Saya pernah menulis entri tentang perang, juga menggunakan tajuk Perang. Dalam entri itu, saya mengatakan semasa zaman kanak-kanak main perang-perang adalah permainan kegemaran saya dan sekumpulan rakan sebaya.Selain main perang-perang, aktiviti sampingan tentulah berkubang dalam selut(lumpur) sampai cuma nampak biji mata, seluruh tubuh di saluti selut yang perit baunya.
Adegan perang kami tidak pernah kenal lelah, pantang ada masa terluang, pasti akan berperang.Kalau tiba musim cuti sekolah, aktiviti utama tetap berperang. Awal pagi selepas sarapan pulut kukus dengan ikan kering dan secawan kopi, terus turun rumah cari terung Belanda, bekalan peluru untuk berperang.Balik rumah ketika matahari terpacak atas kepala. Makan tengahari dan dengar ibu berleter lagi.Jeling-jeling tengok surat khabar yang abah beli.Abah berdehem beberapa kali, isyarat untuk segera mandi dan pergi mengaji.
Balik dari mengaji sekitar jam 4:30 petang, terus sambar senapang, kayuh basikal menuju medan perang-kawasan belukar di hujung kampung- bersedia untuk berperang.
Walaupun perang itu cuma main-main, tetapi jarang sekali ada antara kami yang akan mudah mengaku kalah. Kalau kalah pun, tidak ada sesiapa yang balik mengadu pada ibu ayah minta simpati atau minta tolong kakak abang datang membantu. Kami akan berperang habis-habisan, umpama Leftenan Adnan bermatian bertempur di Bukit Candu pada 14-Feb-1942.Pantang kalah,apatah lagi untuk mengalah.
Ini cerita zaman kanak-kanak, zaman ketika saya buta politik.
Sekarang, kita selalu di sajikan dengan adegan perang politik di Persidangan Dewan Rakyat.Bila wakil pemerintah mengusulkan agenda, bahas pun bermula.
Gebang pong-pang-pong-pang, bertekak hingga nampak anak tekak,urat leher muncul mendadak,tegang dan sarat benak. Ada yang sampai hentak-hentak meja, ada yang gelak separuh nyawa dan ada juga yang diam sambil mulut ternganga.
Menarik. Mereka semua adalah wakil kita, yang di pilih oleh jutaan rakyat melalui undi.Mereka mewakili suara kita, mewakili kemahuan kita dan menyampaikan tuntutan kita semua.
Tradisinya memang begitu,maka kita terima semua adegan itu.
Tapi, ada satu adegan yang baru saya saksikan atau ini mungkin perang zaman politik baru. Mulanya, serang peribadi.Bertekak lagi.
Fakta? Entah betul entah tidak, janji serang untuk berperang. Yang memalukan, bila kena serang, terus angkat kaki dan tersengih meninggalkan dewan.
Belum habis berperang, sudah mengaku kalah.Kenapa? Hanya dia yang tahu dan dia ini banyak sekali simpang siur alasannya.Boleh baca di sini.
Jika di teliti dan di amati dan membuat perbandingan kasar, kami(saya dan rakan-rakan sebaya) lebih bermaruah dari wakil rakyat yang keluar meninggalkan dewan ketika di serang di Dewan Rakyat.Kami tidak pernah mengalah, kami akan berjuang bermati-matian walaupun terung Belanda sudah kehabisan.....
No comments:
Post a Comment