January 10, 2012

Ini bukan angan-angan


Lama saya berhenti dari menulis di blog Aku dan Sesuatu..., kali terakhir tulisan yang saya paparkan pada November 2011, itu pun cuma sekadar beberapa ratus patah perkataan. Selepas itu, kembali berdiam diri.
Setelah 2012 hampir menjengah ke angka 11 hari barulah tergerak untuk saya menulis kembali. Kebanyakkan rasa, saya luahkan di mukabuku. Kebanyakkan masa juga saya singgah di mukabuku, saya lebih senang berbicara hati di sana, lebih ramai tumpuannya.
Pernah seorang rakan bertanya, "dah bosan ke dengan blog?" Jawab saya, " tidak!". Cuma ingin menukar selera.

Tahun 2011, meninggalkan jejak yang bukan sedikit kesannya dalam hidup saya. Mozek-mozek kehidupan yang di pertemukan satu persatu, mengacah emosi, mendewasakan akal, menajamkan pemerhatian dan tidak kurang juga yang melarakan hati. Semua ini, kupasan kehidupan yang sudah di tentukanNya, saya redah dan hadap satu persatu. Berselang seli sebenarnya antara kemanisan dan kemasaman. Mahu di congak antara manis dan masam, saya kira terlalu manis.
Banyak perkara yang saya caturkan pada 2010 berjaya saya nikmati hasilnya pada 2011. Antaranya, walaupun 2011 antara tahun-tahun yang paling mencabar(?) dalam hidup saya tetapi 2011 juga antara tahun yang memberi saya banyak peluang mendekatkan diri dengan pelbagai cabang ilmu. Seingat saya, hampir 40 buah buku saya berjaya sudahkan pembacaannya, bermula dari bahagian Kata Pengantar hinggalah noktah terakhir pada muka surat penghabisan buku tersebut. Saya sendiri kurang pasti, dari celahan mana mampu saya kuakkan putaran 24 jam itu. Dan, alhamdulillah saya masih punyai masa untuk diri sendiri bersenang-senang dengan buku walaupun masa tidur saya semakin mengecil, sekitar 3 jam sehari!

Syaamil Asyraf, putera sulung saya juga sudah menjadi teman bual. Kepetahan bicaranya mengingatkan saya akan kata-kata abah, "masa kecik-kecik dulu pun hang pandai bercakap", barangkali Syaamil menyalin kehidupan dunia kanak-kanak saya.
Dalam memberi panduan kepadanya, sering dia menduga tahap sabar saya. Itu saya akui. Saya banyak bersabar dengan kepetahan dan keletahannya. Pernah dia minta pada saya sebuah telefon bimbit. Lalu, saya belikan sebuah padanya. Sekadar telefon biasa(basic). Di campakkannya dari tingkap bilik bacaan saya lalu menjunam laju dan terburai segala isi telefon tersebut. Saya marah. Dia menjawab. "Amil nak phone yang touch screen". Aduhhh....
Dalam diam saya akui, dunia sudah berubah. Saya anak Dasar Ekonomi Baru dan dia Gagasan 1 Malaysia!

Dunia saya, masih berlegar antara kerjaya dan mainan rasa. Banyak, banyak sebenarnya impian yang masih belum mampu saya laksanakan. Jasmani saya mungkin semakin longlai tetapi impian saya tidak pernah ada surutnya. Saya belum mahu mengalah untuk memiliki sesuatu yang saya buru. Saya mahu dan terus mahu ianya berada di sisi. Saya impikan 2012, ianya milik saya sepenuhnya.
Hanya Dia dan Dia.
"Ini bukan angan-angan boiii, ini impian seorang lelaki yang tak pernah tahu apa itu kekalahan".

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...