January 21, 2009

Syaamil-Di Pertengahan UjianNya

Dengan anak, jiwa saya mudah menangis.
Syaamil di serang demam secara tiba-tiba 3 hari lalu dan berpanjangan hingga saat catatan ini di zahirkan. Sudah 3 hari juga dia tidak menjamah apa-apa makanan,cuma sering merengek meminta susu. Sering juga menangis,meluahkan kesakitan yang di alami walaupun tangisan itu hanya menceritakan kesakitan yang gagal di tangkap dan di fahami oleh saya dan isteri.
2 kali ke klinik mendapatkan rawatan.Nasihat doktor yang selalu di tatang. “ Ini perkara biasa,insyaallah dia akan segera sihat”. “Banyakkan memberi air kosong”,sambungnya lagi. Saya yakin pada setiap kata-kata dan petuanya.Insyaallah...
Syaamil hanya mampu senyum-tawar- keuzuran ini telah meragut semua gelak ketawanya yang sentiasa mengiringi keindahan hidup saya.Beberapa kali air mata yang cuba di empang tertumpah..
Menoleh ke wajah isteri-sayu-dia hidup dalam duka.Saya harus semakin kuat untuk menceriakan dia.
Hari ini,Selasa 20hb Januari 2009,balik dari kerja, tergesa-gesa lagi ke klinik, setelah Syaamil terbaring tidak bermaya.Tanpa banyak persoalan, doktor yang genit berkaca mata menulis sepucuk surat, untuk di rujuk ke hospital kerajaan.
Tanpa bertangguh, usai melengkapkan rakaat Maghrib di rumah, memecut laju pula ke Hospital Sungai Buloh.Terasa jauh benar perjalanan dari Shah Alam ke Sungai Buloh.
Dalam getar yang masih kencang, selesai menguruskan urusan pendaftaran juga proses ujian darah dan menunggu hampir 2 jam, keputusan dari hasil ujian itu pun muncul dan di tuturkan satu persatu oleh doktor yang bertugas.
Alhamdullilah,kegusaran saya dan isteri terhadap jangkitan denggi jauh tersasar.Syaamil hanya demam biasa,cuma tekaknya sedikit merah(bukan tonsil walaupun saya mempunyai masalah dengan penyakit millennium itu).Setelah di bekalkan dengan beberapa jenis ubat, saya memandu pulang dengan nafas kelegaan.Harapnya, esok Syaamil mampu memberi saya ketawa yang di tagih hampir 4 hari.
Maka, saya perlu yakin bahawa setiap hambaNya akan di uji dengan pelbagai musibah,sebagai ujian untuk kita memuhasabah diri dan untuk lebih mengenali zat-zatNya.
Allah s.w.t. berfirman yang bermaksud:
"Patutkah manusia menyangka bahawa mereka akan dibiarkan dengan hanya berkata: Kami beriman, sedang mereka tidak diuji (dengan sesuatu cubaan)? Dan demi sesungguhnya! Kami telah menguji orang-orang yang terdahulu daripada mereka, maka (dengan ujian yang demikian), nyata apa yang diketahui Allah tentang orang-orang yang sebenar-benarnya beriman dan nyata pula apa yang diketahuiNya tentang orang-orang yang berdusta". (Al-Ankabut: 2-3)

* Ketika saya sedang menulis catatan ini, Barrack Obama sedang memberi janjinya pada rakyat Amerika dan juga memberi harap pada penduduk dunia,sedang Gaza masih menitis merah darah syuhada....

1 comment:

zairi said...

baru kita tau betapa sayang nya mak+ayah kita pada anak2 mereka. walaupun dulu kita pernah memberontak mengikut nafsu kanak2/remaja.
bulan puasa thn lepas aku hampir kehilangan anak yg aku kasihi.atas kecuaian kami sebagai ibu+bapa. anak aku tertelan syiling 50sen.x pernah aku tepuk sekuat begitu di belakang badan anak aku.kami bertarung hampir 10~12 saat.
aku menangis sambil memeluk seerat2 nya anak aku tu....Alhamdulillah...Tuhan ingin menduga kami.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...