March 13, 2008

Gendang gendut

Saya pulang untuk mengundi pada 08 Mac 2008 di kampung kelahiran saya,Alor Setar,Kedah.Saya juga percaya,saya turut menyumbang angin perubahan dan iklim berparti di Kedah sehingga membolehkan PAS memegang teraju pemerintahan untuk tempoh 5 tahun mendatang.Undi saya itu,bukannya kerana bantahan terhadap SPR yang menafikan hak datuk untuk mengundi.
Bagi saya pengundi untuk pilihanraya ke 12 kali ini lebih bijak,lebih terbuka dalam melahirkan suaranya,walaupun majoriti suara itu di zahirkan pada kertas undi.Undian kali ini juga mungkin sebagai satu protes,sebagai satu isyarat untuk kerajaan BN pimpinan Pak Lah.Kerajaan harus menyelami kemelut dan masalah rakyat,harus melihat ke dasarnya kenapa negeri Kedah boleh terjatuh ke tangan PAS yang merupakan parti pembangkang pada tahun-tahun yang lepas.Namun harus juga di ingat jika PAS juga gagal memuaskan hati rakyat,gagal untuk menawan rakyat dengan manifestonya,maka saya andaikan suatu perubahan akan berlau pada pilihanraya ke 13 nanti.
Perubahan adalah sesuatu yang perlu dalam hidup.
Petang selepas mengundi, saya menemani datuk ke jemputan kenduri kahwin saudara sebelah arwah nenek.Saya terpandang pada suatu sudut,sekumpulan lelaki dengan alatan gendang silat dan serunai,juga gong.Ketika mulut penuh dengan nasi yang berkuahkan gulai kawah,gendang berbunyi dan irama serunai benar-benar membuatkan saya terkedu.Ingatan saya berlari-lari,terimbas imbas kenangan sewaktu kecil.Lama dulu,sewaktu masih kecil setiap kali ada kenduri perkahwinan,saya akan bertenggek di tepi pemain gendang silat,bertepuk tangan setiap kali habis alunan mengiringi pencak silat.Lama benar rasanya saya hilang kenikmatan yang sebegitu.Dan hari itu,saya di hidangkan semula dengan iramanya,pecah rindu saya pada bunyian yang sebegitu.
Bunyi gendang,ketukan gong dan alunan serunai tak akan mati selagi ada yang sudi mendengar.....

February 27, 2008

SPR-Tukang Cabut Nyawa

Saya selalunya jarang atau boleh di katakan kurang berminat dengan corak politik Malaysia walaupun secara dasarnya sejak kecil lagi saya di besarkan dalam keluarga yang berpegang kuat dan bersemangat memperjuangkan politik,terutamanya UMNO.Saya selalu juga memberi alasan bahawa politik ini lebih bersifat "memperkayakan"dari sifat yang sepatutnya "memperjuangkan".Secara langsung,dunia politik itu sendiri yang membuatkan saya menolaknya.Harus di akui,dengan cuaca politik jugalah kita di merdekakan.Saya terima hakikat ini.Dalam waktu-waktu yang mana suhunya semakin memuncak kerana Pilihanraya Umum ke 12,saya ikut terkena bahangnya dan sebagai seorang rakyat Malaysia yang di beri hak untuk memilih pemimpin negara, saya turut merasakan kewajipan mengundi adalah suatu ruang dan peluang yang amat berharga.Walaupun saya di besarkan di dalam sebuah keluarga yang mempunyai kepatuhan yang kuat kepada parti pemerintah,saya sebenarnya mempunyai kebebasan untuk menentukan parti mana yang harus di pangkah semasa hari pengundian.Abah pula selalunya akan menasihati saya agar membuat pilihan yang tepat,bukan hanya untuk diri sendiri tapi jua untuk generasi masa depan. Untuk mengesahkan lokasi mengundi kali ini,siang tadi(26-Feb-2008)saya menghubungi ibu di kampung bagi mengesahkan kepulangan saya,di samping itu juga meminta ibu mempersiapkan “jerut maman” kesukaan saya. Ketika galak bercerita,saya sempat bertanya ibu perihal datuk yang bersemangat tinggi setiap kali tibanya pilihanraya.Ibu mengkhabarkan bahawa datuk kecewa.Tetapi mengapa?Cerita dari ibu,datuk kecewa kerana namanya tiada dalam senarai daftar pemilih yang baru di keluarkan untuk tahun 2008,ibu menyifatkannya sebagai kesilapan teknikal dari Suruhanjaya Pilihan Raya.Saya kurang berpuas hati dan membuat panggilan ke Suruhanjaya Pilihan Raya di Putrajaya di talian 03-88856602 dan bercakap dengan Cik/Puan Effa pada tanggal 26-Feb-2008 jam 12:20 tengahari dan di maklumkan bahawa nama datuk telah di keluarkan dari senarai daftar pemilih kerana telah meninggal dunia pada 1966,sebelas tahun sebelum saya di lahirkan. Setelah agak lama bertegang leher,saya di syorkan untuk menghubungi Jabatan Pendaftaran Negara di Putrajaya untuk membuat semakan status diri datuk.Maklumat yang saya perolehi dari JPN sedikit membuatkan saya tersenyum.Jauh di hujung talian,kakitangan JPN mengesahkan bahawa datuk saya masih dalam status "aktif"(masih hidup)!Saya kembali menghubungi SPR namun tiada maklumbalas dan secara langsungnya datuk saya yang berusia 74 tahun telah “dikapankan” oleh SPR ketika beliau berusia 42 tahun lagi.Peranan Pengerusi SPR,Tan Sri Dato’Seri Hj Ab.Rashid bin Ab.Rahman(PSM,SPDK,PNBS,DCSM,DPMK,DMSM,JSM,KMN) bolehlah di sifatkan sebagai “pencabut nyawa”, kerana tindakan kakitangan beliau atau beliau sendiri yang berupaya “mematikan”orang yang masih hidup.Segala tanggungjawab ini mesti dan wajib di pikul oleh beliau selaku ketua untuk sebuah organisasi yang di amanahkan oleh negara dan perlu bebas dari sebarang hasutan atau gangguan Badan Eksekutif seperti yang termaktud dalam Perkara 14 Perlembagaan Negara.Jika di ajukan soalan,saya rasa jawapan yang akan di berikan berkemungkinan “kesilapan sewaktu mengemaskini data” atau mungkin jua “kami menggunakan data yang di perolehi dari JPN”.Apa akan berlaku sekiranya pihak SPR “tersilap”atau “terlupa” memasukkan daftar pemilih untuk Pak Lah atau Khairy Jamaludin?Saya sudah muak dengan alasan yang dikatakan berpunca kerana “human error”ini,sedangkan SPR bukanlah sebuah pertubuhan kecil seperti persatuan penduduk,tetapi ianya adalah sebuah suruhanjaya yang di amanahkan negara bagi memastikan sistem pilihanraya berjalan dengan adil dan telus. Saya mula terimbas tindakan BERSIH yang mengadakan demontrasi jalanan pada 10-Nov-2007.Pada mulanya,saya menyifatkan tindakan ini sebagai melampau kerana tujuan utamanya adalah untuk menyerahkan memorandum kepada DYMM Seri Paduka Baginda Yang Di Pertuan Agong dan menzahirkan ketidakpuasan hati terhadap sistem pilihanraya di Malaysia. Saya juga turut sama mengecam tindakan oleh BERSIH ini.Bagi saya,ianya adalah suatu tindakan bodoh dan jelas sama sekali bertentangan dengan budaya rakyat Malaysia.Apakah kita perlu di ingatkan semula episod hitam REFORMASI?Apakah sistem pilihanraya yang sedia ada masih lagi tidak memuaskan hati golongan pembangkang?Persoalan ini akhirnya terjawab,bila SPR mematikan datuk saya.Saya mula menerima tindakan pertubuhan BERSIH membantah,saya juga mula menerima tindakan Mohd Sabu mengoyakkan surat bantahan di ibu pejabat SPR dan juga sudah boleh menerima bahawa SPR hanyalah sebuah nama yang meletakkan slogan "cekap dan telus"sebagai syarat sahaja.Kesilapan-kesilapan yang sebeginilah yang menyebabkan KEADILAN berani bertindak,PAS mula melalak,DAP pula kuat berteriak.BN?BN ternganga - nganga hingga menampakkan anak tekak!Saya sedar,datuk saya cuma seorang petani,bukannya seorang Dato’Seri,tetapi dari undi si petani tua inilah Dato'Seri beristeri lagi!

February 05, 2008

3 Feb...

* Les Paul kesayangan dan kesukaan saya.... 3-Feb-2008,usia saya bertambah lagi untuk kali yang ke 31.Semakin panjang perjalanan ini,semakin terasa getaran dunia,semakin rancak iramanya.Saya cuba mencari tarian sendiri,cuba menari mengikut melodinya,kadang-kadang melodi itu sebaris dengan langkah tarian,kekadang yang lain pula ia hilang arah,tenggelam dalam ritma yang pantas.Ada antaranya yang sempat di cekup semula dan tarian itu pun berlanjutan lagi dan baki yang tertinggal akan tenggelam dalam hiruk pikuk alunan irama.Betapa pun penat mengikut rentak,irama ini tak akan mati,jiwa ini akan terus mengalunkannya dalam setiap nafas yang menerobos rongga....
Tingkah laku,tatacara hidup tetap pada jalan yang sama,nawaitu yang sentiasa mengiringi perjalanan menjadi peneman impian.Sejauh mana pun saya pergi,saya masih seperti dulu.Hidup dalam ruang lingkup saya sendiri,dalam dunia ciptaan saya sendiri.Dunia itu sedikit berubah semenjak kehadiran Syaamil.Kesukaan saya untuk bersendirian sambil membaca buku atau mendengar lagu juga sedikit di ubah,bersesuaian dengan status "abah".Kata isteri saya"abang memang rock,tapi cukup le kalau 'rock'tu dalam jiwa".Betul!Muzik kegemaran saya tetap "rock" dan penulis yang saya hormati tetap Pak Samad Said(setelah "di lucutkannya sendiri gelaran SN).Semua itulah yang membentuk saya sekarang.Muzik dari Bob Marley,Dream Theater,Stevie Ray V,Led Zep,Burzum dan himpunan buku Pak Samad,VS Naipul ataupun Arundhati Roy masih lagi di terjemahkan dalam hidup saya sehingga ianya sebati dan kukuh dalam hati.
Dan saya tetap SHAHRULROCK,walaupun usia semakin berganjak!

January 15, 2008

Dari Beirut ke Jerusalem


Suatu ketika dulu,ketika usia saya dalam lingkungan 9 ke 10 tahun seringkali saya mendengar abah menyanyikan lagu Balada Anak Kecil karya Zubir Ali yang mengkisahkan tentang penderitaan rakyat Palestin ketika era penghapusan etnik di wilayah Sabra dan Syatila.Waktu itu juga,saya tidak pernah mengendahkan bait lirik yang tersusun dalam kata-kata puitis itu.
Setelah usia beransur ke angka 20an dan semangat saya untuk mengembara kian menebal lalu semangat itu di gantikan dengan bahan bacaan yang mampu membuat saya terbang dan mengembara dalam dunia khayal saya sendiri,saya cuba untuk bergelut menyelami isi yang terkandung dalam kisah rakyat Palestin.Dan pengembaraan itu sering kali terkandas kerana kejemuan saya untuk membaca perihal peperangan yang mana pada saya ianya adalah pengkisahan sejarah yang langsung tiada kena mengena dengan saya.Selalunya saya akan terus menamatkan pembacaan bahan yang sebegitu tanpa mengetahui kesudahannya dan membuang jauh segala baki ingatan terhadap apa yang telah di cernakan ke minda.Sehinggalah pada suatu hari yang kosong kerana kekurangan aktiviti,saya melayari laman web Harakah Daily dan terpandang iklan sebuah buku yang di paparkan.Buku yang saya maksudkan itu bertajuk Dari Beirut ke Jerussalem karya Dr Ng Swee Chai; seorang pakar ortopedik dari London,kini berkhidmat di Hospital St Bartholomew dan Hospital Diraja London dan buku ini lebih bersifat catatan pengalaman beliau sendiri sewaktu bertugas sebagai doktor sukarelawan di Lubnan sekitar 1982.
Timbul minat saya untuk membaca buku ini,tambahan pula harga yang di tawarkan adalah murah dan di edarkan oleh sebuah syarikat penerbitan yang baru.Sebagai usaha pertama,dengan mudah saya melakukan pesanan melalui pembelian dalam talian tanpa memikirkan apakah buku ini akan saya jamah dengan berselera atau mungkin juga hanya akan menghuni rak buku tanpa merosakkan helaiannya(selalunya buku yang habis saya baca akan terdapat kecacatan kerana kesukaan saya yang sering menandakan muka surat yang di baca dengan melipat tepinya).
Sehari selepas melakukan pesanan,saya mendapat panggilan telefon dari penyambut tetamu yang memaklumkan ada penghantaran untuk saya.Dengan malas,saya turun ke tingkat bawah menyambut penghantaran dari seorang posmen yang suka tersenyum.
Kotak yang kemas berbalut dan tertera tulisan compang camping alamat dan nama si penerimanya itu terus sahaja saya masukkan ke dalam beg galas dan seperti selalu saya akan teruja membukanya setelah sampai di rumah.
Dan malam itu,dalam dingin malam yang masih berbaki rintik hujan,saya membuka bungkusan yang berisi buku tadi.Perkataan pertama yang terkeluar dari mulut saya adalah “cantik”.Apa yang cantiknya?Sudah tentu muka depannya yang memaparkan gambar dua orang lelaki,seorang darinya mengangkat mayat yang tidak pasti jantinanya.Dari muka depan yang “cantik”dan simbolik,saya mula menyelak ke halaman kata pengantar.Saya mula membaca tulisan penghargaan dari penulis yang di rakamkan istimewa untuk individu tertentu di Palestin.
Perkara pertama yang menarik tentang penulis ini adalah keupayaan beliau untuk menyusun ayatnya di dalam ruangan kata pengantar dan di fahamkan bahawa kata pengantar ini di tulis khusus untuk edisi Bahasa Melayu sahaja(buku ini telah melalui proses penterjemahan dari Bahasa Inggeris ke Bahasa Melayu).
Seperti selalu,rakaman dokumentari yang lebih bersifat pengenalan seperti yang di tulis di dalam buku ini akan mudah menarik minat saya terutamanya bila si penulis memperjelaskan dengan sedalam mungkin hal-hal yang kecil-dan saya akan berkhayal tentang hal-hal yang kecil ini-tentang latar belakang keluarga yang berasal dari Pulau Pinang dan di asak dengan angin politik hingga membawa diri ke Singapura-di besarkan di Singapura dan mendapat pendidikan dalam bidang perubatan di sana-saya suka cara beliau melakarkan masa mudanya sewaktu di Singapura-hidup dalam buangan di England bersama suami beliau,Francis dan masih berbangga mengaku sebagai warga Singapura-seorang penganut Kristian-pernah beranggapan rakyat Palestin adalah pengganas-semua itu berubah bila dia menyedari "suaru halus"telah menjemput beliau untuk berkhidmat kepada masyarakat.
Semua ini,sudah menjadikan saya semakin teruja untuk membaca keseluruhan isi kandungannya dan bab-bab yang seterusnya membawa saya melihat dengan jelas tragedi di Sabra dan Syatila.Di sinilah,air mata saya terlalu murah untuk menitis sehinggakan saya terpaksa mengunci pintu bilik bacaan-mengelakkan isteri terpandang saya dengan mata yang bermasih merah-kepedihan yang di paparkan oleh penulis mampu membuatkan kebencian kepada Israel(Yahudi laknatullah)berada pada tahap paling tinggi dalam diri saya waktu itu dan peranan media antarabangsa yang menghapuskan bukti kekejaman Israel dengan tidak melaporkan penghapusan etnik Palestin dari di paparkan kepada masyarakat antarabangsa juga menjadikan saya semakin marah.Dan malam itu,saya tidur dalam dendam dan benci juga menginsafi nasib bangsa Palestin yang terus mencari keadilan di tanah air sendiri sedangkan saya di sini masih lagi tidur dengan mimpi yang enak......

December 28, 2007

Kenangan....




Baru-baru ini,ketika isteri mengemas bilik bacaan -sambil mulutnya tidak henti berleter-aku pekakkan telinga dengan alunan muzik Dream Theater-Syaamil sibuk dengan mainan patung Spiderman-terjumpa koleksi foto penghujung 90'an yang di rakam melalui lensa kamera.
Aku tersenyum sendirian sewaktu meneguk kopi di birai tingkap sambil meneliti koleksi foto yang sekian lama bertapuk dalam album gambar dan membandingkannya dengan keadaan sekarang.Banyak sekali yang berubah,baik dari segi jasmani dan rohani.Antaranya,rakan-rakan yang suatu waktu dulu terlalu akrab,kini membawa haluan sendiri-sendiri,masing-masing semakin patuh pada tanggungjawab hidup dan ruang untuk "suka"seperti dulu juga semakin sempit.....
Aku jejakkan kaki kat KL ni masa KLCC baru nak naik.Terasa tempang sebelah kaki,yelah aku bukan lahir kat sini ,sorang diri takde sedara mara...penat ooo.Dalam puluhan ribu kelompok manusia yang memenuhi setiap rongga KL,aku turut sama ke sana sini,berlari lari mengikut iramanya yang terlalu cepat bertukar rentak.Rindu pada bau tanah sawah dan riuh rendah kawan-kawan di kampung semakin hilang,semuanya kerana tuntutan hidup yang semakin padat dan menuntut tahap kesabaran paling tinggi.
Kilatan ingatan mengejar puyuh sewaktu musim menuai atau memancing puyu di tali air menjadi suatu lipatan memori yang menghuni kotak fikir aku,kejap dan kukuh, begitu juga pesan arwah nenek yang telah kembali ke rahmatullah pada tanggal 08 October 2007,kata nenek"hidup perlu berubah"......

December 04, 2007

Dari sebuah cerita...




Dari Salina ke Langit Petang...
Saya berkesempatan mendapatkan karya Pak Samad ini melalui mphonline.com,sewaktu menghabiskan baki waktu rehat di tempat kerja dan ketika saya masih lagi tercari-cari karya emas dari Pak Samad,Salina(sebetulnya Salina pernah saya baca dan memiliki naskahnya,tapi tercicir sewaktu berpindah rumah).
Untuk sekian kalinya,saya yakin buku ini akan terus menempatkan diri saya dalam satu tempoh waktu yang panjang untuk menghabiskan bacaan.Kesibukan dan kesempitan ruang bebas semakin menghimpit dan saya harus menjadualkan semula waktu senggang.Saya perlu menjarakkan waktu untuk melayan keletah Syaamil dan menjamu jiwa saya dengan bacaan.

Apapun,putaran 24 jam sentiasa mencukupi,cuma manusia sekerdil saya ini,jarang benar meresapi nikmatNya....








September 27, 2007

Cerita Abah 2


Hitam berlenggang-lenggang depan abah.Mengangkat-angkat ekornya,seakan meminta laluan.Sampai di depan pintu,terus melompat ke tanah,melangkaui tangga yang anak tujuh.Jatuh ke tanah,terus hilang sebalik pokok bunga raya.Abah memerhati dari atas,sambil melunjur kaki yang mula kebas,punggung di esak ke tepi,memberi ruang pada bukaan kain untuk di tusuki angin.
Secawan kopi yang mula sejuk di teguk lagi.Pahitnya melekat lekat di atas lidah dan meluncur laju melalui kerongkong.Abah mengesat cebisan kopi yang menumpang di hujung misai.

September 04, 2007

Cerita Abah..


Abah merenung ke luar tingkap,memandang pokok padi yang sudah menguning.Kilatan duit secekak hasil padi,terpampang pula gambar bangunan Pejabat Pos Besar Alor Setar dan Pekan Melayu,juga sepiring mee tonggek di kaki lima Pekan Rabu.Abah tersenyum,suka.Rokok daun yang sudah terpadam apinya di buang keluar,jatuh ke lopak air yang berselut.Abah senyum lagi.Ada kebahagiaan bila memandang pokok padi yang menguning dan buah padi yang sudah kembung-kembung isinya.Abah tidak lupa bersyukur pada Allah kerana tahun ini,di jauhkanNya segala setan penyakit padi,di halauNya burung kedidi dan ketam jahanam.Tidak seperti tahun lepas,bila dekat waktu menuai,pokok-pokok padi yang menguning,perlahan-lahan bertukar menjadi hitam,perlahan-lahan hingga semuanya menyembam ke bumi dan rakus di telan air.Orang kata,padi kena bom!...
bersambung......

August 23, 2007

Syammil dalam usia 86 hari




Syukur,hingga ke hari ini Syammil masih lagi di lindungiNya dari sebarang masalah dan kemudaratan.Syammil semakin galak tersenyum dan setiap senyuman yang terbit dari mimik mukanya adalah rakaman kebahagian aku,ketenangan jiwa halus aku.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...