April 24, 2008

Cerita Dalam Diri


Saya cuba untuk kembali menulis tetapi saya hilang kata-kata, kontang dan bingai.Sejak akhir-akhir ini, saya selalu memaksa diri untuk menulis, tetapi setiap kali juga bila memegang buku nota, semua idea-idea dan ungkapan yang terapung bagai awan hujan pada awalnya akan hilang dan gagal saya catatkan untuk rintik menjadi karangan .Ianya akan datang kembali,berbayang-bayang ketika mata mula letih dan layu.Sekali lagi, saya masih gagal menangkap dan menterjemahkan idea ini,lalu iapun segera hilang.

Suatu malam yang dingin,ketika sedang berkira-kira untuk membaca May 13: Declassified Documents on the Malaysian Riots of 1969, idea itu datang kembali .Terlalu kasar ia menangkap jiwa,ganas menghumban nafsu dan meronta-ronta minta keluar dari saraf otak.Lalu saya catatkan begini “Dan semua ini membuatkan aku mulai bosan. Hidup dalam lingkungan yang membuntukan,menyesakkan kesabaran ke tahap tinggi danberasakan kesabaran ini makin sukar di bendung.Hidup dalam sekangkang kebodohan,yang di cedok dari kesombongan orang lain, menjadikan aku antara mangsa yangkian di himpit.Gelodak kemarahan yang semakin memaksa dalam diri untuk bersuara.Kemurungan jugabisa membunuh jiwa aku,kelembapan untuk bertindak mencantas kemampuan aku.Di tenatkan lagi dengan sikap manusia yang melelahkan, bantuan di pinta di sangka bebanan...”.

Usai melengkapkan catatan ini, kesayuan pada dingin malam berganti dengan
renungan kosong pada manik hujan yang menimpa bumbung kereta.Puntung rokok yang masih menyala sengaja saya campakkan ke luar tingkap,jatuh menimpa air hujan yang mula bertakung. Jelas di lihat dari tingkap yang sengaja saya biarkan terbuka-air hujan dan puntung rokok tadi hanyut di bawa ke dalam longkang yang sebak,sesak dan sendat - angin yang menyerbu masuk membuatkan tubuh terketar menahan sejuk.Saya kembali membuka buku nota dan bayang kata-kata itu datang lagi.
"
Aku manusia waras,di kurniakan akal juga jiwa dan bukankah Allah itu Maha
Pengampun.Lalu, apa lagi yang perlu aku khuatiri?Bukankah hidup dan mati itu ketentuanNya?Dan hidup ini juga adalah ehsan dariNya,di lontarkan masalah,bukan bebanan tapi ujian".

Malam itu, ketika kedua-dua jarum jam bersatu saya masih merenung pada longkang yang sebak,pada lopak air yang bergenang dan sesekali memandang jauh ke hujung langit mengharapkan perjalanan hidup ini terus di berkatiNya.....

April 11, 2008

Aku tak cemiuh ler...


Pernah seorang rakan bertanya.
"Hang rasa sampai bila nak keja makan gaji?"
"Entah,sampai siapkan Master kot,dak pun tunggu le kot-kot esok aku cemuih keja makan gaji,aku berenti le"jawapan dari nada sinis.

Persoalan-persoalan yang sebegini,selalunya akan berlegar kembali dan saya cuba merungkaikannya dalam minda yang sentiasa mencari ruang untuk berehat dan selalunya keputusan untuk berhenti dari pekerjaan sekarang akan segera hilang bila menyedari "management is an art"......
dan hanya orang-orang tertentu sahaja akan menyedari bahawa bidang Pengurusan Sumber Manusia adalah suatu seni,indah dan menarik.
Sukar bagi saya untuk mencari titik noktah untuk sesuatu yang berseni dan indah.Saya tak akan "cemuih"selagi ianya melibatkan "seni".

*cemuih = bosan


April 10, 2008

Kembalikan Salina


Salina
Novel berharga dari A.Samad Said tetapi sampai kini novel tersebut terjerut dalam kantung DBP tanpa di beri apa-apa peluang untuk di terbitkan semula.
Untuk maklumat lanjut, boleh layari http://helmysamad.blogspot.com/

Kita kembalikan Salina kepada Pak Samad.Moga, dengan petisyen ini pihak DBP akan sedar dan patuh pada tuntutan kita semua....generasi muda pewaris bangsa!

April 08, 2008

Anuar Zain...Lu Bikin Gua Panaaasss!




Saya terpanggil untuk menulis kerana melihat industri hiburan sudah tenat dengan masalah sosial golongan artis yang kian menjadi barah.Petikan daripada akhbar Kosmo bertarikh 28 Mac 2008 dengan jelas menyatakan kesanggupan Anuar Zain untuk di cium peminatnya.
Anuar dengan jujurnya memberitahu, peluang itu terbuka kepada semua peminatnya termasuklah daripada kalangan wanita."Mereka boleh lakukan apa yang disukai. Tidak kira bercium atau duduk diatas paha," kata Anuar dengan perasaan teruja. 

"Ciuman hanya terbatas di pipi sahaja".
Jika benar begini,persoalan yang harus kita utarakan sekarang adakah layak seorang artis di gelar sebagai "public figure"? Jika gambar-gambar di atas pula dijadikan sandaran pada hujah,sudah tentu ianya menelanjangi sikap dan budaya Melayu itu sendiri.
Berpelukan, berciuman dan bersentuhan dengan bukan Muhrim walau dengan apa alasan sekalipun tetap HARAM di sisi agama Islam dan yang lebih memudaratkan bila perkara-perkara sebegini dilakukan di khalayak, disertai pula artis yang di kenali ramai(Anuar Zin).Yang lebih menghairankan, sudah hilangkah maruah dan harga diri makcik yang memeluk pinggang Anuar Zin dan di manakah harga diri wanita yang beriya-iya mencium pipi AnuarZin. Jika peminat setia sekalipun, landasan dan hukum agama perlu di jadikan panduan.

Dalam berhibur,biar beradap. Sebagai artis, sejauh mungkin perkara begini wajib dielakkan kerana pengaruh artis itu sendiri sudah cukup besar kepada masyarakat.Artis menjadi idola, menjadi ikutan dan kegilaan remaja.Bagi remaja yang terlihat gambar-gambar yang sebegini, yang menghalalkan ciuman dan pelukan sudah tentu bagi pemikiran cetek, mereka akan melihatnya sebagai satu trend, satu gaya hidup artis dan golongan mainstream glamour dan kesannya nanti akan ada segolongan remaja yang akan terikut-ikut dengan trend dan corak kehidupan yang dipaparkan artis.

Kita sudah terdedah dengan budaya artis yang melampau, gagal mengawal diri sebagai penghibur dan ikon masyarakat. Sebagai ikon masyarakat,artis wajib menyuntik elemen yang lebih positif, yang boleh mendatangkan kebaikan kepada masyarakat itu sendiri, menjadi penggerak untuk membasmi masalah sosial yang semakin parah. Saya bukan menentang kemodenan dan dunia hiburan, tetapi saya membantah sekiranya artis yang berbangsa Melayu dan Islam seakan sudah lupa dengan batasan agama dan budaya.
Meluat,jijik dan memalukan.

Sebagai memikul tanggungjawab,kementerian yang menentukan hala tuju hiburan dan informasi untuk rakyat,Kementerian Penerangan wajib menangani isu-isu sumbang yang sebegini,yang menghakis kepercayaan rakyat pada laungan ISLAM HADHARI! Islam Hadhari bukan hanya pada prinsip,tapi mesti melalui pendekatan yang sempurna dengan melakukan pencegahan anasir yang mencemar nama Islam. Meminjam kata-kata Ustaz Akhil Hyy "Islam bukan hanya hadhari,tapi islam mesti hari-hari".

Di luar sana,saya juga percaya jutaan manusia akan bercakap perkara yang sama menjurus kepada masalah sosial, tetapi berapa keratkah yang sedar bahawa artis juga menjadi agen untuk keruntuhan moral? Tidak di nafikan,ada segelintir artis yang membawa teladan baik untuk dicontohi oleh masyarakat, tetapi pendedahanyang sebegini jarang di ambil pusing masyarakat, mungkin juga kerana kurangnya pendedahan dari media. Jika Kementerian Penerangan boleh menghukum Faizal Tahir kerana membuka baju ketika persembahannya, apa pula tindakan kementerian terhadap Anuar Zin yang "merelakan" beliau di cium peminat dan kepada artis wanita yang sering tidak cukup kain bila berpakaian?
Kita cuba menyekat anasir hiburan luar yang liar dengan mengetatkan peraturan berpakaian dan tatalaku artis dari luar negara yang ingin mengadakan persembahan di Malaysia tetapi kita gagal mendidik artis tempatan tentang hal-hal berkaitan halal haram agama dan susur galur budaya. Sudahnya nanti, kita umpamaketam yang mengajar anak berjalan lurus.....


Artikel ini turut mendapat ulasan di mStar pada 29-Apr-2008

March 31, 2008

Rakan....Dari S.A.P ke MASTER

Saya teringat pada seorang rakan.Ceritanya kadang-kadang membuatkan saya tersenyum sendirian.Lama benar saya tidak ketemu dengan beliau ini. Kebanyakkan dari kami memanggilnya “Panu” ada juga yang memanggil beliau “Gaban.”
Seorang lelaki yang sedikit tinggi,berkulit agak gelap dan bercermin mata berbingkaikan “retro”,sukakan muzik ‘Heavy Metal’.Seingat saya,di kalangan kawan-kawan sekampung,dia mempunyai minat yang mendalam terhadap muzik,terutamanya muzik yang bingit. Bob Marley,saya kurang mengenali lagenda reggae ini sehinggalah rakan saya tadi memperkenalkannya,seterusnya Bob Marley melekat di jiwa saya.
Dia seorang yang lurus,mudah percaya pada sesuatu perkara yang di bicara.Dalam lurus begitu,pernah juga sekali dua dia menipu,biasalah setiap manusia semuanya ada perangai yang sebegitu.
Zaman kanak-kanak,dia kurang bergaul dengan rakan sebaya,hidupnya banyak di habiskan di sekitar rumah.Pergaulan hanya pada waktu sekolah ketika bermain bolasepak pada waktu petang.Malamnya,dia sering di lihat menelaah pelajaran di serambi rumah datuknya, di terangi lampu kalimantang.Pada dia,waktu malam adalah dunia membaca dan ulangkaji pelajaran dan susah benar untuk melihat dia di sekitar kampong pada waktu malam jika di bandingkan rakan yang sebaya.
Saya dan dia rakan sebaya,dari sekolah rendah sehinggalah ke sekolah menengah,kami satu kelas.
Tahun 1992,kami semua akan berhadapan SRP dan bersetuju untuk mengadakan “study group”di rumah saya,tetapi beliau hanya bersama untuk satu malam.Untuk waktu yang kemudiannya,dia menolak kerana katanya “tak masuk otak” kerana banyak sangat ketawa dari ulangkaji.Dan dia berterusan begitu,mengulangkaji seorang diri di bawah serambi rumah datuknya.
Ketika di umumkan keputusan SRP,dia antara yang cemerlang di antara rakan-rakan lain,pencapaian 13A di kira cemerlang untuk seorang budak kampong seperti beliau dan dia mendahului rakan-rakan yang lain.
Melangkah ke tingkatan empat,dia membawa haluan sendiri,bertukar ke sekolah yang berasrama di pekan.Katanya,mahu ambil aliran Sains Moden walaupun saya tahu dia meminati sastera kerana kerap kali dia akan terpilih mewakili sekolah untuk pertandingan deklamasi puisi . Dia pernah bercerita pada saya bahawa keluarganya mendesak agar memilih aliran Sains dan tinggal di asrama.
Setelah itu,hubungan kami mula renggang.Dia hanya akan pulang ke kampung sebulan sekali.Tidak banyak ceritanya.Cuma dia galak bercerita tentang rakan-rakan barunya dan dunia pekan.
Setelah itu,dia mula berubah.Dunianya semakin luas.Percampurannya semakin ketara.
Ketika keputusan SPM dia merenung sawah padi yang saujana luas.Saya tahu,dia kecewa.Gagal memikul harapan keluarga.
Alhamdulliah,setelah SPM dia mendapat kerja yang agak selesa dengan sebuah syarikat pengeluar makanan dan pendapatanya juga mengatasi pendapatan rakan-rakan yang lain.Hampir 4 tahun dia bekerja dan hampir setiap bulan juga dia akan bersama kami semua menjamu selera setiap kali menerima gaji.Semasa kemelut ekonomi 1999,dia berhenti kerja dan mula berhijrah ke Kuala Lumpur dan bekerja di sebuah kilang elektronik.Dan kami semua kian terpisah….
Setelah setahun di Kuala Lumpur,saya mendengar khabar dari rakan yang juga bekerja bersama beliau di Kuala Lumpur bahawa beliau sekarang ini bekerja sambil menyambung pelajaran dalam jurusan komputer di sebuah kolej swasta dengan hasil gajinya sendiri.Saya yakin semua cerita itu kerana saya cukup lama mengenalinya,dia antara rakan yang bercita-cita tinggi dan bersemangat kental.
Setelah saya berpindah dan mendapat kerja di Selangor,saya semakin rapat dengan beliau dan waktu itu beliau sudah menamatkan pengajian Diploma dalam bidang komputer dan sedang mengikuti pula kelas ‘Pengurusan Sumber Manusia’bagi peringkat Diploma.Saya pernah bertanya kepada beliau kerana keasyikkannya menyambung pelajaran.Katanya “aku suka ler kalau bab-bab belajar ni,dulu masa sekolah dah salah jalan,la ni kena cari balik jalan tu ler”.Sesudah mendapat Diploma,dia mula meneruskan ke peringkat Ijazah.Dia selalu menggelengkan kepala bila saya bercakap tentang duit.Katanya “aku banyak hutang untuk bayar kos pengajian,tapi tak rugi le kalau bab belajar ni,ilmu ni penting oooo…”.
Setahu saya juga,tidak banyak rakan-rakan lain yang tahu perkara ini,dia lebih banyak bercerita pada saya dan setiap kali bertandang ke rumah sewanya,sudah pasti buku-buku rujukan berselerak dalam bilik sempitnya.Saya tahu,dia kuat membaca.Pengetahuannya melangkaui semuanya,dari hal politik ke alam sastera hinggakan sejarah dunia.Dia juga antara rakan yang kuat bersuara dan pintar tentang segalanya.Dia boleh di ajak berdebat tentang politik,ekonomi dan kadang-kadang amat berguna jika saya kebuntuan mencari penyelesaian untuk masalah kerja.
Ketika dia sibuk dalam proses berumah tangga,dia suarakan impiannya untuk mengambil Sarjana(Master).Saya hanya menganguk-angguk kecil bila dia bercerita tentang impianya itu.

Kini,setahu saya dia dalam proses untuk mendapatkan Sarjana Sains (Pembangunan Sumber Manusia) sambil bekerja dan dalam masa yang sama masih sempat menjadi pensyarah jemputan di sebuah kolej swasta dalam bidang Pengurusan.Dan katanya lagi”aku perlu buktikan kat keluarga aku yang aku pun boleh dapat Master,walaupun dulu SPM aku dapat S.A.P”.
Memang kata-kata itu benar……saya berbangga mendapat rakan seperti beliau.Sehingga kini,dia masih lagi akrab dengan muzik Heavy Metal dan Bob Marley bersama seorang isteri dan anak yang baru tumbuh gigi.

March 28, 2008

Siapa celaka,siapa pula penderhaka?

Kata seorang rakan yang selalu berpakaian koyak rabak pada petang 27-Mac-2008 ketika sama-sama minum teh tarik di restoran mamak.Katanya "Bila Lim Kit Siang nak pulaukan majlis angkat sumpah kat Perak,kita kata dia celaka,penderhaka,tapi bila ada Adun Terengganu nak pulaukan majlis angkat sumpah,kita tak kata apa-apa.Sekarang ni,siapa penderhaka dan siapa celaka.Lu jawab le bro!",sudahnya sambil mengangkat kening menjeling ke arah saya.
Saya tersengih,kelu tiada jawapan.
Kebelakangan ini,kegelisahan semakin berbunga bila ada pihak tertentu seakan mencabar institusi kesultanan kesan dari Pilihan Raya Umum ke 12.Di Perak,sekelompok rakyat yang memahami kekebalan istana telah mempertahankan institusi tertinggi itu dengan mengadakan demonstrasi aman menuntut agar Lim Kit Siang memohon ampun dari Pemangku Raja Perak,Raja Dr Nazrin Shah Azlan Shah dan istana secara amnya kerana membantah perlantikan Mohamad Nizar Jamaludin sebagai Menteri Besar Perak yang baru.Di Terengganu,22 Adun BN Terengganu dan uga beberapa pemimpin kanan UMNO dan BN sebulat suara menolak perlantikan Datuk Ahmad Said sebagai Menteri Besar walaupun beliau di lantik oleh Majlis Penasihat Pemangku Raja (MPPR) Terengganu dan di perkenankan oleh Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan.Tindakan mereka yang menentang perlantikan Datuk Ahmad Said ini samalah seperti tindakan yang di lakukan Lim Kit Siang.Yang membezakannya hanyalah bangsa,Lim Kit Siang seorang yang berbangsa Cina dan kelompok 22 Adun ini pula Melayu.Tergamakkah sebagai seorang yang berbangsa Melayu menderhaka kepada baginda sultan?Kemana pula perginya puak-puak yang memperjuangkan Melayu di Pulau Pinang dan di Perak dan kenapa tidak mengadakan demonstrasi seperti yang di lakukan terhadap Lim Kit Siang?Mungkin juga bagi mereka,lebih baik menderhaka kepada sultan dari menderhaka kepada parti.Memetik kata-kata dari Nabil Raja Lawak Astro "lu pikir le sendiri"!

Bukan Tsunami,tapi rakyat dah cerdik....

Pilihan Raya Umum ke 12,satu episod hitam dalam sejarah Barisan Nasional sepanjang 50 tahun kita merdeka.Barisan Nasional di bawah pimpinan Perdana Menteri Dato’Seri Abdullah Ahmad Badawi telah kehilangan kuasa untuk mentadbir lima negeri.Siapa yang harus di persalahkan?Adakah pemimpin atau pengundi?
Pengundi tidak bersalah.Mereka menunaikan kewajipan,memilih pemimpin yang mereka percaya,yang dapat membantu mereka dan mentadbir negeri untuk hidup selesa.
Ada juga pengundi yang menyahut cabaran yang di beri oleh Perdana Menteri untuk menghentikan demonstrasi jalanan dan menggunakan peti undi untuk menyuarakan ketidakpuasan hati.
Kita dapat lihat,pengundi-pengundi yang memangkah Dacing pada 2004 telah beralih dengan memilih mana-mana parti pembangkang walaupun mereka sendiri kurang kenal dengan calon parti pembangkang terbabit.Semuanya di lakukan tanpa rasa bersalah. Pengundi-pengundi yang memilih pembangkang kali ini,bukan kerana mereka menyokong parti tersebut,tetapi kerana sudah meluat,muak dan marah terhadap BN.
Sebelum pembubaran kabinet lagi, rakyat sudah mula menuntut angin perubahan tetapi dek kerana kesombongan politik maka ia telah melindungi mata sesetengah pemimpin daripada merasai kemarahan rakyat itu.
Isu Dato’Seri Anwar Ibrahim pada saya sudah tidak relevan lagi dengan kekalahan mengejut ini.Contohnya, BN hilang kuasa di Terengganu pada 1999 kononnya kerana faktor sentimen rakyat terhadap Anwar ketika itu. Kenapakah kali ini BN tidak jatuh lagi sekali di Terengganu ketika Anwar berada di luar penjara Saya melihat kekalahan ini berpunca dari isu kenaikan harga minyak dan kenaikana harga barangan keperluan. Kenaikkan harga petrol sebanyak lima kali dalam tempoh tidak sampai 2 tahun dan kali terakhir ia di naikkan pada 28 Februari 2006, telah meletuskan perasaan marah dan geram di kalangan rakyat. Bayangkan, dalam tempoh empat tahun di Kedah sahaja berlaku penghakisan sokongan terhadap BN yang begitu dahsyat. Wujud peralihan undi yang beralih daripada menyokong BN kepada menyebelahi PAS dan PKR pada pilihan raya kali ini.
Kerajaan mungkin mempunyai alasan tersendiri mengapa ia tidak mampu terus menampung subsidi petrol.Seingat saya, pada Februari 2006 kerajaan memberi alasan penjimatan RM4.4 billion setahun daripada subsidi petrol ekoran kenaikkan 30 sen/liter boleh di gunakan untuk projek kemudahan dan membantu rakyat.Malangnya, di kalangan rakyat biasa mereka gagal mengesan dan merasai keberkesanan projek yang di katakan kerajaan.Kesan kenaikkan harga petrol merupakan himpitan yang benar-benar membuat keadaan poket semakin tenat dan hidup lebih susah jika dibandingkan dengan 4 tahun lalu.Kenaikan tarif elektrik,ikan dan barang keperluan dapur juga susu untuk anak yang mendadak melonjak telah membuatkan para pengundi menggunakan kuasa untuk memilih yang berada di tangan mereka dan mereka secara tidak langsung telah menghantar mesej kepada pemimpin atasan bahawa rakyat mahukan perubahan dan kesenangan.
Walaupun kerajaan cuba menutupi kemarahan rakyat dengan memberi petunjuk ekonomi seperti nilai dagangan luar berjumlah trillion ringgit dan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar mencecah 7 peratus,ianya gagal diterjemahkan oleh kerajaan dan di persembahkan dalam bentuk kemakmuran untuk rakyat .
Sebagai perantara antara pihak kerajaan dan rakyat,wakil rakyat seharusnya menangani masalah ini dengan bijak dan lebih berkesan.Kurang benar rasanya wakil rakyat yang sanggup turun ke akar umbi bagi menerangkan masalah ekonomi negara kepada sekumpulan rakyat yang di wakili.Suka untuk saya katakan,wakil rakyat hanya akan “tunjuk muka”bila menjelang pilihanraya atau pemilihan pucuk pimpinan UMNO sahaja.Masalah rakyat kadang kala bukan masalah mereka tetapi masalah negara perlu di kongsi bersama rakyat. Rakyat menghukum berdasarkan analisa mereka sendiri.Rakyat sekarang sudah bijak dan mampu membuat pertimbangan yang sewajarnya dalam menilai kebolehan kerajaan untuk memuaskan hati mereka. Dan ini bukannya tsunami politik Malaysia tapi gaya baru pengundi yang mahukan perubahan.Hidup perlu berubah....

March 27, 2008

Kisah Pilihan Raya Umum ke 12


Tengahari 20 Mac 2008 bersama isteri dan anak yang berusia 9 bulan,sayaberkesempatan meluangkan masa bertemu rakan-rakan lama yang saya gelarkan "Generation of CM(central market)".Acara santai ini di adakan di Starbuck Cafe KL Sentral.Lebih banyak bicara tertumpu kepada PRU12,kesan dan tindakan pengundi,halatujumelayu dan selalunya di sulami dengan gelak ketawa.Yang menarik perhatian saya,bila seorang rakan dari Kelana Jaya berceritatentang jiran beliau,seorang pesara dari sebuah jabatan kerajaan.Ceritanya,pesara ini sebelumnya tidak pernah melepaskan peluang untukmengundi barang sekalipun.Bagi beliau,mengundi adalah hak yang di tuntut,seakan sama dengan solat dan puasa.Namun,pada 8 Mac dia membuat pilihan berdiam diri di rumah,tidak keluar untuk mengundi walaupun pada 4 tahun yang lalu dia dengan senang hati dan bersemangat tinggi telah keluar rumah awal-awal pagi bagi membuang undi dan telah memenangkan seorang calon Barisan Nasional di Parlimen Kelana Jaya.Itu cerita 4 tahun lalu.Menurut rakan saya tadi,sebelum keluar mengundi pada pagi 8 Mac, beliau sempat bertanya pada pesara tersebut yang waktu itu sedang asyik menyiram pokok bunga di halaman rumah.Jawab pesara tersebut "malas nak p,biaq la BN kalah kali ni,meluat sungguh aku dengan pak lah.Harga minyak naik,harga barang-barang dapur naik sampai upah gunting rambut pun naik,tapi gaji anak aku yang keja kat Shah Alam tu dok mcm tu juga.Dulu bayaq tol RM1.50 nak p keja,la ni kena bayaq RM2.10.Dulu tiap2 bulan dia hulur RM150 bagi kat makcik hang(bini pesara),la ni haram tak bagi dah,balik pnjam lagi ada la.Kerajaan mcm ni ka hang nak pangkah?Suruh rakyat jimat cermat,dia ingat kita dok kampung kot,bole tanam sayur,naik kreta tak dak tol.Aku dengaq dia beli kapal terbang baru,tapi bila kat kita dia suruh jimat.Bini separuh cina dia pakai gelang separuh tangan juga.Masa mahathir dulu,dia selalu kata biaq kerajaan susah tak pa,tapi rakyat jangan susah.Pak lah ni dah terbalik,kerajaan senang,rakyat susah." Setelah terangguk-angguk mendengar luahan pesara tadi, rakan saya pun berlalu pergi untuk mengundi dengan hati yangberbelah bagi.Kata-kata pakcik pesara sebentar tadi terngiang-ngiang ketika beliau memegang pensil untuk membuat pilihan pada kertas undi.Dan cerita itu berakhir di situ,ketika saya tergesa-gesa meninggalkan meja kerana anak yang mula meragam dan isteri yang sudah bermuka masam.....
Sebaik sahaja selesai pilihan raya 8 Mac lalu,saya percaya pesara yang memprotes tadi menghela nafas panjang dan mengurut dada.Banyak pengajaran daripada pilihanraya umum ke 12 yang lalu ‐ kepada rakyat mahupun pemimpin. Kepada ahli-ahli politik yang kalah dan pemimpin yang hampir kalah, pengajarannya ialah jawatan politik adalah satu tragedi yang tidak boleh dielakkan. Selepas kemenangan, akan datang kekalahan. Yang bernasib baik mungkin mati semasa memegang jawatan. Yang tidak beruntung akan dihantui kekalahan itu sepanjang hidup mereka.Bagaimanapun, politik dalam konteks orang Melayu di Malaysia melampaui kepentingan perseorangan. Kekalahan banyak kerusi bakal membawa pembaharuan,kerana politik bukan sekadar kisah peribadi. Politik bagi orang Melayu lebih besar daripada isu jawatan dan individu, kerana ia soal ketahanan kuasa bangsa.Dalam politik, orang Melayu kini berdoa, barang dijauhkan Allah kuasa bangsaMelayu ditimpa tragedi, barang dijauhkan Allah bangsa Melayu hilang negeri lagi.Lima tahun lagi,kita undi lagi sekali.......

March 13, 2008

Gendang gendut

Saya pulang untuk mengundi pada 08 Mac 2008 di kampung kelahiran saya,Alor Setar,Kedah.Saya juga percaya,saya turut menyumbang angin perubahan dan iklim berparti di Kedah sehingga membolehkan PAS memegang teraju pemerintahan untuk tempoh 5 tahun mendatang.Undi saya itu,bukannya kerana bantahan terhadap SPR yang menafikan hak datuk untuk mengundi.
Bagi saya pengundi untuk pilihanraya ke 12 kali ini lebih bijak,lebih terbuka dalam melahirkan suaranya,walaupun majoriti suara itu di zahirkan pada kertas undi.Undian kali ini juga mungkin sebagai satu protes,sebagai satu isyarat untuk kerajaan BN pimpinan Pak Lah.Kerajaan harus menyelami kemelut dan masalah rakyat,harus melihat ke dasarnya kenapa negeri Kedah boleh terjatuh ke tangan PAS yang merupakan parti pembangkang pada tahun-tahun yang lepas.Namun harus juga di ingat jika PAS juga gagal memuaskan hati rakyat,gagal untuk menawan rakyat dengan manifestonya,maka saya andaikan suatu perubahan akan berlau pada pilihanraya ke 13 nanti.
Perubahan adalah sesuatu yang perlu dalam hidup.
Petang selepas mengundi, saya menemani datuk ke jemputan kenduri kahwin saudara sebelah arwah nenek.Saya terpandang pada suatu sudut,sekumpulan lelaki dengan alatan gendang silat dan serunai,juga gong.Ketika mulut penuh dengan nasi yang berkuahkan gulai kawah,gendang berbunyi dan irama serunai benar-benar membuatkan saya terkedu.Ingatan saya berlari-lari,terimbas imbas kenangan sewaktu kecil.Lama dulu,sewaktu masih kecil setiap kali ada kenduri perkahwinan,saya akan bertenggek di tepi pemain gendang silat,bertepuk tangan setiap kali habis alunan mengiringi pencak silat.Lama benar rasanya saya hilang kenikmatan yang sebegitu.Dan hari itu,saya di hidangkan semula dengan iramanya,pecah rindu saya pada bunyian yang sebegitu.
Bunyi gendang,ketukan gong dan alunan serunai tak akan mati selagi ada yang sudi mendengar.....

February 27, 2008

SPR-Tukang Cabut Nyawa

Saya selalunya jarang atau boleh di katakan kurang berminat dengan corak politik Malaysia walaupun secara dasarnya sejak kecil lagi saya di besarkan dalam keluarga yang berpegang kuat dan bersemangat memperjuangkan politik,terutamanya UMNO.Saya selalu juga memberi alasan bahawa politik ini lebih bersifat "memperkayakan"dari sifat yang sepatutnya "memperjuangkan".Secara langsung,dunia politik itu sendiri yang membuatkan saya menolaknya.Harus di akui,dengan cuaca politik jugalah kita di merdekakan.Saya terima hakikat ini.Dalam waktu-waktu yang mana suhunya semakin memuncak kerana Pilihanraya Umum ke 12,saya ikut terkena bahangnya dan sebagai seorang rakyat Malaysia yang di beri hak untuk memilih pemimpin negara, saya turut merasakan kewajipan mengundi adalah suatu ruang dan peluang yang amat berharga.Walaupun saya di besarkan di dalam sebuah keluarga yang mempunyai kepatuhan yang kuat kepada parti pemerintah,saya sebenarnya mempunyai kebebasan untuk menentukan parti mana yang harus di pangkah semasa hari pengundian.Abah pula selalunya akan menasihati saya agar membuat pilihan yang tepat,bukan hanya untuk diri sendiri tapi jua untuk generasi masa depan. Untuk mengesahkan lokasi mengundi kali ini,siang tadi(26-Feb-2008)saya menghubungi ibu di kampung bagi mengesahkan kepulangan saya,di samping itu juga meminta ibu mempersiapkan “jerut maman” kesukaan saya. Ketika galak bercerita,saya sempat bertanya ibu perihal datuk yang bersemangat tinggi setiap kali tibanya pilihanraya.Ibu mengkhabarkan bahawa datuk kecewa.Tetapi mengapa?Cerita dari ibu,datuk kecewa kerana namanya tiada dalam senarai daftar pemilih yang baru di keluarkan untuk tahun 2008,ibu menyifatkannya sebagai kesilapan teknikal dari Suruhanjaya Pilihan Raya.Saya kurang berpuas hati dan membuat panggilan ke Suruhanjaya Pilihan Raya di Putrajaya di talian 03-88856602 dan bercakap dengan Cik/Puan Effa pada tanggal 26-Feb-2008 jam 12:20 tengahari dan di maklumkan bahawa nama datuk telah di keluarkan dari senarai daftar pemilih kerana telah meninggal dunia pada 1966,sebelas tahun sebelum saya di lahirkan. Setelah agak lama bertegang leher,saya di syorkan untuk menghubungi Jabatan Pendaftaran Negara di Putrajaya untuk membuat semakan status diri datuk.Maklumat yang saya perolehi dari JPN sedikit membuatkan saya tersenyum.Jauh di hujung talian,kakitangan JPN mengesahkan bahawa datuk saya masih dalam status "aktif"(masih hidup)!Saya kembali menghubungi SPR namun tiada maklumbalas dan secara langsungnya datuk saya yang berusia 74 tahun telah “dikapankan” oleh SPR ketika beliau berusia 42 tahun lagi.Peranan Pengerusi SPR,Tan Sri Dato’Seri Hj Ab.Rashid bin Ab.Rahman(PSM,SPDK,PNBS,DCSM,DPMK,DMSM,JSM,KMN) bolehlah di sifatkan sebagai “pencabut nyawa”, kerana tindakan kakitangan beliau atau beliau sendiri yang berupaya “mematikan”orang yang masih hidup.Segala tanggungjawab ini mesti dan wajib di pikul oleh beliau selaku ketua untuk sebuah organisasi yang di amanahkan oleh negara dan perlu bebas dari sebarang hasutan atau gangguan Badan Eksekutif seperti yang termaktud dalam Perkara 14 Perlembagaan Negara.Jika di ajukan soalan,saya rasa jawapan yang akan di berikan berkemungkinan “kesilapan sewaktu mengemaskini data” atau mungkin jua “kami menggunakan data yang di perolehi dari JPN”.Apa akan berlaku sekiranya pihak SPR “tersilap”atau “terlupa” memasukkan daftar pemilih untuk Pak Lah atau Khairy Jamaludin?Saya sudah muak dengan alasan yang dikatakan berpunca kerana “human error”ini,sedangkan SPR bukanlah sebuah pertubuhan kecil seperti persatuan penduduk,tetapi ianya adalah sebuah suruhanjaya yang di amanahkan negara bagi memastikan sistem pilihanraya berjalan dengan adil dan telus. Saya mula terimbas tindakan BERSIH yang mengadakan demontrasi jalanan pada 10-Nov-2007.Pada mulanya,saya menyifatkan tindakan ini sebagai melampau kerana tujuan utamanya adalah untuk menyerahkan memorandum kepada DYMM Seri Paduka Baginda Yang Di Pertuan Agong dan menzahirkan ketidakpuasan hati terhadap sistem pilihanraya di Malaysia. Saya juga turut sama mengecam tindakan oleh BERSIH ini.Bagi saya,ianya adalah suatu tindakan bodoh dan jelas sama sekali bertentangan dengan budaya rakyat Malaysia.Apakah kita perlu di ingatkan semula episod hitam REFORMASI?Apakah sistem pilihanraya yang sedia ada masih lagi tidak memuaskan hati golongan pembangkang?Persoalan ini akhirnya terjawab,bila SPR mematikan datuk saya.Saya mula menerima tindakan pertubuhan BERSIH membantah,saya juga mula menerima tindakan Mohd Sabu mengoyakkan surat bantahan di ibu pejabat SPR dan juga sudah boleh menerima bahawa SPR hanyalah sebuah nama yang meletakkan slogan "cekap dan telus"sebagai syarat sahaja.Kesilapan-kesilapan yang sebeginilah yang menyebabkan KEADILAN berani bertindak,PAS mula melalak,DAP pula kuat berteriak.BN?BN ternganga - nganga hingga menampakkan anak tekak!Saya sedar,datuk saya cuma seorang petani,bukannya seorang Dato’Seri,tetapi dari undi si petani tua inilah Dato'Seri beristeri lagi!
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...