Saya selalu mengacukan soalan pada diri sendiri untuk mendamaikan perasaan. Selalu juga, atau kerap kalinya saya akan menulis segala rasa di dalam lembar kertas atau dalam buku catatan. Ada antaranya yang saya siarkan di dalam "mukabuku". Jika terlalu sensitif, saya hanya biarkan catatan itu di dalam buku catatan yang akan saya baca bila ada masa terluang.
Segala rencah hidup sering mengutuskan idea-idea yang berbunga namun kerap juga bunga-bunga itu luruh tanpa sempat saya tangguk. Perasaan ketidakpuasan hati umpamanya sering saja runtuh tanpa sempat di sambar intipati.Sebagai seorang yang suka meneliti, saya cuba mengimbangi perasaan marah dan waras rasa.Contohnya, saya pernah radang bila suatu hari saya terserempak dengan seorang kakitangan sebuah organisasi yang bertugas di bahagian Sumber Manusia yang sudah tentunya membuat dan menggariskan peraturan kerja tetapi dengan tanpa ada perasaan bersalah sering sahaja lambat ke tempat kerja. Yang lebih membuatkan saya radang bila heboh di katakan pekerja itu bekas kakitangan sebuah badan beruniform. Bagaimana mahu memberi contoh yang baik pada pekerja bawahan jika diri sendiri tidak terurus, jika diri sendiri tidak menepati undang-undang?
Tetapi, perasaan marah ini hanya terapung di dalam minda saya sahaja setelah sedar bahawa segala yang berlaku langsung tiada kena mengena dengan diri saya.
Saya masih ingat, bagaimana suatu hari seorang rakan yang bekerja dengan sebuah organisasi bercerita perihal kenaikan pangkat. Dia begitu berkecil hati dengan sikap sesetengah Pengurus yang mengamalkan sikap pilih kasih dengan amat ketara. Hanya mereka yang rapat dan mesra sahaja di berikan peluang untuk kenaikan pangkat walaupun tidak menyumbangkan apa-apa organisasi tersebut. Saya hanya mampu menjawab " itu rezeki dia". Namun cerita itu tidak tamat di situ, sebaliknya saya salin dan luahkan di dalam Kronisme Kawanan Semut
Saya juga sedar, cerita begini mampu membangkit perasaan marah mereka yang "memakan cili" tapi sedarkah mereka perasaan pekerja lain yang bersungguh-sungguh bekerja tetapi langsung di sisihkan kerana mereka "tak ngam" dengan Pengurus tersebut?
Segala ragam dan karenah dalam kehidupan sering mengumpan perasaan yang pelbagai sifatnya yang akan di kupas dari pelbagai segi lalu di canangkan di dalam pelbagai rupa.
No comments:
Post a Comment