March 27, 2015

Abah

Kata dia "kalau lembu pecah amanah, itu kira ok lagi. Tapi kalau orang pecah amanah, patutnya dia jadi lembu. Sebab itu Allah ciptakan lembu tanpa akal. Kalau dia berakal, dia lagi hebat dari manusia yang pecah amanah."
"Dia" itu, bapa saya. Yang saya panggil abah.

Sepanjang hidupnya, dia tidak pernah merasa puas menasihati saya dan setiap nasihat itu datang dalam keadaan yang berbeza-beza. Ketika bersarapan pagi contohnya. Dia tidak perlukan masa yang khusus untuk bersembang dengan saya, sejak saya masih menetap bersama keluarga hinggalah saya sendiri sudah berkeluarga. Setiap kali bersembang, dia akan selitkan nasihat. Setiap kali itu juga dia akan berkata "Shahrulnizam bin Abd Hamid, dengar ni abah nak kata."
Itu kelebihan abah. Dia mampu memecahkan topik dengan gelungsur yang menarik. Dari satu topik ke satu topik lain dan setiap topik itu bersahut-sahutan, saling berpaut dan seperti yang saya katakan tadi, akan ada nasihat dan selalunya nasihat itu sebagai penutup sesi sembang kami anak beranak.

Sejak 10 tahun kebelakangan ini, kami semakin kurang bersembang. Satunya kerana saya jarang balik kampung dan abah bukan lelaki akrab teknologi. Telefon bimbit masih bukan barangan keperluan bagi abah walaupun berkali diingatkan agar membawa telefon bimbit ke mana-mana yang dia pergi. Rimas, katanya.

Abah seorang yang suka hal-hal berkaitan seni. Dia pandai kayu. Memang itu kemahiran semulajadi yang ada pada abah dan kemahiran itu tidak ada pada saya. Kerana minat beliau dalam seni, maka setiap kali dia menasihati atau ingin menyampaikan sesuatu perkara, gaya percakapannya amat memikat walaupun dia tidak pernah membaca puisi karangan Pablo Neruda. Sungguh. Dia mengatur ayat satu persatu-satu dan dituturkan dengan antonasi suara yang mempersona. Dia akan pastikan saya mendengar katanya. Sungguhlah juga, memang saya akan mendengar.

Hal-hal sebegini amat membezakan saya dan abah. Saya seorang yang berterus terang dalam banyak hal. Kalau saya mahukan sesuatu, saya akan kata "saya nak". Abah tidak, dia akan bercerita dan membawa kita jauh, dia berkehendakkan kita faham secara alami. Abah ibarat Daniyal Mueenuddin dan saya seperti gubahan padat karangan Elizabeth Strout.

Dalam apa keadaaan sekalipun, saya tetap anak "abah" yang kini dipanggil "abah".
Bukan senang sebenarnya untuk menyalin Abdul Hamid bin Hasim ke dalam jiwa "abah" yang sedang saya galas. Insya Allah, saya sentiasa mencuba.


No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...