April 11, 2013

PRU KE TIGA BELAS


If we don't believe in freedom of expression for people we despise, we don't believe in it at all.
Noam Chomsky

Pilihan Raya Umum Ke-13. Rakyat Malaysia menantikan detik pembubaran Parlimen dengan suhu yang bertingkat. Awal Disember 2012, suhu politik dan debaran sedikit melonjak, kemudian mula reda menjelang pertengahan Januari 2013. Kibaran bendera parti politik sudah mula megah.

Debaran mula terasa menjelang Februari 2013. Khabar angin bertiup kencang, kononnya Perdana Menteri akan membubarkan Parlimen sebelum Februari 2013. Selepas itu, kita bermain teka teki hingga kita mula muak dan ”biaq pi la bila pun nak bubar.” Bendera parti politik yang di pasang sebulan lalu mula hilang serinya.

Akhirnya, pada 03-April-2013, Perdana Menteri mengumumkan pembubaran Parlimen dan serentak dengan itu, pokok-pokok di tepi jalan raya yang sebelum ini berbogel mula diselimuti dengan poster dan bendera parti-parti politik. Pada 10-April-2013 pula, SPR mengumumkan tarikh Pilihan Raya Umum Ke-13 pada 05-Mei-2013.

Ini pilihan raya umum ke empat untuk saya. Tidak termasuk pilihan raya kecil pada 2002 yang memahamkan saya bahawa semua penyokong parti politik itu sama sahaja. Baca kisah pilihan raya kecil 2002 di sini.
Cerita Pilihan Raya Umum ke 12 pula boleh dibaca di sini.

Seperti yang dikatakan di media arus perdana, Barisan Nasional berkeyakinan penuh bahawa mereka akan terus memerintah negara untuk 5 tahun(atau kurang lebih).
Gagasan dan agenda pembangunan juga janji-janji untuk menyenangkan rakyat sering dilaungkan.Semua kita telan kerana kita manusia yang sering percaya bahawa rezeki jangan di tolak. Musuh? Fikirlah sendiri.

Sementara itu, penyokong Pakatan Rakyat yang bijak menggunakan saluran media alternatif – media siber – juga ceramah-ceramah umum turut berkeyakinan bahawa akan berlaku peralihan dalam tampuk pemerintahan negara, seterusnya menukar lanskap politik Malaysia dan menguasai Putrajaya. Jika dilihat dalam dunia siber, memang benar Pakatan Rakyat mempunyai tarikan dan kekuatan. Itu saya percaya kerana 7 dari 10 rakan saya di Facebook adalah penyokong tegar Pakatan Rakyat.
Nah, cetusan idea dan naluri mereka memang menggila.

Saya?
Seperti selalu saya akan katakan saya non-partisan tetapi itu tidak bermakna saya buta politik.

Saya masih ragu-ragu untuk mengundi parti mana. Mahu sokong Pakatan Rakyat? Saya lihat ada segelintir penyokongnya membabi buta memaki hamun. ”Woii barua, jom pi masjidlah. Tak pi masjid, hang memang celaka.”. Menyeru ke arah kebaikkan dengan jalan kejahatan. Begitu saya simpulkan. Juga contoh-contoh dari rakan-rakan yang ada antaranya mahukan keadilan tetapi masih menadah tangan memohon ikhsan dari taukeh judi.

Barisan Nasional? Saya terpaksa berfikir banyak kali kerana saya tidak mahu anak-anak saya hidup dalam ruang khayal dan janji gula-gula. Saya juga mahu anak-anak saya sedar bahawa kekayaan hasil bumi Malaysia perlu di kongsi sesama rakyat, bukannya untuk kroni dan saudara sahabat.

Kemungkinan juga, saya akan memilih calon yang memenuhi selera jiwa muda saya. Berwawasan dan jujur. Bagi saya, jujur itu penting, sepenting sabar yang mahal harga.

Seperti selalu, saya perlu menempuh perjalanan sejauh 434 kilometer(mengikut kiraan di Google Maps) untuk menggunakan hak saya sebagai rakyat Malaysia. Kalau mengikut perkiraan ulang alik, jaraknya sama dengan perjalanan dari Shah Alam ke Krabi, Thailand.
Saya juga sedang merancang untuk menukar audio kereta saya sebelum saya memandu pulang untuk mengundi nanti. Saya akan mengikuti dan khayal dengan irama muzik kerana menurut Ibnu Khaldun, muzik dapat mengeratkan hubungan sesama manusia melalui emosi yang dilahirkan ketika mendengarnya.
Saya mahu tenang dan aman untuk menentukan masa depan Malaysia dan isinya.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...