April 18, 2013

Ohhh Zul...

“Ignorance and prejudice are the handmaidens of propaganda. Our mission, therefore, is to confront ignorance with knowledge, bigotry with tolerance, and isolation with the outstretched hand of generosity. Racism can, will, and must be defeated.”

- Koffi Annan

Saya menerima beberapa kiriman SMS dari rakan-rakan terdekat.
SMS mereka ini mengandungi kegusaran terhadap kecenderungan saya memaparkan berita berkaitan politik yang menentang kerajaan Barisan Nasional, terutamanya selepas Zulkifli Nordin dicalonkan di Parlimen Shah Alam atas tiket Barisan Nasional untuk menentang Khalid Samad dari PAS.

Dalam hal ini, pucuk pimpinan Barisan Nasional yang melakukan pemilihan calon untuk kerusi Pilihan Raya Umum ke 13 dilihat tidak melakukan kajian secara terperinci.
Kenapa saya katakan begitu?
Pucuk pimpinan Barisan Nasional nampaknya kurang sensitif dalam isu ini. Pemilihan Zulkifli Nordin adalah satu kesilapan besar yang telah mereka lakukan. Mereka gagal mengesan hati nurani dan sensitiviti rakyat.
Congakan mudah yang mereka lakukan, akhirnya akan memakan diri sendiri. Tunggulah, tarikh 05-Mei-2013 nanti. Apakah warga pengundi Shah Alam boleh menerima calon dari Barisan Nasional yang secara terang terangan mempunyai fahaman rasisme yang tinggi.

Saya faham dan sokong perjuangan beliau mempertahankan kalimah Allah dari di guna pakai oleh penganut agama lain, begitu juga tentang hujah-hujah beliau yang menentang keras kes-kes murtad di Malaysia tetapi bila timbul isu menghina agama lain, saya rasakan “cukuplah Zul.Mana perjuangan saudara?”.
Kekaguman saya yang dahulu, semasa beliau berada di dalam Pakatan Rakyat sebelum ditendang keluar dengan biadab, sudah terhakis sama sekali. Pada saya, beliau cuma lelaki yang tiada apa-apa. Kosong.

Sebelum suburnya isu penghinaan kepada agama Hindu(juga penganutnya), Zulkifli yang pernah menjadi peguam kepada Anwar Ibrahim ketika kes Liwat I telah mengeluarkan kenyataan berbaur perkauman dengan mengatakan bahawa kaum Cina dan India adalah kaum pendatang di Malaysia. Memang sejarah membuktikan begitu, tetapi sebagai seorang wakil rakyat, beliau seharunya memahami sifat toleransi antara kaum di Malaysia.

Sebagai seorang yang mempunyai latar belakang dalam undang-undang, beliau seharusnya sedar bahawa setiap kenyataan yang dikeluarkan beliau-sama ada semasa bersama PKR atau selepas bersatu dengan PERKASA- akan diguna pakai oleh pengundi-pengundi yang akan menentukan jatuh bangun beliau dalam arena politik. Setiap ucapan yang berunsur penghinaan terhadap agama dan kaum akan kekal sebagai memoir yang payah untuk dilupakan.

Saya juga sedar, bahawa beliau telah melakukan permohonan maaf secara terbuka kepada penganut agama Hindu tetapi itu belum lagi memadai jika dibandingkan dengan hati mereka yang terguris.
Seeloknya, Zulkifli Nordin perlu berdiam dari kancah politik dan memperjuangkan agenda memartabatkan Islam tanpa perlu terikat dengan mana-mana parti politik.

Ini negara yang bernama Malaysia yang mana sebahagian dari pengundinya masih lagi mempunyai tembok penghalang antara individu yang mewakili parti dan parti itu sendiri. Tidakkah ini akan merugikan Barisan Nasional sendiri sekiranya pengundi-pengundi di Shah Alam masih lagi terngiang-ngiang dengungan ucapan beliau yang menghina agama Hindu dan memperlekehkan penganut Hindu?

Walaupun saya tidak mengundi di Parlimen Shah Alam, tetapi sebagai seorang Islam saya berasa amat malu bila seorang pemimpin seperti beliau mengeluarkan kenyataan yang sebegitu jahil sifatnya. Islam melarang umatnya menghina agama dan kepercayaan umat lain. Ini akan mendorong mereka melakukan tindak balas yang akan merugikan umat Islam. Islam adalah agama dakwah bukannya pencetus kepada permusuhan. As-Sobuni dalam tafsirnya “Sofwatul tafasir (Jilid 1, m/s 410)” berkata: “Dan janganlah kamu mencela sembahan-sembahan orang musyrikin dan berhala-berhala mereka maka, mereka kelak akan membalasnya dengan celaan kepada Allah dalam keaadaan jahil dan akan bersifat melampau disebabkan mereka tidak mengetahui kebesaran Allah S.W.T.”

Pemimpin yang tidak mampu menyelaras minda ketika bercakap bukanlah seorang pemimpin. Mereka ini tidak lebih dari seekor burung kakak tua.
Malaysia tidak perlu kepada pelaris agama yang bersifat menghina kepercayaan orang lain kerana Islam terlalu indah, Malaysia ini terlalu aman.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...