January 31, 2010

Karnival Buku MPH 2010


Karnival Buku MPH 2010, Stadium Melawati Shah Alam, Selangor dari 27-Januari-2010 hingga 01-Februari 2010.
Saya hanya sempat berkunjung pada hari ke-3 karnival tersebut, terburu-buru mengejar masa dan hanya mengambil masa 1 jam untuk memborong 3 buah buku dan terhenti untuk mendapatkan buku ke 4 bila memikirkan Sakura Mengorak Kelopak-Arenawati yang baru di kerjakan 2 hari lepas, masih banyak halaman yang perlu di sudahkan.
1- Hari-Hari Terakhir Seorang Seniman - Anwar Ridhwan (Dawama)
2- Harga Sebuah Maruah - Azizi Haji Abdullah (Dawama)
3- HAMAS Pejuang Kota Suci Baitulmaqddis - Maszlee Malik (PTS)


Dalam kekalutan kerja yang tidak menampakkan tanda-tanda surutnya, saya yakin ketiga-tiga buku ini akan mengambil masa yang panjang untuk saya habiskan.
Emmm...bernafsu lagi dan kadang-kadang nafsu mampu mengalahkan waktu, insyaallah.

January 12, 2010

Idea Gila

Bicara dengan seorang rakan lama.Kami sama-sama tergilakan Fender Strat.Cuma dia yang berjaya mendapatkan Strat, saya beralih ke Les Paul.
Topik kali ini bukan pada tahap kegilaan gitar lagi.Bukan!
Untuk segelas teh tarik pada jam yang pertama, kami berbual tentang isu kalimah suci.Dia, masih bergegar dengan hujah bernas.Fakta yang tidak mampu di sanggah.Saya terangguk lemah, tanda setuju dan tanda yang saya kurang ilmu dalam perbahasan agama.
"Mamak, teh tarik lagi dua.."laungnya keras.
"Bro, angkat rokok sebatang,wa punya dah abis", sambungnya sedang jari kemas mencengkam sebatang rokok pada celahan jari telunjuk dan jari hantu.
"Wa ingat nak buka pusat asuhan bayi kat sebelah bengkel kereta, then nak juga buka kelas mengaji sebelah jamming studio...lu pikir amacam?"Soalnya.
Saya tersedak.Teh tarik yang baru di teguk terjejer keluar.
"Logik ke bro...?" Dia mengasak lagi.
"Lu punya suka le,duit lu, bukan duit wa.Lu fikir logik, lu buat."Jawap saya sambil mengelap meja-tisu warna pink-yang tersembur teh tarik tadi.
Dia tersengih sambil tangan mencekau kotak rokok saya.Kami diam.Dia masih tersengih.
Saya masih mencari logik idea gilanya tadi.

January 08, 2010

Perang

Dulu masa kecil, saya suka main perang-perang.Senjata utama, batang bemban yang di jadikan sebagai senapang.Tembak pakai mulut, beng!beng!beng!. "Hang mati.." dan si mati akan membalas "mana aci, tak kena pun".Perang tadi mula bertingkat yang selalunya akan di sudahkan dengan adegan bergomol atas tanah.Muka calar-calar, baju sudah tentu comot buruk.Balik rumah, ibu membebel panjang.
Esoknya, main lagi, perang lagi.Tanpa ada rasa jemu.
Sedikit berusia-sekitar 10 tahun- senjata mula bertukar bentuk.Sekeping papan akan di bentuk sekreatif mungkin menjadi seumpama senapang.Papan mestilah tebal, eloknya papan lantai.Selalunya akan di cat dengan warna hitam.Ikat tali menyilang di badan, macam askar bawa M-16 lagaknya.Buatlah bentuk handgrip tangan kiri dan handgrip kanan pada bawah barrel, serta batnya.
Pada penghujung barrel diikat getah lastik sebagai pemantul. Pada pangkal barrel pula diikat dengan getah trigger kayu supaya memantul pada tahap maksimum apabila dipicit trigger yang telah di kepit pada trigger kayu tadi.Pelurunya,buah terung Belanda(terung pipit) sebesar kelinking.
Sekali di tembak ke badan, boleh lebam dan jelas kelihatan 3-4 hari.
Saya memang suka berperang waktu zaman kanak-kanak.
Sekarang, jika di tanya soalan berkaitan perang saya jarang menjawab.Jika di tanya senjata pemusnah apa yang paling di geruni, saya akan cuba berdolak dalik ke topik lain.
Saya benci perang.Jika mungkin di takdir berperang, saya mahu berperang dengan "OTAK".

January 04, 2010

Allah....


Sejak saya mengenal huruf dan boleh membaca, saya telah di ajarkan dan di fahamkan secara jelas, bahawa saya seorang umat Islam yang wajib mengakui bahawa Allah itu Esa, tiada Tuhan selain Allah.Setiap manusia yang mengaku dirinya Islam akan berpegang dengan Keesaan Allah dan tiada agama lain yang suci dan benar melainkan agama Islam.Saya juga percaya dengan sepenuhnya, setiap manusia yang mengakui dirinya seorang penganut agama Islam,yakin dan percaya bahawa Allah itu tidak beranak dan di peranakkan dan tiada sekutu bagiNya.
Sedikit dewasa, saya mula menggali Keesaan Allah melalui bahan bacaan dan ceramah agama.Semakin dalam penggalian ilmu itu, semakin saya mengenaliNya.
Hakikat, bahawa kalimah Allah yang termaktub berulang kali di dalam al-Qur’an
dan al-Sunnah itu sesuatu yang tidak pernah dipertikaikan oleh umat Islam. Ia digelar
sebagai ism al-zat iaitu kata nama yang melambangkan secara langsung zat Allah SWT yang Maha Agung.

Kenapa pula, secara mendadak "mereka"yang bukan Islam ingin menggunakan nama Allah pada akhbar mingguan mereka?Apa mereka juga meyakini dengan hati bahawa Allah itu Esa?Apa mereka juga mengakui Nabi Muhammad itu kekasihNya?
Atau, mereka cuba memporak peranda akidah umat Islam di Malaysia?

Untuk mendalami dengan lebih jelas tentang isu ini, boleh layari blog Faisal Tehrani

January 01, 2010

2010

Ketika entri ini di tulis, di luar sana kemeriahan percikan bunga api masih belum menemukan tanda reda.Langit di simbahi cahaya yang pelbagai sifat warnanya,gema hasil dari letupan bunga api tersebut memenuhi setiap genap ruang bumi dan alam, mengejutkan kucing dan burung yang sedang enak berehat.Buat seketika, kemeriahan manusia menyambut kedatangan tahun baru 2010 menyedarkan sang haiwan dari kesedapan dingin malam.
2009, di tinggalkan dalam lipatan sejarah yang akan di tulis dalam sebuah diari, di catatkan oleh sang pencerita dan di bukukan oleh penulis.Banyak kenangan yang tidak tertulis, pantas mengapung perasaan yang menginsafkan, walau sejenak.Bumi ini dan segala isinya sering membahagiakan walau sering juga ponggah dan rajuk dan bebal.Aturan alam sudah begitu, yang datang akan pergi dan di sambut lagi,meninggalkan gugus hikmah untuk kita semua fahami.
Kita, akan terus membilang tingkat usia.Kita juga, akan memasang impian yang ingin di teroka dalam 365 hari yang akan datang dan cuba menyempurnakan mimpi-mimpi tentang impian dan cita-cita.
Selamat datang 2010.

December 22, 2009

Maal Hijrah 1431

Saya mesti mengatur nafas, mengumpulkan tenaga untuk kembali berlari dan menggugah setiap inci bumi, mencari dan meneroka segala isinya.Alam dan kehidupan yang di pinjamkan ini seakan tidak terbilang rahsia isinya, seakan tidak termampu lagi untuk di kaji setiap olahan yang sengaja minta di selidiki.Benar, manusia itu jahil dan dengan perasaan jahil itu saya -bahkan kita semua- sering tewas tanpa mahu menggunakan ekstrapolasi dan mengejar mimpi-mimpi indah yang sering bertandang.
Sempena Maal Hijrah 1431, saya mahu berhijrah ke dimensi baru, mencuba menyempurnakan mimpi-mimpi indah dengan segala kekuatan yang ada. Harus tidak gentar mengibarkan mimpi-mimpi.
Renung ungkapan Andrea Hirata dalam novel Sang Pemimpi, “tanpa mimpi, orang seperti kita akan mati…”
Selamat berhijrah…

November 21, 2009

Setelah 9 tahun......

Akhirnya, permintaan saya kepada Allah tanpa jemu dan tanpa rasa malu yang berterusan begitu lama di makbulkanNya juga.Saya mencari "dia" selama 9 tahun untuk mendapatkan satu jawapan.
"Dia"tiba-tiba muncul, ketika pencarian saya mula melalui saat-saat lelah.Saya mula mengasak untuk mendapatkan satu jawapan yang di kendong dalam benak saya selama 9 tahun itu walaupun saya akui kemunculan "dia"yang menjauhkan diri selama ini tanpa sepatah berita pun adalah sesuatu yang amat besar erti dalam hidup saya.
Untuk melahirkan rasa kepuasan kerana "dia" telah saya temui-tanpa mengharap agar "dia" kembali-saya meminta seorang penulis muda mengayam ayat untuk saya pada "dia".
Sebuah puisi tulisan NorziatiMR


CINCIN (SEBENTUK)
(Ini kisah duka semalam)

Ada janji dipahat
Ada kata dipadu erat
Ada hati diikat

Kemudian kau datang
Dan pulang
Tak bisa kembali

Aku masih memburumu
Untuk kutanya soalan penuh pilu
Mengapa cincin untukmu
Berada dalam genggamanku

Sembilan tahun berlalu
Kau masih membisu


Norziati Mohd Rosman
Bandar Baru Bangi
19 September 2009

November 15, 2009

Ruang Perjalanan

Penerokaan yang sentiasa memberikan warna dalam kehidupan. Latar kota dan segala isinya adalah pengalaman yang sukar di lupakan.
Setiap pengalaman itu, langsung saja meninggalkan pengajaran yang bukan sedikit sifatnya.Antara wujud dan kelangsungan hidup, ianya adalah rentetan peristiwa yang mematangkan jiwa seorang lelaki.Sudah tentu, peristiwa sekitar yang meruntun hati sentiasa mendesak untuk di olah dan di persembahkan kepada khalayak, tetapi kekurangan diri dalam menyusun ayat membatasi pemberontakan itu.
Saya cuba paparkan-secara bergambar- beberapa lokasi sekitar ibu kota yang banyak memberi saya erti hidup.

Central Market

Tempat pertemuan dengan rakan-rakan.Ketika ini, saya mahu jadi "ahli muzik".


KL Sentral

Kebiasaannya,KL Sentral menjadi hentian saya untuk seketika.Duduk di barisan bangku menghadap KL Hilton sambil bibir menggonggong puntung rokok.


Starbuck KLCC

Penat di Kinokuniya atau usai menonton wayang, berhenti seketika mencicip kopi/cappucino sambil melihat warga kota yang leka dengan aturan masing-masing.Banyak kenangan di sini.Perit getir usia remaja.


MPH Bookstores Mid Valley

"Membeli belah"buku.Saya cukup suka dengan ruang dalaman di MPH Mid Valley.Duduk bersila atas lantai sambil membaca secara percuma.Pernah satu ketika, duit dalam poket cuma tinggal RM2.00 sebab ghairah "membeli-belah".


Kotaraya

Saya banyak menggunakan kenderaan awam-Bas Intrakota-dari Puchong ke KL.Bas akan berhenti dan turun di Kotaraya.Di belakang bangunan Kotaraya terdapat sebuah kedai alatan muzik-Wah Fatt Music-terletak di Jalan Silang.Selalu ke situ menjamu mata membelek gitar(Strat & Les Paul), pegang letak, pegang letak.


Pertama Complex

Selalu ke sini, mencari cd lagu-lagu "metal bawah tanah".

November 04, 2009

BICARA HATI


Latar : Suatu petang di Taman Tasik Shah Alam

Kotak rokok tergeleng-geleng di atas permukaan air tasik yang jernih.Beberapa helai daun yang gugur ke dalamnya teroleng-oleng oleh hembusan angin, tiba-tiba saja riak air tasik itu menjadi sisik yang perlahan-lahan menghanyutkan daun tadi.Dua tiga ekor ikan yang berlegar juga serentak hilang. Matahari semakin mengalah, semakin kurang simbahan cahaya.Dua orang kanak-kanak yang mulanya bermain di gigi air mula kembali memanjat tiang besi buaian, bergayut-gayut dan ketawa terkekeh-kekeh.Jeritan mereka mengejutkan beberapa ekor burung gagak yang bertenggek di dahan pokok Pukul Lima berhampiran gerai makan.Terdengar kepak dan jerit burung, sambil terbang menghilang di celah-celah pokok yang semakin bebas melangit.Lampu-lampu taman mula terpasang dengan sendirinya.Empat orang anak muda yang baru selesai berjogging merehatkan diri di atas palang besi sambil berbual menghadap permukaan tasik yang semakin tenang airnya.

Saya merenung jauh ke dalam dasar kolam itu.Hanya sekadar renungan kosong.Terbayang betapa sempitnya hidup jika di takdirkan saya hidup di dalamnya, bersama decupan ikan yang tenggelam mengejut.Tiba saatnya, timbul kembali.
Saya merenung ke langit yang semakin gelap dan pandangan tertangkap pada sekawan burung gagak yang terbang menjauh. “Lihat burung itu, terbang pulang ke sarangnya tanpa ada satu pun penunjuk arah, tiba waktu kembali lagi ke sini….”
Aturan Tuhan memang begitu, bukan?

October 28, 2009

SEKADAR MENGALAS....


Sekadar mengalas kemahuan yang melingkar dan kemarahan yang membuak.
Doakan untuk mereka, moga aman.

* Untuk imej lebih jelas, klik pada gambar
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...