pada selembar kertas
yang tertulis cuma engkau.

Aku mahu terus hidup
tanpa mahu memandang pada peristiwa dulu
kerana aku masih kukuh dengan "Kata Yang Dulu"....

34

3 Februari
Untuk kali yang ke 34 dalam hidup seorang lelaki, tarikh ini selalu merangsangkan degupan jantung yang sedikit pantas.
Untuk setiap tahun juga, saya belajar mengenal resam dan langgam kehidupan yang selalu sahaja menguntumkan damai, kadang mengajar erti jujur dan taat setia dan sering juga merembeskan curiga.
Saya mahu terus menikmati kehidupan ini dengan seenaknya, mahu merasa dan menyentuh setiap segi perilaku yang teroleng resah,tersua duka dan berdekah tawa.
Saya juga bukan mahu menyukat setiap kebaikan atau mahu menangguk setiap keburukan cuma saya mahu ketenangan bertemankan irama terindah dalam usia yang semakin bertambah.Dalam suram malam dan sepi pagi iktibar dari sejarah akan saya cermati....
Saya mahu meninggalkan gugusan kasih yang tiada noktah untuk dia dan mereka......

January 31, 2011

Aduiii...

"Aduiii,pedihnya tekak"
Saya sedang berperang. Satu, dengan perasaan saya sendiri. Dua, dengan penyakit tonsilitis yang telah merampas kegirangan hujung minggu saya.
Saya sedang dan dengan kecermatan yang tinggi ingin menyudahkan "Aku Pun Mahu Bahagia" dengan tersusun. Beberapa plot yang saya susun telah menyemarakkan perasaan saya untuk membereskan episod demi episod. Saya hampir menemui penyudahnya, tetapi bingkas hilang bila perasaan saya kembali di sentap. Harus juga akui, "Aku Pun Mahu Bahagia"lahir dari kegelisahan yang saya benihkan dari mimpi ke mimpi, khayal dan halusinasi. Saya cuba jelmakan setiap watak dengan secermat dan sebersih mungkin.

Minah Saerah contohnya ; Seorang wanita cantik yang saya andaikan memiliki semuanya, kerjaya dan paras rupa dan dalam masa yang sama masih terkial mencari cinta sejati.

Razis pula seorang lelaki yang hanya tahu mencintai, lurus dan tanpa apa-apa. Sering emosinya tergugat setiap kali kekasihnya di rundung duka. Emosinya mudah meruap, terbawa-bawa hingga ke meja pejabat.

Kadir seorang lelaki yang perwatakan sedikit alim. Dia terlalu rapat dengan Minah Saerah hingga terkadang-kadang mendatangkan curiga pada Razis. Antara dia dan Minah Saerah, sekadar kawan, tidak lebih dari itu.

Halim Kalut ; Kekasih Minah Saerah(katanya). Dia seorang lelaki bengis, yang menyayangi Minah Saerah. Dia sering mendampingi Minah Saerah dengan taburan material namun masih gagal mendapatkan Minah Saerah. Hubungannya dengan Minah Saerah tergugat gara-gara kehadiran Razis.

Semua watak ini adalah lantunan dari pengalaman, khayalan dan rasa yang ada dalam diri saya.Sudah tentu, sebagai seorang yang masih belajar, setiap tulisan pasti banyak cacat celanya dan saya mohon, moga di limpahkan segala kekuatan untuk saya menyudahkannya dengan senang dan tenang dan moga "tonsilitis" yang tiba-tiba menyerang ini bingkas juga sembuhnya.
Saya terlalu rindukan sekotak Mild Seven yang di kepulkan asapnya sambil menikmati teh tarik dan roti sardin.

January 18, 2011

Aku ingin terus menulis, menyudahkan Aku Pun Mahu Bahagia dalam nada senang dan penuh susila. Aku cuba merenung, mencari mana hilang kepulan ilham yang mulanya terkumpul dan merintik, menitis.
Untuk seketika, kepulan tadi dingin dan beku.
Aku masih ingin menyudahkan apa yang tertunggak, menoktahkannya dengan kelegaan agar tiada lagi persoalan-persoalan yang terus menuruti bertamu dalam hidupku.

January 04, 2011

Aku Pun Mahu Bahagia (4)


"Azim, mana awak pergi? Saya call pun tak jawab, sms langsung tak reply. Jangan bagi alasan tertidur tak ingat nak bangun atau kredit habis."
Entah angin apa pagi itu, Razis naik angin. Menggila, haru biru satu pejabat.
Seluruh ruang pejabat menjadi seperti suatu ancaman buat Razis, semua yang di lihatnya seperti musuh yang mahu di terajang dan di bakar.
"Nisah, mana carta organisasi yang saya minta awak siapkan semalam? Asyik tot tet,tot tet sms. Saya nak carta tu sekarang, faham! Sekarang!"
Nisah yang sentiasa berkepit dengan telefon bimbit cuma mampu menikus. Razis naik angin.
Razis cuba bertenang dan berdiri betul-betul menghadap tingkap. Dia menerbangkan jauh lamunannya......
“Sayang masih fikirkan tentang apa yang abang cakapkan semalam?” soal Razis.
Minah Saerah hanya diam.Matanya yang sedikit buntang tetapi bersinar itu pantas melirik. Tetapi tentulah tidak ada kata-kata yang menggambarkan lirikannya dan Razis bersetuju dengan seorang penyair yang mengatakan, bahawa kata-kata yang terbaik itu adalah kata-kata yang tidak diucapkan. Lalu Razis membalas lirikannya dengan satu pandangan yang redup untuk kesekian kalinya, sebelum tenggelam dalam temaram kabus dan deruan angin.
“Entah, ayang tak pernah kesah,” kata Minah Saerah.
Razis hanya memerhatikan wajah dan bibirnya yang lembut, selembut angin yang bertiup di sekeliling dan seperti kabus yang mulai turun dan sungguh tenang seperti asap putih kelabu yang beralun di permukaan pagi yang indah. Tidak ada sebarang tanda yang menggusarkan atau sesuatu yang buruk akan berlaku dengan imbangan alam yang temaram seperti ini. 
“Ayang perlu pentingkan diri sendiri sekarang”, kata Minah Saerah kemudian.
Razis tidak segera menjawab.Matanya pantas menyusuri susuk tubuh yang sedang berdiri di depannya.Akal pantas menafsir dan menyimpul peribadi tubuh itu.
”Dia cantik. Dia selalu menbangkitkan lamunan yang di sertai dengan harapan.”, kata-kata itu berguman dalam hati Razis.
Minah Saerah masih lagi berdiri di situ, sambil angin pantas menyambar lembut tubuhnya. dia semakin memikat dan memiliki daya tarikan yang aneh. Wajahnya yang sebersih dan seputih kabus itu selalu memberikan senyuman yang begitu polos.Bibirnya yang munggil kemerah-merahan selalu ramah dengan dengan riang tanpa tercalit sedikit pun kekeruhan walaupun terpaksa menanggung pedih di perlakukan oleh Halim Kalut. Kepayahan sering kali berlingkar dalam sejarah hidupnya yang baru menjangkau 26 tahun .
”Abang, ayang ni degil, kepala batu, kan? Ya, ayang ni memang tidak sebaik gadis lain, ayang tidak sepadan dengan abang." Kata Minah Saerah kemudian " abang pun tau, ayang dah ada Halim, tapi abang tetap juga nak ayang, apa istimewanya ayang?"
Razis hanya diam. Razis juga akui, Minah Saerah bukan seperti gadis lain yang pernah dia dampingi. Minah Saerah sering memberi dia rasa bahagia.
Sungguh, Razis langsung tidak menduga hatinya akan tertambat pada Minah Saerah walaupun dia sedar Minah Saerah sudah lama bersama Halim Kalut, lelaki perengus. Dia sering memikirkan, Minah Saerah tidak sepadan dengan Halim Kalut, tetapi apa daya Razis, dia hanya mampu melihat dan mendengar. Sesekali, Minah Saerah akan menceritakan tingkah laku Halim Kalut padanya. Dia sama sekali tidak akan cuba memisahkan Minah Saerah dengan Halim Kalut.Bukan dia takut dengan Halim Kalut tetapi dia lebih memikirkan apa nasib Minah Saerah jika tindak tanduknya membuatkan Minah Saerah meninggalkan Halim Kalut dalam keadaan tergesa-gesa. Tentu Halim Kalut akan mengamuk sakan dan mangsanya tentulah Minah Saerah.
"Dia banyak tolong ayang sewaktu ayang mula-mula sampai sini dulu.Dia selalu hulurkan bantuan sewaktu ayang susah.Ayang tak sanggup nak kecewakan hati dia" Luah Minah Saerah pada Razis.
"Ayang sayang dia?" Soal Razis.
"Entahlah abang, ayang sendiri tak pasti perasaan ayang."Jawab Minah Saerah sambil menyapa rambutnya yang di tiup angin pada suatu malam ketika mereka sama-sama menikmati makan malam.
"Ayang sayang abang?"Soal Razis lagi.
"Entah, kita kawan kan?" Minah Saerah membuang jauh pandangannya pada tiang-tiang lampu di seberang jalan.
Lamunan Razis terhenti dari menjalar jauh.Dia tersentak ketika ada orang memanggil namanya. 
"Boss nak jumpa kau". Tempik Yatim yang sedang berdiri di laluan menghala masuk ke pejabat Tuan Tan.
"Cakap pada boss, aku sibuk."Dan Razis terus hilang di sebalik pintu lif.
Dia pantas menekan butang lif ke tingkat 2,bahagian pengedaran.
Sebentar kemudian, pintu lif terbuka. Kadir tercegat depan pintu lif.
"Ke mana pula ni,pagi-pagi dah merayap", tegus Razis.
"Errr, saya nak pejabat encik, hantar borang overtime semalam."Jawab Kadir.
"Baru nak hantar, lembab!" Razis membentak.
"Maaf encik". Kadir tergesa-gesa masuk ke dalam lif. Pintu lif di tutup pantas.Hilang.
"Entah apa angin le pagi-pagi ni", rungut Kadir ketika di dalam lif.
 Razis membetulkan cermin mata dan melangkah masuk ke ruang yang menempatkan 8 buah meja. Salah satunya meja Minah Saerah. Razis cuma mengerling.Jelas, Minah Saerah tidak datang bekerja. Mejanya hanya kosong, cuma ada longgokan kertas di atas tray.In, penuh.
"Mana ayang hilang, abang rindu...."

Bersambung....

January 03, 2011

Aku Pun Mahu Bahagia (3)

"Dia datang, nanti apa-apa mesej", paparan itu jelas di skrin telefon bimbit Kadir. Dia yang sedang bersiap untuk ke tempat kerja separuh tersedak ketika memeriksa kandungan sms dari Minah Saerah pagi itu.
Deruman kenderaan yang bersesak-sesak mengejar waktu pagi itu langsung tidak di pedulikan Kadir pagi itu, tidak seperti pagi sebelumnya, bila deruman kenderaan yang masuk melalui jendela hijau rumah teres dua tingkat yang di sewanya bersama 3 rakan lain mudah benar mengganggu beliau.
Sepatah kata pun tidak terpacul dari mulutnya pagi itu. Cuma yang dia ingat, dia bersegera membalas " Please, apa2 hal bagitau yer", cuma itu sahaja yang mampu terfikir oleh Kadir.
Selang 2 minit kemudian, telefon bimbitnya kembali menderit. " Tadi dia ketuk pintu, nak tak nak aku kena buka apa pula kata jiran-jiran. Kalau ikut hati, aku nak jerit tapi belum sempat aku jerit dia dah langkah masuk, apa aku nak buat ni.Dia tak bagi aku pergi kerja."
Kadir buntu. Fikirannya kembali berserabut. Simpang siur sudah jelas, makin membelit.3 hari sudah, ketika dia berjumpa Halim Kalut yang sedang menunggu Minah Saerah di depan pejabat, dia khabarkan Minah Saerah sudah kembali ke Sabah, sudah berhenti kerja dan dia teringatkan reaksi Halim Kalut yang semakin kalut ketika itu.
Kadir kembali ke biliknya. Butang baju di buka satu persatu lalu di leraikan dari badan. Dia menyangkut baju yang baru di pakai 30 minit yang lalu pada paku yang terdapat di pintu.
Jendela hijau yang sudah kusam itu di buka seluas mungkin, mahu semua udara yang ada di luar masuk dan mendamaikan dirinya yang semakin hilang punca. Dia risau jika Minah Saerah di apa-apakan oleh Halim Kalut.
Dia benar-benar risau, apa yang mahu di lakukannya sekarang.
Mahu buat laporan polis?
"Bagaimana jika nanti Minah Saerah pula yang membenarkan Halim Kalut masuk ke rumahnya?"

Mahu hubungi si "tut", kenalan baru Minah Saerah?
"Nama pun aku tak tau, apatah lagi nombor telefonnya"

Kadir tunduk lesu, memandang lantai yang tidak mampu berkata-kata.
"Aku cuma mampu berserah, moga kau semakin tabah. Jika dulu nekad katamu, segalanya aku terima. Jika menyerah katamu, aku pasrah.Yang maha penting, kau selamat. Aku cuma seorang kawan, Halim kekasihmu dan siapa "tut" di hatimu? Kau lebih tahu, kerana yang kau buru cuma bahagia."



Bersambung.....

January 02, 2011

Aku Pun Mahu Bahagia (2)

Yang ikat cuma janji, yang di ingat cuma kata-kata. Aku cuba berenang dan berdamai dengan jiwa sendiri, aku cuba redah segala sulit yang melintas, aku cuba lepas resah yang meronta.


Minah Saerah masih lagi berkira-kira. Antara melepaskan atau kembali.
"Lama sangat Kadir, dia buat aku macam-macam. Hari ini aku merajuk, esok dia datang pujuk.Kau tau Kadir, dia pujuk bukan macam lelaki lain, dia tengking-tengking aku, herdik-herdik aku.Macam tu ke nama sayang?"
Minah Saerah bercerita pada Kadir ketika sama-sama bersarapan pada pagi sesudah Minah Saerah cabut lari ikut jalan belakang.
"Aku tengok dia marah betul lepas aku beritahu kau balik Sabah," Kadir menyuap nasi lemak berlauk peparu goreng ke mulutnya. Penuh mulut, comot lalu di kesatnya dengan sapu tangan warna merah berlambang Bob Marley.
Zaiton Tempang mengerling-ngerling Minah Saerah dan Kadir. Langsung tidak di hiraukan mereka berdua.
"Masa aku terima sejambak bunga ros hari tu, kau agak siapa yang hantar?" Tanya Minah Saerah sambil matanya melilau memerhati Zaiton Tempang. Fikirnya Zaiton Tempang tentu akan mencanangkan lagi hubungan baiknya dengan Kadir pada rakan pejabat yang lain, terutamanya mereka yang berada di bahagian pengurusan.
"Bukan Halim yang hadiah ke?"Kadir menduga.
"Bukan, bukan Halim," jawab Minah Saerah.
"Bukan Halim! Habis tu siapa Saerah?" Mulut Kadir yang terisi penuh dengan nasi lemak itu sedikit ternganga.
" Rahsia, belum masanya aku beritahu kau. Tapi aku kenal dan rapat dengan orang yang bagi jambangan ros tu." Jawab Minah Saerah. " Aku masih menimbang-nimbang sama ada akan bersama dia atau tidak. Dia romantik tetapi aku kena kenal-kenal dulu dengan dia. Kau tau Kadir, sepanjang aku hidup, belum lagi aku terima pemberian bunga macam tu. Masa harijadi aku, dia hadiahkan sekuntum bunga ros dan satu loket berbentuk hati, tidaklah mahal tetapi penuh erti. Aku pun terkejut bila dia mengaku dia yang hantar jambangan bunga ros tu. Aku tanya kenapa, dia cuma jawab sebagai tanda enam bulan perkenalan kami."
"Uiiikkksss, penuh bermakna tu Saerah." Terbeliak mata Kadir.
" Tapi dia ada beritahu aku, dia kurang suka bila kita rapat, dia bimbang aku akan lupakan dia," jawab Saerah hampir tersenyum.
"Dia juga pernah tanya, berapa banyak sayang yang aku ada,aku kan suka panggil kawan-kawan rapat dengan panggilan sayang.Dia cemburu tapi berlandas,"sambung Saerah lagi. 
"Ishhh, kita kawan saje, kan aku pun dah hampir nak kahwin, ada kau cakap pada dia Saerah?" Tanya Kadir.
"Ada."Pendek saja jawapan Minah Saerah.
"Aku kenal ke dia Saerah? " Kadir semakin teruja.
"Emmm...kalau aku cakap nama dia kau tentu kenal tapi buat masa sekarang aku terpaksa sembunyikan dulu, dia minta begitu.Aku hormat pendirian dia." Minah Saerah menerangkan pada Kadir.
" Kalau macam tu, aku rasa baik kau dengan dia Saerah, kau lupakan Halim Kalut. Benci betul aku dengan perangai dia. Patut le nama pun kalut." Kadir tergelak kecil, Minah Saerah menguntum senyum.
"Memang aku nak lupakan dia, dah jenuh aku usaha untuk lupakan Halim tapi makin aku cuba makin kuat aku rindukan dia. Entah le Kadir, aku makin buntu. Semalam aku benci dia, hari esoknya aku mula rindukan dia. Mungkin sebab aku dah lama kenal dia."Minah Saerah tertunduk lesu, memandang "Cornflakes" yang masih berbaki tetapi tekaknya terlalu berat menerima sarapan pagi itu.
"Kau kena kuat Saerah, kau selalu cakap pada aku Halim selalu buat kau macam-macam. Aku kesiankan kau Saerah." Kadir yang sejak tadi asyik menyuap nasi lemak berlauk peparu goreng berhenti seketika dari menjamah hidangan di depanya. Di renungnya Minah Saerah. Dalam hatinya terdetik "cantik Saerah ni, ayu."
"Aku ni banyak lemahnya, mudah mengalah dengan pujuk rayu." Minah Saerah masih tertunduk. Matanya hanya memerhati cawan yang berisi Milo panas.
" Kali ni kau kena nekad Saerah."
" Aku memang nekad, aku pernah ceritakan pada si "tut" hubungan aku dan Halim dan dia seperti kau juga, mahu aku menamatkan hubungan dengan Halim dan aku tak pasti sama ada dia suruh aku tamatkan hubungan tu kerana nak bersama aku atau memang niat dia ikhlas nak bantu aku.Ahhh, aku buntu sekarang." Minah Saerah meramas-ramas jarinya sendiri.
Kalau di ikutkan, mahu saja dia bercerita tentang niat Halim Kalut mahu membelinya kereta baru, ketika berbalas sms malam tadi. Dia tahu, Halim Kalut masih belum lelah dari mengumpannya dengan pemberian yang dia langsung tidak minta. Yang dia mahukan cuma kasih sayang, sama seperti pasangan lain.Mahu bahagia, mahu menikmati hidup ini dengan sepenuhnya.

Telefon bimbit Minah Saerah berbunyi. Lalu di keluarkan dari kocek bajunya.
"Siapa?" Tanya Kadir.
"Dia."Jawab Minah Saerah.
"Dia siapa, si "tut"?" Teka Kadir.
"A'a.." Jawab Minah Saerah.
"Jawab le telefon tu,kesian dia." Kadir seakan mengarah.
"Kau diam yer,nanti dia tau aku sarapan dengan kau pula." Arah Minah Saerah sambil terus menekan butang "answer"pada telefon bimbitnya.
" Ye sayang, kat mana ni?" Jawab Minah Saerah ketika bercakap di telefon bimbitnya.
"Eyer sayang, tengah sarapan ni, nanti ayang call sayang balik yer, bye.."serentak dengan itu talian terputus dan wajah Minah Saerah yang mulanya muram beransur cerah, sedikit senyum terukir di wajahnya.
"Waaaahhh...romantiknya,"perli Kadir.
"Aku pun mahu bahagia Kadir..."
Minah Saerah bermenung lagi. Dia mahu tenang, mahu membuang jauh Halim Kalut dari diari yang membuntuti hidupnya sejak dua tahun atau lebih.Tapi dia juga semakin lemah.....

Bersambung....

January 01, 2011

Aku Lelaki Yang Miliki IMPIAN

Beberapa ekor semut melintasi gelas besar yang terisi dengan kopi panas yang sudah tinggal separuh. Buku Extraordinary Comebacks 201 Inspiring Stories yang sudah mencapai muka surat 105 paparan mengenai Lee Iacocca(Pengerusi Ford Motor Company),langsung tidak meninggalkan bekas di hati saya.

Hari ini, hari terakhir untuk tahun 2010 dan semakin menghampiri ke tahun 2011, cuma tinggal 4 jam sahaja lagi.
Syaamil sudah beberapa kali mengajak “tengok bunga api le abah..” dan saya hanya diam. Saya langsung tidak berminat dengan sambutan sebegitu, tiada apa yang harus di ingati dan di sambut. Setiap tahun, perkara yang sama akan berlaku. Bersorak, ketawa dan lalu memasang azam.
Untuk apa?
Sebagai pengingat?
Perlaksanaan?

“Impian tanpa usaha adalah lorong gelap tanpa cahaya..”

Saya cuba mengingatkan kembali impian saya untuk 2010 yang saya tulis dalam diari yang selepas ini akan di simpan di dalam kotak biru bawah meja bacaan. Jelas tertera beberapa impian yang saya tulis pada awal tahun dan dengan sedikit selakan yang sudah tertanda dengan penanda buku warna kuning, masih ada lagi impian yang di tulis bertarikh 12-Jun-2010.
“Aku renung, aku rumus dan aku mahu dia…”

Setiap peristiwa selepas itu, saya perincikan, perhalusi. Hampir terlaksana impiannya walau banyak ranjau yang selalu mencucuk hati, pedih tapi pantas di gaul sebagai pengalaman.
Impian-impian yang pada awalnya, saya masih jejaki masih lagi mahu di jelaskan dengan usaha tanpa jemu dan impian yang satu(Jun 2010) masih di teruskan walaupun 2010 hanya akan di ingati menjelang detik 12 malam.
Saya mungkin agak teremosi, mudah terhantuk dengan pelbagai ragam terutamanya yang melibatkan peraasaan dan gerak laku manusia tapi saya juga seperti manusia yang lain yang di beri akal, saya cuba menjerat impian-impian di dalam kantung usaha untuk saya kaut hasilnya, walau lambat, walau jenuh menanti.

Tahun 2011, impian saya untuk perkara yang melibatkan rohani, saya impikan sesuatu yang tidak terduga oleh sesiapa, baik rakan terdekat atau isteri sendiri.

Sementara itu, untuk kehidupan saya sebagai pekerja, saya mahu menghampiri matlamat yang selama ini sering tertangguh kerana memikirkan “apa kata mereka”, saya mahu berdiri dan berkata “aku buru tempat itu(sambil menunjuk kepada kerusi biru separa tinggi di hujung pejabat)”.

"Aku lelaki yang miliki IMPIAN, bukan mimpi"

"You do what you can for as long as you can, and when you finally can't, you do the next best thing. You back up but you don't give up" - Charles "Chuck" E. Yeager
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...