June 29, 2015

Meriam Tanah


Ketika kejadian itu, gua kurang ingat berapa usia gua. Mungkin 10 tahun, mungkin 11 tahun.
Yang paling gua ingat, ketika itu bulan puasa dan gua buat meriam tanah belakang rumah datuk gua.

Buat bagi elok, gua guna enam biji tin Milo bersaiz 1.5 kilogram yang gua buang bahagian bontot, korek tanah dan tanam bagi kemas. Gua tinggalkan satu tin untuk dijadikan takung karbaid, jadi bontotnya gua tidak buang, cuma gua tebuk di bahagian tepi tin itu sebagai lubang pencucuh. Bahagian hujung meriam, gua pastikan tidak terkambus, kalau terkambus, jahanam!

Sebagai pelengkap, gua timbus tin-tin Milo tadi dengan tanah, injak-injak supaya tanah padat dan kalau meletup, tin-tin Milo tidak berganjak, kejap dan kukuh.

Meriam sudah siap.
Masalah utama pun datang. Karbaid mahu beli dari mana?
Kedai paling dekat yang ada jual karbaid, berjarak kurang lebih 10 kilometer dari rumah gua, Kedai Runcit Ah Meng Gunung Keriang. Sah-sah abah gua tidak benarkan gua pergi.

Penyelesaiannya, gua rembat karbaid yang nenek gua gunakan untuk peram buah nangka.
Nenek peram buah nangka dalam besen besar, sesuai dengan saiz nangka.
Karbaid dibungkus dengan kertas surat khabar dan diletakkan di tengah-tengah dasar besen.
Gua rembat seketul besar. Sebagai ganti dan takut kalau-kalau kantoi, gua gantikan dengan batu sebesar penumbuk. Gua bungkus kemas, sama macam nenek bungkus karbaid.
Kalau nenek tengok, tentu dia ingat karbaidnya tidak terusik.

Makanya gua pun letupkan meriam tanah yang gua buat. Hebat bukan main.
Sehari, dua hari, tiga hari.
Masuk hari ke empat, ketika hampir waktu berbuka puasa, nenek perambat gua dengan penyapu lidi.

Rupanya strategi gua-gantikan karbaid dengan batu besar penumbuk-sudah kantoi.
Buah nangka yang nenek peram, empat hari tak masak-masak.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...