October 28, 2009

SEKADAR MENGALAS....


Sekadar mengalas kemahuan yang melingkar dan kemarahan yang membuak.
Doakan untuk mereka, moga aman.

* Untuk imej lebih jelas, klik pada gambar

October 09, 2009

REALISME-MAGIS


“Terasak dengan pelbagai tekanan.Mujur,syukur Dia sentiasa ada. Aku merindui ketenangan dalam diri untuk menutup mata lalu sekelip mata hilang tanpa kewujudan di antara jirim. Aku mahu jadi seperti hujan yang hanya menitik dan membentuk keterlarutan yang menerima segalanya.Masa akan menyembuhkan hati yang terluka, tetapi parutnya akan di kendong ke akhir hayat…



Hujan masih lagi rintik.Menikam tanah yang masih basah.Alur longkang mula tepu, membuak mengocak,memunculkan buih-buih yang kelabu warnanya.Dengungan ngauman siaran televisyen menyedarkan saya yang waktu sedang berlalu.
Renungan mata pada paparan skrin komputer sedikit berkedip.Mengganggu khayal yang mula subur awalnya.Kilatan ingatan segera hilang.
Dalam masa-masa tertentu, saya mahu berkhayal sebegitu. Saya cuba menceroboh ke dunia halusinasi, dunia separa mimpi. Tertanya-tanya pada diri sendiri, bagaimana agaknya sebilangan penulis hebat menulis dengan sebegitu lirikal sekali? Hinggakan, dengan hanya membaca sahaja, saya mudah di serap masuk ke dalam isi ceritanya.Terbuai-buai sehinggakan kemarahan yang di sampaikan melalui karangan telah dengan tidak sengajanya membuatkan jari ganas merenyuk kusyen sofa yang amat empuk itu.Penghayatan yang begitu ketara sifatnya kadang-kala menciptakan saya dua ruang; ruang masa lampau dan masa kini.Barangkali inilah yang di namakan “realisme-magis”. Ruang-ruang yang tercetus ini, sudah tentu sahaja membuatkan kekaguman saya pada penulis itu kian memuncak.Saya percaya, kejayaan penulis melahirkan dan mengolah kisah yang di pertontonkan melalui karangan sehingga membuat diri terasa benar-benar wujud di dalam setiap cerita yang di baca hanya dapat di hasilkan melalui penulisan yang ikhlas oleh penulis tersebut dan keikhlasan itu sudah pasti bermula dengan pengalaman diri dan peristiwa-peristiwa sekitar yang menyentuh hati.
Sebagai seorang yang hanya tahu membaca dan cuba memamah setiap isinya, saya mula mencumburui kejayaan penulis memuntahkan idea mereka sedangkan percubaan saya menghasilkan karya-hatta cerita pendek- tidak pernah menemui rentaknya. Gangguan-gangguan yang tercetus secara tidak sengaja juga sering membantutkan usaha ke arah itu.Saya mula berfikir, “aku mungkin hanya layak menjadi pembaca...” dan sesekali juga terlintas di minda “setiap curahan idea itu datangnya dari Dia...."
Realisme-magis itu juga datangya dari Dia..

October 07, 2009

DIA

DIA,ada ketika yang tidak di minta, akan datang melenggang senyum.Dia membawa jiwa belayar jauh dari dasar.Terapung-apung di antara khayal dan nyata.
Dia sentiasa riang.Dia sentiasa mempersona.Separuh kegelisahan akan di telan oleh senyum dia.
"Aku sentiasa ada, pada saat jiwa kau meronta-ronta". Bicaranya pada suatu ketika.
Detik itu, dia terlalu membahagiakan.Dia memenuhkan ruang rongga jiwa.Putaran masa tidak terhenti selagi dia ada ada di sisi.Dia terlalu petah berbicara.Langgam ayatnya menenggelamkan kusut minda.Senang sekali dengan dia.
Untuk seketika, dia hilang,lalu muncul secara tak terduga.Dia bukan lagi dia yang dulu.Terlalu kasar lontaran suaranya.Dia seakan mahu memamah setiap insan kerdil.Dia tidak lagi menyenangkan.Dia pantas mengapungkan getar suara,jeritan tanpa nada.Hanya laungan tanpa dapat di tangkap apa maksudnya.
Dia tidak lagi tewas dengan pujukan manja.Hatinya benar-benar membeku dan tepu.Pada dia, tiada lagi ruang bicara.

"Aku mahu kau tahu, kadang aku gembira,kadang aku ketawa, kadang aku berduka, kadang aku juga menangis".
Dia menyampaikan isi jiwa pada suatu ketika yang tak tersangka.

Dan aku...
Aku tetap mahu dia yang dulu.

September 29, 2009

Calon-calonnya.....

"Kenapa pilih dia,jawatan ni penting, nak takbir kampung.Ketua kampung mesti bersih, mesti jujur." Kata Lebai Kuduk sambil membetulkan butang baju Melayu.Harum minyak "atar"masih menusuk lubang hidung yang semak dengan bulu.
"Dia kan pernah sentuh anjing, entah di samak, entahkan belum", sambung Lebai Kuduk lagi.Kali ini sedikit tegas nadanya.

"Err, dah samak dah,dia dah suci tu", jawab Haji Seman.Kopi pekat tanpa gula di teguk perlahan-lahan,menjeling-jeling ke arah beberapa orang anak muda yang leka bermain dam di luar kedai kopi Mat Piah.
"Mana kau tau, nampak ke sucinya?, Lebai Kuduk meninggikan suara.
"Saya dengar orang cakap.."

"Dengar jer? Ada kau tengok, ada saksinya"

"Saya dengar orang bercerita,saksinya tak pasti siapa.", getar suara Haji Seman.

"Lagipun, semua orang Lorong Padi dan Lorong Teke setuju.Dia calon terbaik yang kita ada. Pilihan semua",jelas Haji Seman lagi.

Lebai Kuduk lantas bangun, kain pelikat cap Gajah Duduk di kemaskan sedikit.Mula melangkah.Baru setapak, dia menoleh ke arah Haji Seman.
"Anjing tetap anjing, b*b* tetap b*b*.Haramnya tetap sama.."
Sambungnya lagi, "aku tetap tak sokong kalau Udin Kulup di pilih sebagai calon ketua kampung.Pilihlah calon lain, tetapi jangan sesekali Udin Kulup".
"Aku lebih suka kalau kita letakkan Asri Galah sebagai calon.Memang dia kurang di kenali penduduk, tapi dia bersih."
Tutur Lebai Kuduk dalam nada naik turun.

"Semua nak kena ikut cakap dia,ingat apa yang dia cakap semua betul ke? Ingat calon dia semua bersih ke. Masa dia jadi Ketua Kampung dulu,dia pun pernah masuk kandang anjing.."gerutu Haji Seman.

September 08, 2009

Minyak Oh Minyak....

Saya sebenarnya sudah malas melayan turun naik harga petrol.Bukan kecewa, tapi malas, betul-betul malas.Bak kata orang Utara, baloq liat.
Tetapi, bila terbaca kiriman email dari seorang sahabat, kemalasan tadi bergegas hilang.Teruja.Sangat-sangat teruja untuk mencampuri urusan naik turun harga petrol tetapi dalam masa yang sama, saya juga menyuluh diri sendiri dengan pertanyaan yang pantas pula di jawab akal.Bolehkah pemerintah menuruti kemahuan saya dan kemahuan rakyat yang berjumlah hampir 27 juta itu?
Jawapnya tentulah tidak.Maka, bergebanglah kita sesama kita hingga bebal, hingga ponggah dan menjadi busung.Di takdirkan Tuhan, maka kita pun terlupa tentang harga petrol.
Email yang di kirim ini, sedikit sebanyak menyedarkan saya yang rakyat Malaysia tidak pernah bertolak ansur dengan pemerintah bila melibatkan harga petrol.
Sama-sama kita baca email yang di kirim sahabat saya tadi.Kita akan terus-terusan bergebang perkara yang sama....


Mail Sabri kata harga minyak tak naik. Ianya kekal. Sama ja. Ada minyak harga dua hengget. ada minyak ada sringgit lapan kupang. Sama ja. Tadak beza apa pun. Apa pun tak naik.
Semua maintain. Steady. Cuma, katanya, minyak RON97, yang selalu rakyat pakai tu, dia naikkan taraf kepada minyak premium. So, bila dah naik taraf ni, otomatik la harga pun canak naik. RON97 naik dari RM1.80 ke dua ringgit.
Tapi jangan risau, katanya. Sebab rakyat masih boleh isi minyak dengan harga RM1.80 lagi, guna RON95. RON97 dah ' upgrade ' , kalau mau yang ' tak upgrade ' , guna RON95. Harga sama. Warna pun cantik, kuning. La ni petrol pam dah macam lampu trafik light. Ada merah, kuning, ngan hijau. Cantik kan ? Cantik kan ? Kan ? Suke tak? Suke tak? Tutp matee! Tutup matee! Suurrrpriissssseeee!!!
Ada jugak yang kena tendang perut bulan2 posa ni.

Soalan pertama, apakah RON97 yang telah dinaiktaraf menjadi minyak premium itu lebih baik kualitinya sebelum harganya dinaikkan? Adakah minyak ini telah dicampur dengan formula2 hebat yang boleh membantu menambahbaik enjin, samada dari segi ' ketukan ' ka hapa ka? Adakah dengan menggunakan RON97 yang lebih mahal ini, Kancil 660cc aku bertambah pikapnya sampai ke tahap aku tak perlu tutup ekon setiap kali meghagaih bukit?
Jawapannya sudah tentu tidak! Dan kalau jawapannya adalah ' tidak ' , jadah hapakah yang kamu naikkan harga minyak yang sama kualitinya ni, tapi tiba2 jadi mahal keesokan harinya? Bukankah itu namanya kamu sengaja menaikkan harga minyak? Bukankah harga minyak sebenarnya telah naik?!
Ini macam pi market nak beli ikan temenung, tiba2 tokey cakap sekilo kena tambah lagi dua ringgit. Tanya pasaipa, dia kata ikan temenung dah jadi ikan premium. Tanya dia lagi ikan temenung yang dia jual harini semua masuk univesiti ka? Ada ijazah semua ka? Isi manis lagi ka? Sisik makin kurang ka? Dia kata dak, sama ja. Tanya lagi ikan temenung kurang ka kot tengah laut la ni? Dia kata dak, belunggok huk lagi. Paihtu kenapa naikkan harga ikan temenung? Dia jawab harga tak naik, tapi taraf ikan temenung ni dah naik, jadi premium.
Tapi harga ikan temenung mahai dari kemarin. Kita kata tak puas hati. Dia kata kita bulih beli ikan puyu, ikan puyu harga sama macam ikan temenung kemarin. Tapi ikan puyu bukan ikan temenung! Kita jawab bantah. Tapi ikan jugak! Dia betah. Tapi kita tak bulih makan ikan puyu, nanti naik ruam. Kita bagi sebab. Dia suruh makan ikan temenung. Tapi ikan temenung mahai! Kita jawab. Bukan mahai, itu harga untuk ikan premium!
Last2 ada yang kena takek dengan parang tengah2 market tuh.
Naik harga cakap la naik harga! Dok pebodo orang pasaipa? Cakap. Harga dah naik. Kalau nak murah, beli yang rendah kualiti. Yang ni dah naik harga. Yang sama. Harga ja beza, lebih mahai. Kan senang?

Soalan kedua. Kenapa naik harga petrol? Mail Sabri dilaporkan dalam tibitiga malam tadi sebagai berkata sebab harga minyak dunia dah naik sampai USD82 setong.
Aku tak pernah hisap rokok. Jauh lagi nak hisap dam atau hidu gam. Tapi masa mengaji dulu, ada sekoq dua kawan2 yang dok wat kerja loklaq ni. Jawapan Mail Sabri ingatkan aku kepada sorang kawan yang overdose ganja. Samada dia hidu gam, atau telebih hidu petrol, aku tatau, tapi statistik tahun bila yang dia rujuk kata harga minyak dunia dah naik sampai USD82 setong? Harga minyak dunia tak pernah lepas USD75 selepas merudum jatuh sampai ke USD40 tuhari. Samada dia di bawah pengaruh ganja, ataupun sengaja nak membodohkan rakyat sekali lagi, itu aku serah pada pembaca semua. Tapi mengatakan minyak dunia dah naik ke 82 dolar setong adalah statement yang sangat bengong. Tak masuk akal. Dan hanya boleh dilafazkan oleh orang2 yang hilang akal sahaja!
Jadinya, kalau kenaikan bukan disebabkan oleh kenaikan minyak dunia, jadah hapakah yang dinaikkan jugak harga minyak? Adakah sebab BN dah senak tak tau nak kaut duit tang mana, maka last kopek, pau rakyat sekali lagi?

Soalan terakhir. Adakah kualiti RON95 sama seperti RON97? Jika rendah kualitinya, kenapa harganya sama seperti RON97?
Jawapannya jugak adalah tidak. RON95 lebih rendah kualitinya daripada RON97. Dan ada beberapa laporan mengatakan bahawa sesetengah enjin tidak sesuai menggunakan RON95.

Kesimpulannya?

Harga minyak memang dah naik. BN bodohkan rakyat melalui Mail Sabri mengatakan harga tak naik. Rakyat disuruh menggunakan minyak yang rendah kualitinya, tanpa sebarang kebaikan kepada kenderaan, dan disuruh membayar pada harga yang sama!
Mail Sabri kata harga minyak kenderaan tidak berubah, cuma ianya telah ditingkatkan kepada premium.
Rakyat juga akan kata PRU13 ini kerajaan tidak berubah,maka rakyat mungkin akan gantikan dengan kerajaan premium.

August 30, 2009

Masih Sensitifkah Kita?


Tahun 1950....
"Natrah merayu-rayu,airmata mencurah membasahi pipinya yang putih kemerahan.Di peluk erat pemberita Utusan Melayu,Puan Rosewati Buang.Natrah bertahan dengan keyakinan bahawa Islam itu benar,Islam itu adil.Amukan perasaan Natrah begitu berombak resah.Natrah tidak rela di murtadkan, Natrah tidak mahu melutut kepada patung virgin Mary.
Episod Natrah menjalar ke setiap nadi umat Islam yang akhirnya menyaksikan 18 orang terkorban dan ratusan lagi mengalami kecederaan akibat dari rusuhan di Singapura pada 1950".
(klik di sini untuk lebih mendalami episod Natrah)

Setelah 59 tahun berlalu....
"Hari ini, ramai anak gadis Melayu menangis teresak-esak berperang dengan keluarga untuk murtad.Hari ini, beratus-ratus orang membantah sekiranya di halang kebebasan untuk menukar agama."

Apakah ada lagi sensitiviti kita?

August 24, 2009

Ramadhan....


Saya masih lagi berkesempatan merasai keindahan Ramadhan.Alhamdulillah...

Ketika entri ini di tulis, baru sahaja kembali dari mengerjakan terawih.Masjid hampir penuh-barangkali ruang solat yang hampir mengecil, kesan dari proses penambahbaikkan yang harus di segerakan sebelum Aidilfitri-dan tergesa-gesa pulang akibat amukan perut.Terlalu berselera menjamah ayam percik dan ulam petai mentah di cicah cencaluk ketika berbuka tadi.
Sesudah azan di laungkan, saya mencicip kopi separa panas yang telah menyemarakkan nafsu, terlupa pada kurma yang menjadi sunatnya.Hampir separuh kopi di teguk, saya kembali ke ruang tamu, segera mencapai kotak rokok.Di keluarkan sebatang dan nyalaan pemetik api pantas menyambar hujung rokok yang mendedahkan tembakau yang tersumbat kemas.Lega.....
Habis sebatang rokok,saya kembali ke meja makan dan tanpa berlengah, mula mengisi perut yang sudah minta di penuhkan segera.Nafsu. Tewas lagi akhirnya, walaupun di ketahui bahawa bulan Ramadhan ini harus di serdehanakan segala keperluan.Manusia mudah lupa pada perjanjian denganNya.
“Apabila tibanya Ramadhan, terbukalah segenap pintu syurga, tertutup rapatlah segala pintu neraka dan syaitan dibelenggu kesemuanya.”
Riwayat Bukhari dan Muslim


Ramadhan kali ini akan di hayati sebaik mungkin.Itu azam pertama saya ketika hari pertama mengerjakan puasa.Insyaallah, moga Ramadhan kali ini akan meninggalkan kesan yang bukan sedikit.Moga di jauhkan segala penyakit dan di permudahkan segala urusan.Di mintakan juga,Ramadhan kali ini doa saya diijabah(dimakbulkan) Allah agar dapat bertemu Lailatul Qadar.Aminn...
"Sesungguhnya Kami telah menurunkan (Al-Quran) ini pada Malam Lailatul-Qadar, Dan apa jalannya engkau dapat mengetahui apa dia kebesaran Malam Lailatul-Qadar itu? Malam Lailatul-Qadar lebih baik daripada seribu bulan. Pada Malam itu, turun malaikat dan Jibril dengan izin Tuhan mereka, kerana membawa segala perkara (yang ditakdirkan berlakunya pada tahun yang berikut); Sejahteralah Malam (yang berkat) itu hingga terbit fajar!" (Quran, Al-Qadr 97: 1-5)

Seboleh mungkin, saya ingin meluangkan masa berbuka di rumah bersama isteri,setidaknya separuh dari puasa tahun ini.Di atas sebab-sebab tertentu(kebanyakkan berkaitan kerja) saya tidak menjanjikan kepada isteri untuk berbuka puasa sepenuhnya 30 hari di rumah.Matanya yang ayu, menyampaikan pesanan kepada saya.Saya faham dan dia barangkali perlu juga memahami."Maafkan abang......"

Ramadhan....sentiasa menjanjikan keistimewaan pada setiap hambaNya.

July 15, 2009

Sibuk...


Isteri pernah bersuara ketika sama-sama menikmati “Char Kow Teow” di TTDI Shah Alam pada satu petang di hujung minggu.
“ Abang keluar rumah jam 6:30 pagi, balik jam 7:00 petang.Lepas Isyak kembali ke tempat kerja, pulang semula jam 12:00 malam.” Terhenti sebentar bicaranya bila seorang wanita tua menyapa kami sambil tangan kanannya menghulur sebungkus keropok ikan parang.Isteri menolak dengan senyuman.
“ Sampai bila nak kerja macam ni, usia makin meningkat, badan makin lemah. Sabtu pula,jarang-jarang ada di rumah,asyik sangat dengan kerja”.Dia merenung muka saya dengan kedutan yang penuh tanda tanya.
Saya membisu,menghembus asap rokok dan mendongak-dongak melihat awan yang mula pekat.Persoalan itu terhenti di situ dan tidak pernah saya jawap sehingga kini.

Saya sebenarnya masih terkial mencari ruang senggang, ruang yang agak selesa untuk saya berehat dan menenangkan diri, setelah agak lama tersantak mengejar jejeran kerja yang tidak pernah surut.Tidak langsung surut, mudah di sebut begitu.
Mencongak beberapa tugasan yang hampir siap dan menunggu tugasan lain , mungkin hingga November saya akan tersadai di bangku kerja menghadap skrin komputer dan berperang dengan “dateline” yang sentiasa sahaja di rasakan singkat. Otak sering kali penat dan selalunya di turuti dengan tubuh yang mendadak naik turun julat kesihatannya.Baru sembuh dari tonsil yang membengkak, di susuli pula selsema yang mencanak datangnya.Masih juga gagahi ke tempat kerja, kerana masih berhutang dengan tugasan yang perlu segera di langsaikan.Kata-kata perangsang dari Encik Rafi yang sentiasa tersemat kukuh, “setiap kerja perlu ikhlas." Seikhlas manakah saya bekerja? Entah…hanya Dia yang tahu segala sesuatu yang berpadu dalam jiwa saya.

Hati pula mudah terseliuh bila terkenangkan bicara isteri yang semakin risau dengan kesibukan saya ,barangkali juga dia kecewa dengan ketaksuban saya pada kerja.
Bahagiakah mereka? Entah…saya sudah berusaha membahagiakan mereka dengan segenap upaya dan sentiasa saya manfaatkan ruang yang semakin kecil ini dengan kasih sayang yang tidak pernah lekang dari tangkai hati.

Seperti kata-kata NorziatiMR “Saya perlu berubah, harus berubah. Saya tidak sibuk, tetapi punya kerja yang perlu di selesaikan dengan tenang. Bolehkah?”

July 08, 2009

Lupusnya PPSMI


Siaran Buletin Utama jam 8:00 malam, saya terlalu sibuk menjamu selera dan beberapa kali juga terpaksa menepis tangan Syaamil yang pantas menyambar sudu,mengocakkan kuah kari pekat yang masih hangat.
Telinga sesekali mengamati butir bicara si penyampai berita dan hanya sempat menangkap "PPSMI di mansuhkan" tanpa sempat memahami apa isinya.Kekalutan di meja makan menggagalkan saya untuk memamah isi berita yang di sampaikan.
Saya hanya memahami, PPSMI DI MANSUHKAN.Itu sudah cukup melunakkan telinga dan membangkitkan kesegaran dalam jiwa.
Yang jelas, pejuang bahasa Melayu boleh bernafas lega.Tahniah.
Kejayaan untuk umat Melayu.
Saya sempat menyalin rentetan kontroversi PPSMI dari laman Malaysiakini.com untuk sama-sama kita "kenangkan".

Rentetan pelaksanaan PPSMI

Julai 2002 - Mesyuarat khas jemaah menteri, waktu itu perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, meluluskan dasar baru Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI)

Januari 2003 - Dasar ini diperkenalkan berperingkat-peringkat dengan dimulai Tahun 1 untuk peringkat sekolah rendah, Tingkatan 1 dan Tingkatan 6 Rendah untuk sekolah menengah

Januari 2007 - Pelaksanaan penuh PPSMI untuk peringkat sekolah menengah

Januari 2008 - Pelaksanaan penuh PPSMI untuk peringkat sekolah rendah

Mac 2009 - Lebih 8,000 menyertai demonstrasi membantah PPSMI dengan berarak ke Istana Negara. Ia didukung Gerakan Mansuhkan PPSMI (GMP) yang diketuai oleh Datuk A Samad Said dan Datuk Dr Hassan Ahmad.

Mac 2009 - Satu kajian mendapati PPSMI hanya berjaya meningkatkan empat peratus penguasaan bahasa Inggeris tetapi sebaliknya mengurangkan minat untuk mempelajari Sains dan Matematik.

Kajian 53 pakar bahasa itu, merumuskan dasar kontroversi tersebut "menimbulkan kerugian berganda kepada kepada murid, terutama kepada 75 peratus murid yang tergolong dalam kategori (pencapaian) sederhana dan lemah dalam tiga mata pelajaran terbabit, Bahasa Inggeris, Sains dan Matematik."

Mei 2009 - Kesemua lima Sasterawan Negara yang masih hidup menolak dasar ini - sekali gus mencipta rekod sejarah budayawan menentang dasar kerajaan tersebut.

Jun 2009 - Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin Abu Bakar turut mempertikaikan dasar tersebut dengan memberi amaran "jangan jadikan pelajar bahan ujian" dasar yang "jelas mempunyai pelbagai kelemahan ketara."

Menteri Besar Johor, Datuk Abdul Ghani Othman pula berkata "salah, tidak beretika dan tidak rasional jika dasar pendidikan negara diputuskan melalui prasangka, emosi, persepsi dan andaian individu-individu tertentu yang tidak mempunyai kepakaran dalam bidang pendidikan sebenarnya."

Julai 2009 - Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin, mengumumkan dasar PPSMI dimansuhkan sepenuhnya pada 2012

June 16, 2009

"Saya bukan gila buku....."


Masa, semakin terasa menghimpit sedangkan nafsu sentiasa bangkit.Untuk entah kali yang ke berapa agaknya, saya tergoda lagi setiap kali berada di toko buku.




3 buah buku yang sedang menunggu untuk di baca, sedangkan masa senggang kian usang....


Hampir terlupa, Obama : Antara Islam, Israel dan Amerika juga menanti untuk di baca.

Teringat kata-kata abah, "hang makin gila buku nooo".
"Abah, saya bukan gila buku, tapi saya terlalu bernafsu."
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...