June 19, 2008

Jalan ohhh Jalan

"Dengan kuasa manusia boleh lupa diri.Dengan kuasa juga manusia boleh membentuk orang lain mengikut telunjuk.Pengaruh dan kuasa jika di salah guna boleh membinasa. "

Ketika waktu rehat tengahari yang lengang , saya mengambil kesempatan menghubungi ibu di kampung.Seperti selalu, ibu akan menanyakan tentang cucunya yang sulung-Syaamil- selepas itu mula bercerita tentang suasana kampung.Kebiasaannya, ibu akan mengadu perangai abah yang sukar di duga dan perangai atuk yang selalu riang walau keseorangan.
Ibu sempat juga bercerita perihal jalan kampung yang sudah berlopak setelah di turap 5 tahun lalu.Cerita ini sudah berkali saya dengar, sejak 2 tahun lepas rasanya dan cerita ini juga tidak pernah menampakkan penamatnya.
Jalan kampung itu, terlalu penting bagi ibu,sama pentingnya dengan kenaikkan harga minyak yang kita bualkan sekarang.Jalan tersebut menghubungkan antara kampung saya dan jalan utama yang berjarak kira-kira 2 kilometer, antara nadi penting untuk keluar masuk kampung.Jalan tersebut juga akan di lanyak semahunya oleh mesin padi dan traktor/kubota(mesin bajak) ketika musim menuai dan musim membajak sawah.Setelah itu, penduduk akan kembali merungut kerana jalan sudah lunyai.
Apapun, jalan tersebut secara kasarnya di anggap indek untuk pemerintah.Baik dan buruk jalan tersebut menandakan jatuh dan bangunnya pemimpin dan YB.Tidak hairanlah, pada tahun 2004 jalan tersebut senantiasa mengeluarkan wap tar yang segar dan sentiasa hitam berkilat.Ketika mula-mula di turap, ada suara yang berkata
“tengok apa kerajaan BN bagi, anak-anak nak pi sekolah pun senang, dah tak payah nak lompat-lompat lopak air.
Setelah agak lama , jalan yang berturap tadi mula merekah.Dan mereka berkata lagi “YB tak mai tengok kampung, macam mana dia nak tau.Tunjuk muka masa nak mengundi lepas tu ghaib”.Secara tidak langsung indek pencapaian untuk wakil rakyat dari BN semakin jatuh dan semakin hilang popularitinya.Setelah itu,ia kembali berlopak-lopak,buruk yang teramat.
Cerita-cerita berkaitan jalan mula menjadi bahan usikan sesama jiran sekampung dan selalunya keluarga saya yang terkenal kerana “pewaris UMNO” akan selalu di gelakkan oleh mereka yang tidak menyokong BN@UMNO.Abah selalunya mematikan usikan tersebut dengan segera ke pejabat UMNO, menemui beberapa kenalan dan jalan tersebut di baik pulih kembali.Lopak-lopak di turap semula dan mulut-mulut yang menyindir akan diam sebentar.Setelah itu kedengaran pula “baguih nooo YB ni, dia malas nak mai tengok kampung tapi jalan cepat pula dia
repair”.Abah pula akan berkata “YB tu banyak kerja, mesyuarat seluloi kena pi,hampa semua tak payah kelam kabut,dia tau la apa nak buat”.
Begitulah yang berlaku saban tahun dan YB tetap tak juga muncul-muncul. Manifesto pilihanraya yang lepas-lepas sudah di lupakan dan penduduk kampung akan terus lagi bercerita perihal jalan.
Tapi, cerita ibu hari ini membuatkan saya tersenyum.
Setelah DUN Anak Bukit bertukar dari BN kepada PAS dalam gelombang PRU12, cerita dari ibu juga semakin panas.Menurut ibu lagi, jalan yang berlopak pada awalnya sudah menampakkan tanda-tanda akan menjadi “kolam ikan” dan setelah 100 hari, wakil yang di pilih rakyat tidak juga muncul walaupun sebelum ini beliau kerap menghadirkan diri ke majlis-majlis kenduri baik kenduri kahwin ataupun kenduri kesyukuran yang kecil-kecil.
Yang paling saya ingati tentang wakil rakyat sekarang ini, beliau antara orang pertama yang sampai kerumah keluarga saya ketika arwah nenek meninggal dunia pada 08 October 2007 dan peristiwa ini menzahirkan beliau sebagai pemimpin yang harus di hormati.Ketokohannya begitu terserlah.Dengan berkereta Kenari dan berbaju Melayu dia tanpa segan silu berjabat tangan dengan saya dan menanyakan khabar seperti seorang kenalan-terharu-kerendahan hatinya membuatkan saya terpaku.Waktu itu, saya kurang arif dalam percaturan politik dan saya menerimanya sebagai kunjungan silatulrahim.
Setelah menang dalam PRU12, khabarnya keakraban sudah hilang dan orang-orang kampung masih lagi menantikan beliau untuk menjenguk kampung,mengAMINkan doa-doa ketika kenduri dan yang lebih penting lagi untuk membantu membaik pulih jalan yang sudah berlopak.
Mungkin dia sibuk dengan susunan jadual yang ketat.Itu saya faham.
Tapi dapatkah orang-orang kampung memahami kesibukan beliau,mereka kini ternanti-nanti janji yang pernah di sogokkan ketika berceramah dulu,mana pergi kata-kata “saya berjanji akan membantu semua orang, bersusah untuk rakyat sekiranya saya terpilih.Makan setalam, tidur sebantal”.Dapatkah Cik Teh,Ngah Omar, Tok Ndak Lin dan Toksu Hassan faham istilah “sibuk”??
Dan untuk YB sendiri, dia perlu faham kata-kata Stephen Covey "when you can give yourself to work that brings together a need, your talent and your passion, power will be unlocked".
Ibu akan terus bercerita dan mengadu lagi perihal jalan……

1 comment:

NOBISHA said...

saudara,

blog yang cukup bagus. teruskan menulis. saya memasukkan blog saudara dalam blogroll saya.

nobisha

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...