January 15, 2008

Dari Beirut ke Jerusalem


Suatu ketika dulu,ketika usia saya dalam lingkungan 9 ke 10 tahun seringkali saya mendengar abah menyanyikan lagu Balada Anak Kecil karya Zubir Ali yang mengkisahkan tentang penderitaan rakyat Palestin ketika era penghapusan etnik di wilayah Sabra dan Syatila.Waktu itu juga,saya tidak pernah mengendahkan bait lirik yang tersusun dalam kata-kata puitis itu.
Setelah usia beransur ke angka 20an dan semangat saya untuk mengembara kian menebal lalu semangat itu di gantikan dengan bahan bacaan yang mampu membuat saya terbang dan mengembara dalam dunia khayal saya sendiri,saya cuba untuk bergelut menyelami isi yang terkandung dalam kisah rakyat Palestin.Dan pengembaraan itu sering kali terkandas kerana kejemuan saya untuk membaca perihal peperangan yang mana pada saya ianya adalah pengkisahan sejarah yang langsung tiada kena mengena dengan saya.Selalunya saya akan terus menamatkan pembacaan bahan yang sebegitu tanpa mengetahui kesudahannya dan membuang jauh segala baki ingatan terhadap apa yang telah di cernakan ke minda.Sehinggalah pada suatu hari yang kosong kerana kekurangan aktiviti,saya melayari laman web Harakah Daily dan terpandang iklan sebuah buku yang di paparkan.Buku yang saya maksudkan itu bertajuk Dari Beirut ke Jerussalem karya Dr Ng Swee Chai; seorang pakar ortopedik dari London,kini berkhidmat di Hospital St Bartholomew dan Hospital Diraja London dan buku ini lebih bersifat catatan pengalaman beliau sendiri sewaktu bertugas sebagai doktor sukarelawan di Lubnan sekitar 1982.
Timbul minat saya untuk membaca buku ini,tambahan pula harga yang di tawarkan adalah murah dan di edarkan oleh sebuah syarikat penerbitan yang baru.Sebagai usaha pertama,dengan mudah saya melakukan pesanan melalui pembelian dalam talian tanpa memikirkan apakah buku ini akan saya jamah dengan berselera atau mungkin juga hanya akan menghuni rak buku tanpa merosakkan helaiannya(selalunya buku yang habis saya baca akan terdapat kecacatan kerana kesukaan saya yang sering menandakan muka surat yang di baca dengan melipat tepinya).
Sehari selepas melakukan pesanan,saya mendapat panggilan telefon dari penyambut tetamu yang memaklumkan ada penghantaran untuk saya.Dengan malas,saya turun ke tingkat bawah menyambut penghantaran dari seorang posmen yang suka tersenyum.
Kotak yang kemas berbalut dan tertera tulisan compang camping alamat dan nama si penerimanya itu terus sahaja saya masukkan ke dalam beg galas dan seperti selalu saya akan teruja membukanya setelah sampai di rumah.
Dan malam itu,dalam dingin malam yang masih berbaki rintik hujan,saya membuka bungkusan yang berisi buku tadi.Perkataan pertama yang terkeluar dari mulut saya adalah “cantik”.Apa yang cantiknya?Sudah tentu muka depannya yang memaparkan gambar dua orang lelaki,seorang darinya mengangkat mayat yang tidak pasti jantinanya.Dari muka depan yang “cantik”dan simbolik,saya mula menyelak ke halaman kata pengantar.Saya mula membaca tulisan penghargaan dari penulis yang di rakamkan istimewa untuk individu tertentu di Palestin.
Perkara pertama yang menarik tentang penulis ini adalah keupayaan beliau untuk menyusun ayatnya di dalam ruangan kata pengantar dan di fahamkan bahawa kata pengantar ini di tulis khusus untuk edisi Bahasa Melayu sahaja(buku ini telah melalui proses penterjemahan dari Bahasa Inggeris ke Bahasa Melayu).
Seperti selalu,rakaman dokumentari yang lebih bersifat pengenalan seperti yang di tulis di dalam buku ini akan mudah menarik minat saya terutamanya bila si penulis memperjelaskan dengan sedalam mungkin hal-hal yang kecil-dan saya akan berkhayal tentang hal-hal yang kecil ini-tentang latar belakang keluarga yang berasal dari Pulau Pinang dan di asak dengan angin politik hingga membawa diri ke Singapura-di besarkan di Singapura dan mendapat pendidikan dalam bidang perubatan di sana-saya suka cara beliau melakarkan masa mudanya sewaktu di Singapura-hidup dalam buangan di England bersama suami beliau,Francis dan masih berbangga mengaku sebagai warga Singapura-seorang penganut Kristian-pernah beranggapan rakyat Palestin adalah pengganas-semua itu berubah bila dia menyedari "suaru halus"telah menjemput beliau untuk berkhidmat kepada masyarakat.
Semua ini,sudah menjadikan saya semakin teruja untuk membaca keseluruhan isi kandungannya dan bab-bab yang seterusnya membawa saya melihat dengan jelas tragedi di Sabra dan Syatila.Di sinilah,air mata saya terlalu murah untuk menitis sehinggakan saya terpaksa mengunci pintu bilik bacaan-mengelakkan isteri terpandang saya dengan mata yang bermasih merah-kepedihan yang di paparkan oleh penulis mampu membuatkan kebencian kepada Israel(Yahudi laknatullah)berada pada tahap paling tinggi dalam diri saya waktu itu dan peranan media antarabangsa yang menghapuskan bukti kekejaman Israel dengan tidak melaporkan penghapusan etnik Palestin dari di paparkan kepada masyarakat antarabangsa juga menjadikan saya semakin marah.Dan malam itu,saya tidur dalam dendam dan benci juga menginsafi nasib bangsa Palestin yang terus mencari keadilan di tanah air sendiri sedangkan saya di sini masih lagi tidur dengan mimpi yang enak......

2 comments:

mie said...

saya nak beli tapi tak tahu di mana. Dulu ada nampak iklan di harakah, skrg tidak lagi.

Shahrul Rock said...

Saya dapatkan buku ni melalui kinibook.com

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...