March 31, 2008

Rakan....Dari S.A.P ke MASTER

Saya teringat pada seorang rakan.Ceritanya kadang-kadang membuatkan saya tersenyum sendirian.Lama benar saya tidak ketemu dengan beliau ini. Kebanyakkan dari kami memanggilnya “Panu” ada juga yang memanggil beliau “Gaban.”
Seorang lelaki yang sedikit tinggi,berkulit agak gelap dan bercermin mata berbingkaikan “retro”,sukakan muzik ‘Heavy Metal’.Seingat saya,di kalangan kawan-kawan sekampung,dia mempunyai minat yang mendalam terhadap muzik,terutamanya muzik yang bingit. Bob Marley,saya kurang mengenali lagenda reggae ini sehinggalah rakan saya tadi memperkenalkannya,seterusnya Bob Marley melekat di jiwa saya.
Dia seorang yang lurus,mudah percaya pada sesuatu perkara yang di bicara.Dalam lurus begitu,pernah juga sekali dua dia menipu,biasalah setiap manusia semuanya ada perangai yang sebegitu.
Zaman kanak-kanak,dia kurang bergaul dengan rakan sebaya,hidupnya banyak di habiskan di sekitar rumah.Pergaulan hanya pada waktu sekolah ketika bermain bolasepak pada waktu petang.Malamnya,dia sering di lihat menelaah pelajaran di serambi rumah datuknya, di terangi lampu kalimantang.Pada dia,waktu malam adalah dunia membaca dan ulangkaji pelajaran dan susah benar untuk melihat dia di sekitar kampong pada waktu malam jika di bandingkan rakan yang sebaya.
Saya dan dia rakan sebaya,dari sekolah rendah sehinggalah ke sekolah menengah,kami satu kelas.
Tahun 1992,kami semua akan berhadapan SRP dan bersetuju untuk mengadakan “study group”di rumah saya,tetapi beliau hanya bersama untuk satu malam.Untuk waktu yang kemudiannya,dia menolak kerana katanya “tak masuk otak” kerana banyak sangat ketawa dari ulangkaji.Dan dia berterusan begitu,mengulangkaji seorang diri di bawah serambi rumah datuknya.
Ketika di umumkan keputusan SRP,dia antara yang cemerlang di antara rakan-rakan lain,pencapaian 13A di kira cemerlang untuk seorang budak kampong seperti beliau dan dia mendahului rakan-rakan yang lain.
Melangkah ke tingkatan empat,dia membawa haluan sendiri,bertukar ke sekolah yang berasrama di pekan.Katanya,mahu ambil aliran Sains Moden walaupun saya tahu dia meminati sastera kerana kerap kali dia akan terpilih mewakili sekolah untuk pertandingan deklamasi puisi . Dia pernah bercerita pada saya bahawa keluarganya mendesak agar memilih aliran Sains dan tinggal di asrama.
Setelah itu,hubungan kami mula renggang.Dia hanya akan pulang ke kampung sebulan sekali.Tidak banyak ceritanya.Cuma dia galak bercerita tentang rakan-rakan barunya dan dunia pekan.
Setelah itu,dia mula berubah.Dunianya semakin luas.Percampurannya semakin ketara.
Ketika keputusan SPM dia merenung sawah padi yang saujana luas.Saya tahu,dia kecewa.Gagal memikul harapan keluarga.
Alhamdulliah,setelah SPM dia mendapat kerja yang agak selesa dengan sebuah syarikat pengeluar makanan dan pendapatanya juga mengatasi pendapatan rakan-rakan yang lain.Hampir 4 tahun dia bekerja dan hampir setiap bulan juga dia akan bersama kami semua menjamu selera setiap kali menerima gaji.Semasa kemelut ekonomi 1999,dia berhenti kerja dan mula berhijrah ke Kuala Lumpur dan bekerja di sebuah kilang elektronik.Dan kami semua kian terpisah….
Setelah setahun di Kuala Lumpur,saya mendengar khabar dari rakan yang juga bekerja bersama beliau di Kuala Lumpur bahawa beliau sekarang ini bekerja sambil menyambung pelajaran dalam jurusan komputer di sebuah kolej swasta dengan hasil gajinya sendiri.Saya yakin semua cerita itu kerana saya cukup lama mengenalinya,dia antara rakan yang bercita-cita tinggi dan bersemangat kental.
Setelah saya berpindah dan mendapat kerja di Selangor,saya semakin rapat dengan beliau dan waktu itu beliau sudah menamatkan pengajian Diploma dalam bidang komputer dan sedang mengikuti pula kelas ‘Pengurusan Sumber Manusia’bagi peringkat Diploma.Saya pernah bertanya kepada beliau kerana keasyikkannya menyambung pelajaran.Katanya “aku suka ler kalau bab-bab belajar ni,dulu masa sekolah dah salah jalan,la ni kena cari balik jalan tu ler”.Sesudah mendapat Diploma,dia mula meneruskan ke peringkat Ijazah.Dia selalu menggelengkan kepala bila saya bercakap tentang duit.Katanya “aku banyak hutang untuk bayar kos pengajian,tapi tak rugi le kalau bab belajar ni,ilmu ni penting oooo…”.
Setahu saya juga,tidak banyak rakan-rakan lain yang tahu perkara ini,dia lebih banyak bercerita pada saya dan setiap kali bertandang ke rumah sewanya,sudah pasti buku-buku rujukan berselerak dalam bilik sempitnya.Saya tahu,dia kuat membaca.Pengetahuannya melangkaui semuanya,dari hal politik ke alam sastera hinggakan sejarah dunia.Dia juga antara rakan yang kuat bersuara dan pintar tentang segalanya.Dia boleh di ajak berdebat tentang politik,ekonomi dan kadang-kadang amat berguna jika saya kebuntuan mencari penyelesaian untuk masalah kerja.
Ketika dia sibuk dalam proses berumah tangga,dia suarakan impiannya untuk mengambil Sarjana(Master).Saya hanya menganguk-angguk kecil bila dia bercerita tentang impianya itu.

Kini,setahu saya dia dalam proses untuk mendapatkan Sarjana Sains (Pembangunan Sumber Manusia) sambil bekerja dan dalam masa yang sama masih sempat menjadi pensyarah jemputan di sebuah kolej swasta dalam bidang Pengurusan.Dan katanya lagi”aku perlu buktikan kat keluarga aku yang aku pun boleh dapat Master,walaupun dulu SPM aku dapat S.A.P”.
Memang kata-kata itu benar……saya berbangga mendapat rakan seperti beliau.Sehingga kini,dia masih lagi akrab dengan muzik Heavy Metal dan Bob Marley bersama seorang isteri dan anak yang baru tumbuh gigi.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...