November 04, 2008

Melayang-layang.....


Siang tadi, ketika tekanan kerja berada di puncak, saya meluangkan diri ke sudut rehat, mencari secawan kopi dan menyedut asap rokok sambil membiarkan fikiran melayang-layang,melayang-layang tapi kembali di sambar agar ianya tidak segera hilang dan terbang.Ada sedikit ketenangan yang menyapa.
Tiba-tiba, seorang rakan yang kurang mesra datang dan duduk di sebelah saya, membiarkan beberapa kerusi yang lainnya kosong.Dia tersenyum dan saya mengangguk tanda menyapa.
"Rajin hang tulis blog”.Dia memulakan bicara.
“Saja, duduk rumah tak tau nak buat apa”, jawab saya.
“Macam-macam hang tulis”, sambungnya lagi.
“Eyer,apa-apa yang melintas, aku tulis la”.
Dan perbualan kami tamat di situ, ketika beberapa orang yang lainnya memenuhkan kerusi yang ada.Saya bingkas bangun,memadamkan rokok kedua yang cuma separuh sempat di hisap, kopi yang masih berbaki dan segera masuk semula ke pejabat.
Menyiapkan beberapa tugasan sambil sesekali memerhati jarum jam.
Sesekali juga, terpandang gelagat ketua jabatan yang terhingut-hinggut mencuba tempat duduk baru(bukan kerusi tapi pangkat).
Cukup masa, saya mengemas meja yang sedikit berselerak dan menulis beberapa tugasan penting untuk esoknya pada selembar kertas kosong dan menampal kertas tadi pada skrin komputer agar saya tidak lupa.
Kembali ke rumah, selepas makan malam yang enak, fikiran pun melayang-layang kembali dan saya mencatatkannya begini..............................
"Saya secara dasarnya, akan menulis apa-apa sahaja yang terlintas dan sempat di tangkap dan di muatkan ke minda.Bagi saya, menulis itu adalah satu ketenangan buat diri saya yang rajin bercerita.Walaupun, seringkali tulisan itu berbalik-balik, compang camping dan sumbing di sana sini.Tapi, sekurang-kurangnya, saya melahirkan apa yang ada dalam hati kecil saya, yang dapat saya lihat dan saya nikmati secara lahiriah.Semua ini adalah rakaman kehidupan yang sempat saya kecapi sebagai manusia kerdil yang di bumi Allah.
Kadang-kadang yang lainnya, tulisan itu melalut(bukan mencarut),membawa saya jauh dari apa yang ingin saya catatkan pada awalnya.Terumbang ambing di antara kemalasan menaip dan keinginan untuk menemukan penyudahnya.
Saya juga, bukanlah bermimpi atau mengidam menjadi penulis sastera yang mampu bercerita sehalus mungkin seperti Pak Samad Said atau Arenawati atau kekadang melahirkan radang seperti Azizi Hj Abdullah atau Shahnon Ahmad, jauh sekali untuk menyulam ayat seperti Usman Awang.Saya hanya mengutuskan apa yang terakam di minda dan mencatatkannya mengikut kesesuaian dan kemahuan saya sendiri.
Pernah juga, seorang rakan sekerja yang saya hormati kerana ketokohan kepimpinannya menyatakan bahawa saya ini penulis politik songsang.Dan saya menafikan tanggapan sekeras-kerasnya kerana saya tidak menyokong mana-mana parti politik secara membuta tuli.Saya rasa, saya akan menyokong mana-mana parti atau individu yang resmi hidupnya adalah bersih dan jauh dari rasuah,menjaga amanah kemerdekaan,menghindari Islam dari terusik dengan pemodenan, tahu dan faham apa itu Melayu dan hak Melayu juga mentadbir Malaysia secara aman dan makmur dan sejak kebelakangan ini saya sering resah dengan mainan politik Malaysia yang semakin hanyut dari tujuan asalnya.Hala tuju Melayu di rasakan semakin longlai dan semakin samar.UMNO,PKR dan PAS seharusnya memikirkan semua itu, bukannya manusia sekerdil saya, awak atau kita.
Dengan itu, saya menyifatkan tulisan saya ini lahir dari naluri ingin menyampaikan dan tidak pernah juga saya mengharapkan sesiapa untuk mengunjungi dan mengulang baca blog saya.Cuma, sebagai manusia, saya amat berterima kasih dan bersyukur kerana ada beberapa insan yang sudi singgah dan membaca tulisan saya di blog ini.Secara langsungnya, saya perlu peka dan patuhi setiap aturan tulisan agar ianya dapat di fahami, di mengerti dan jika ada satu dua tulisan yang dapat di ambil sebagai penunjuk dan perkongsian kehidupan, itu adalah suatu penghormatan untuk saya."

1 comment:

Anonymous said...

salam..

jika tidak dikatakan..mata pena itu lebih tajam dari mata pedang..
dan itulah maksud nya...walaupun pun sekadar luahan pandangan yg mungkin aku saja yg baca..namun hakikat bila menjadi satu wadah bagi satu perjuangan...mungkin besar erti nya...
wasalam..

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...