July 29, 2013

Dunia Perubahan Kita

Catatan ringkas untuk mereka yang pernah dan masih bekerja bersama saya ;
Dalam banyak perkara, kita selalu katakan kita ini muafakat. Luarannya begitu, nampak kuat, kukuh dan kejap.
Hakikat yang sedang kita sembunyikan, muafakat kita ini umpama kuih puding. Nampak padat tetapi amat mengiurkan.
Kita sebenarnya sedang memotong puding tersebut, bukan untuk memenuhi nafsu kita tetapi untuk menjahanamkannya. Dan kita merasakan bahawa kita sedang membahagikan puding tersebut, secara adil dan sama rata. Memanglah sama rata, sama rata yang cuma kita sahaja fahaminya. Sama rata, sama rata seperti tahun-tahun terdahulu, ketika kita masih jahil tentang muafakat. Sampai sekarang pun, kita masih lagi jahil tentang muafakat.

Tanpa berselindung, kita katakan lagi, kita mahu perubahan dan berteriak bersama-sama, kononnya untuk perubahan.
Apa yang sudah dan sedang kita usahakan untuk perubahan?
Tiada.
Hanya teriakkan sahaja, untuk memperlihatkan bahawa suara kita adalah suara perubahan tetapi sebenarnya kita sedang mengoyak-ngoyak muafakat dan langsung tidak pernah memahami erti perubahan yang kita laungkan itu.
Karenah kita dengan ego, "aku boss kau siapa" bukan melambangkan perubahan. Tingkah laku kita yang tidak percaya pada "memberi"peluang kedua bukanlah langkah bijak dalam mendepani erti perubahan.
Itu kemusnahan. Itu lubang kubur yang sedang kita gali untuk sama-sama masuk dan beradu di dalamnya.
Itulah cara kita sebenarnya. Mahu muafakat agar sama-sama terjun ke lubang kubur itu.

Ada baiknya, kita bersyukur dengan apa yang kita ada sekarang, dengan kekuatan ego. Bijak dalam dunia kita sendiri. Umpama cerita katak dan tempurung.
Ohhh...itu cerita katak dekad lalu. Cerita katak dekad baru, selari dengan perubahan adalah cerita seekor katak yang menjadikan katak lain sebagai batu lonjatan untuk ke seberang sana.
Itu lebih baik dari cerita katak di bawah tempurung.

Kita sebenarnya ada pembimbing, walau kekadang waktu dia hidup dalam dunia muafakat dan perubahannya sendiri dan hanya percaya pada diri sendiri, ideanya lebih bernas dari idea orang lain. Tetapi, sekurang-kurangnya dia ada semangat, untuk menuju ke arah perubahan dan bernaung di bawah kemuafakatan yang tulen.
Itulah dunia kita. Dunia yang kita ciptakan untuk kita sahaja. Dunia bila mana kita mengangkat sijil sebagai pemboleh ubah keseluruhan sistem dan corak kehidupan kita dalam bekerja. Dunia perubahan kita.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...